Saya tidak mengenali dia. Hanya mendengar cerita sahaja.
Death does not discriminate ~ Imam Suhaib Webb
Kematian tidak mendiskriminasi.
Laungan takbir hari raya membawa perspektif yang berbeza mengikut usia. Melepasi usia kanak-kanak, takbir hari raya sudah diwarnai dengan rasa sayu. Dan melepasi usia 40an, takbir raya sarat dengan rasa pilu dan nostalgik.
Hanya beberapa saat hari raya sahaja dalam hidup ini yang kekal terpahat diingatan. Yang lain, ia tersimpan kemas dalam buku catatan dan akan menjadi tatapan seluruh umat satu hari nanti. Walau masa itu masing-masing terlalu sibuk memikir hal sendiri, dan tidak kuasa memikir nasib insan lain, tetap terselongkar dan terbongkar.
Dan saya pasti 1432H ini terpahat kukuh dalam ingatan beliau.
Namanya juga saya tidak tahu. Mendengar cerita sahaja dari anak buah. Wanita muda, baru dua hari berjaya melahirkan anak sulung perempuan dan saat orang lain bergembira melihat anak, suami serta saudara mara dengan pakaian, makanan serta serba serbi meriah, beliau menyambut pagi raya dengan berita kematian suaminya yang telah beberapa hari koma setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Doa saya semoga beliau tabah hatinya, cekal semangat dan jiwanya. Ujian yang tidak semua dapat merasa dan jika diberi pilihan beliau juga tentu tidak mahu.
Moga Allah melimpahkan rahmat kepada roh suaminya. Wanita muda yang diuji. Saya tahu ramai lagi di luar sana yang ujiannya seberat ini atau mungkin lebih hebat. Moga Allah meningkatkan darjat mereka di sisiNya dengan redha mereka terrhadap ujian tersebut.
Salam 1 Syawal 1432H.
~cikgunormah@klcitizen~