Musim peperiksaan kan sekarang.
Menariknya jadi cikgu waktu ini ialah tak perlu berpeluh ketiak meneriakkan suara dalam kelas. Kelas sunyi sepi dan hati pun jadi tenang.
Yang menyakitkan waktu ini ialah melihat anak murid bergelimpangan tidur seolah rumah pengasuhan gaya lagaknya. Cikgu-cikgu jadi pengasuh menjaga anak-anak ini dibuai mimpi. Puas dikejut, celik matanya sekejap sahaja. Bila berpaling semula melihat ke belakang, dah tersadai semula.
Tambah menyesakkan bila usaha-usaha perbincangan dan peniruan dibuat oleh anak-anak ini. Dengan taktik , teknik dan strategi lapuk yang cikgu pun tahu.
Terfikir juga dalam fikiran saya setelah membaca dan tertawa dalam mesej whatsapp kami tadi. Sepatutnya peperiksaan abad ke21 sudah patut diubahsuai. Mungkin perlu peperiksaan ala-ala perbincangan dan pemesyuaratan. Biar ada unsur komunikasi dan kreativiti serta kolaborasi sesama mereka. Kihkihkih ....
Hai lah anak!
Bagi saya, peperiksaan dalaman berperanan dua hala. Memanglah tujuan utamanya ialah melihat sejauh mana kemampuan anak-anak ini dalam bidang akademik, tetapi secara halus dan pentingnya ialah ia juga memberi maklum balas kepada si guru tentang pengajarannya. Berkesan atau tidak. Jika dah jawapannya sama antara si X dan si Y, data ini pasti tidak berguna buat si guru menambah baik pengajarannya.
Dan meniru atau cuba meniru atau memberi tiru adalah kesalahan.
Kenapa?
Sesiapa sahaja yang bergelar guru, berjiwa guru pasti akan kecewa dengan sikap anak-anak yang cuba meniru. Walau sebesar mana pun anda, belajar di mana pun anda, meniru dalam peperiksaan atau assignment adalah satu-satunya tindakan yang tidak menghormati guru dan diri anda.
Belajarlah untuk punya integriti dalam diri. Berusaha dengan daya dan upaya sendiri. Tahu bila masanya untuk mencontohi dan bila masanya bertindak dengan idea dan akal sendiri. Biarlah satu dunia meniru , tetapi anda tahu hasil kerja anda adalah autentik , hak anda dan kepunyaan anda yang penuh. Sifat terpuji yang pasti sukar dibina.
Dan sewaktu mengisi masa lapang mengawasi pelajar-pelajar yang tekun tidur dan ada yang tekun menjawab, saya membawa penyapu dan penyodok mengelilingi kelas. Sambil menolak sampah-sampah di keliling meja seorang pelajar ini ke dalam penyodok, saya membebel.
Sampah bawah meja sendiri pun tak peduli ya?
Dia memandang saya, tersengih malu-malu kucing.
Tu bukan sampah saya, cikgu.
Jawapan yang salah tu wahai anak. Jawapan yang menjemput bebelan panjang daripada saya.
Oh! Abis tu , ni sampah sayalah ya? Sebab awak tak buat, maka awak biar je, walau duduk bawah meja awak ya?
Dan bebelan saya bertambah panjang pagi itu.
Aduhai anak. Aduhai bangsaku.
Abad 21 sungguh .....
~cikgunormah@klcitizen~