Sewaktu bersekolah dahulu dari tahun 70an hingga 80an, saya hanya merupakan murid biasa-biasa sahaja. Kelas pun kelas pertengahan.
Dalam bidang kurikulum tidak menonjol, tidak pernah berpeluang naik pentas menerima anugerah kecemerlangan. Apatah lagi dalam bidang kokurikulum. Lagilah jauh panggang dari api.
Jika ada di antara guru-guru yang masih mengajar saya itu masih sihat, nama saya pun mungkin sudah dilupai oleh mereka.
Kerana saya hanya pelajar biasa-biasa sahaja.
Dalam pada biasa-biasa itu, ada beberapa guru yang masih saya ingati. Raut wajah, gaya dan cara mengajar masih terbayang dalam fikiran.
Ada yang saya ingati kerana penampilan mereka yang menarik. Pakaian dan tata rias wajah yang cantik ala model.
Ada yang saya ingati kerana garangnya macam singa lapar. Derap sepatunya di laluan kelas sudah cukup untuk menghentikan degupan jantung. Kalau boleh setiap kali kelasnya hendak sahaja saya ponteng kelas, main masak-masak di rumah atau main cikgu-cikgu dengan adik-adik. Tapi apakan daya. Mak dan abah tak pernah akan toleransi dengan keinginan sebegitu rupa.
Ada juga yang terlekat di kepala kerana teknik mengajar menyalin tanpa henti. Sehingga nota yang disalin ibarat buku yang boleh dicetak dan diedar percuma.
Yang terlebih ingat ialah guru-guru yang pengajarannya lekat di kepala. Gaya tutur mereka, gerak tangan dan lirik mata memang seboleh mungkin cuba memberi faham dan memberi jalan untuk menjayakan kami anak-anak muridnya.
Syukur kerana Allah memberi peluang kepada saya untuk mengenal semua guru-guru tersebut.
Dan sekarang bila bergelar guru, melihat anak-anak yang biasa-biasa ini, terlintas dalam fikiran adakah saya ini akan diingati oleh mereka. Ingatan yang bagaimanakah pula yang tersemat dalam fikiran mereka?
Saya pasti semua yang berjiwa guru sebenarnya tidaklah mengharap sebarang balasan di atas amanah yang dijalankan. Semakin lama dalam dunia ini, saya pasti ramai antara kami, lebih cuba untuk teliti dan memuhasabah diri.
Saya juga pasti semakin tua seseorang guru itu dalam bidang ini, semakin kental jiwa seorang guru itu untuk memastikan anak bangsa Malaysia ini lebih baik dari kami dan dari kita yang sudah dewasa . Semakin berantakan kemelut di luar makin kuat kami sebagai guru mencuba untuk memberi sedar bahawa survival bangsa Malaysia yang berdaulat terletak di batu jemala mereka nanti.
Andai berantakan yang berada di luar itu sekarang dijulang dan dijelmakan dalam tindakan mereka nanti maka padahlah bangsa Malaysia ini.
Pun begitu, bukanlah bermakna guru-guru ini maksum dan benar belaka. Kami hanya manusia biasa yang cuba mahu menjadikan bangsa ini bangsa luar biasa. Dalam keterujaan dan keinginan itu, memang tersalah serta tersilap dengan sedar atau di luar sedar, menjadi rempah ratus dan asam garam perjalanan kami.
Dan secara peribadi, maaf saya pinta buat semua yang pernah menjadi guru saya, pernah dan sedang menjadi murid saya serta rakan-rakan guru dan rakan sekerja. Maaf di atas segala kekurangan dan tidak peka saya dengan rasa tidak senang anda terhadap saya.
SELAMAT HARI GURU
Salam ingatan
~cikgunormah@klcitizen~