Tuesday, April 30, 2019

A, B, C, D, E, F





Loya.

Empat huruf yang sangat berat apabila ia menyerang. 

Mengikut kamus DBP, dalam Carian Umumnya di sini , loya boleh membawa maksud dugal atau mual. Kalau perkataan loya itu digandakan pula, loya-loya, ia membawa maksud mabuk seperti semasa mabuk hamil.

Pagi semalam, bangun dari tidur, tekak berasa loya, kepala terasa sempit, seperti urat dari leher dikincup oleh kuasa asing dari luar. 😆

Kincup dan sepan rupanya mempunyai maksud yang sama dalam konteks pakaian. Hahaha. Macam kelas bahasa DBP pula entri kali ini.


Sebenarnya hendak menulis tentang A, B, C, D, E dan F. 


Perhimpunan pagi semalam, dalam keadaan diri yang loya-loya, mungkin akibat usia yang hampir kepada menopaus, masih juga saya tertarik dengan ucapan rakan sekerja tentang huruf A, B, C, D, E dan F. 


Pengucapan awam, bukan suatu yang mudah. Ada orang yang Allah kurniakan lidah, petah mengalunkan kata, persis pujangga di hadapan ramai manusia, berirama  dan berlagu. Ada juga yang tanpa teks boleh menyusun kata, memberi nasihat yang membekas dalam jiwa.


Ucapan "I have a dream..." oleh Martin Luther, dikatakan pengucapan awam terbaik dalam sejarah dunia. Bukan calang-calang orang boleh memberi bisa sedemikian rupa. Dan kerana itulah, antara kriteria yang perlu ada bagi pemimpin yang baik, ialah beliau mestilah berupaya untuk menyampaikan pengucapan awam dengan berkesan. Dan saya kira, ini merupakan ciri penting yang perlu diasah dalam kalangan murid-murid di sekolah.



Rakan Sejawatan  2019

Oh, berbalik kepada ucapan rakan sejawat saya tentang A, B, C, D, E dan F. Aksara-aksara motivasi ini boleh dijadikan modal untuk memotivasi anak murid dalam belajar/ bekerja.


Dalam belajar kena ada:

A - Attitude
B - Belief
C - Confident
D - Determination          (keazaman)
E -  Enthusiasm              (keghairahan belajar/bekerja)
F -  Fun


G, H, J.... hingga ke Z pun agaknya ada kata-kata hikmat yang terkait, tapi mungkin kerana waktu perhimpunan yang sangat singkat, hanya F sahaja menjadi penutup.


Tapi, mungkin juga sebab penggredan subjek  hanya ternoktah di huruf F, maka rakan sejawat saya itu menamatkan aksara motivasinya pada huruf F.  Wallahualam.


Misteri kenapa ia terhenti di huruf F sahaja hanya tuan punya diri yang tahu 😀


Sesekali mendengar kata-kata motivasi bagus juga, dalam meniti usia yang semakin sayup . Positif minda, positif gaya hidup, kan.









**Selamat menyambut Hari Pekerja buat semua. Moga kerja-kerja baik kita menjadi bekalan berguna di akhirat nanti.


Bye.



~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...