"Mak tak nak kahwin lagi ke?"
Waktu itu, saya dan dua orang sepupu sedang duduk melepas lelah sebentar. Sengaja mencari idea bersembang, saya mengusap belakang emak sambil bertanya.
"Ah, kalau tanya 20 tahun lepas mungkin jugak...," balas emak sambil ketawa kecil.
"Masa tu mak umur 52 tahun, masa abah meninggal. Ni dah 72 , ah tak kuasa nak kawin lagi..."
Kami hanya tertawa kecil. Silap lah 20 tahun lepas tak bertanya pada mak. 😂
Rupanya sudah 20 tahun abah meninggalkan kami. 😢
"Along taklah. Memang setakat ini tidaklah nak kahwin lain...," ada getar sedih dalam nada suara sepupu saya. Sebak yang bersarang dalam dadanya ditahan kuat agar tidak melimpah keluar.
Kesedihan atas kematian suaminya hampir 2 tahun lepas masih membekas dalam. Betullah, kerinduan yang tiada penghujung itu hanya dirasai oleh mereka yang melaluinya.
Ah, tiada niat mengembalikan kesedihan.
Kesedihan kerana kehilangan insan-insan yang kita sayangi akan surut bila masanya tiba, tetapi kerinduan terhadap insan-insan tersebut tidak akan pernah padam.
Percayalah.
Ingatan terhadap insan yang kita sayangi akan berputar datang tanpa perlu kita minta. Ia datang dan pergi dalam kotak memori. Dan waktu-waktu ia menyinggah itu, rasa sayu jauh ke dalam menjalar seluruh dada. Sungguh!
Dan kelibat insan itu seolah masih baru, berputar seperti jalur filem dalam ingatan. Hanya kita yang dapat melihatnya, tidak dapat kita kongsi dan dipanjangkan pada insan lain. Sayu dan rindu itu juga tidak bisa kita hulurkan pada orang lain untuk turut sama dijamah dan diratah.
Allah sahaja yang tahu.
Faham sangat dengan rintihan hati sahabat saya ini. Setiap insan yang kita sayangi itu, tiada gantinya yang lain. Hanya kematian yang bisa mengajar kita apa itu erti tiada galang ganti.
Dan kita yang tinggal ini ....... , menunggu giliran. Hanya doa yang dapat kita jadikan bekal buat insan-insan yang sedang menunggu kita. Doa moga Allah ampuni dosa-dosa kita dan dosa-dosa insan-insan yang telah terlebih dahulu dijemput Ilahi. Moga Allah tempatkan mereka dalam kalangan orang-orang soleh yang diredhaiNya.
Hanya itu upaya kita, hanya itu daya kita.
Dan doa saya, semoga Allah memberi ketenangan dan kekuatan hati buat mereka yang sedang dalam kerinduan yang tidak bertepi ini. Moga Allah tunjukkan jalan memujuk hati mereka yang resah dilanda sedih yang menusuk jauh ke dalam dada.
Allah itu Maha Kuasa, Dia yang Maha Tahu dan kepadaNya sahaja kita berserah.
Salam kasih.
~cikgunormah @klcitizen~