Hari ini encik hasben sedikit berkerut. Apa tidaknya, belanja menukar keempat-empat tayar kereta bukan murah zaman sekarang. Tapi kan, keperluan itu sentiasa mengatasi kehendak. Jadi hendak tak hendak, kerutan di dahi itu terpaksa dibiarkan sahaja di situ.
Sambil menunggu pekerja bengkel meneruskan urusan, saya seperti ramai dari kita, mengadaplah henfon mencari-cari bahan untuk dibaca.
Panas terik di luar makin membahang. Nasib baiklah bengkel ini ada bilik berhawa dinginnya sendiri. Sambil ditemani rim kereta di sekeliling dan bau getah tayar, saya terusan melompat dari satu laman ke laman yang lain.
banyaknya rim kereta |
Rupanya ....
Ada sebuah perpustakaan di Auckland New Zealand, kerap mengalami masalah buku-buku hilang dari rak buku. Yang menariknya , buku-buku ini dijumpai di tempat-tempat yang sukar dikesan dalam perpustakaan itu sendiri, contohnya di permukaan bawah meja, di celah-celah almari, tersorok dari pandangan orang ramai.
Pada mulanya, staf perpustakaan menyangka perbuatan ini angkara kanak-kanak atau remaja nakal. Tetapi setelah diselidiki, ternyata sangkaan mereka meleset.
Rupanya ....
Perbuatan ini dilakukan oleh gelandangan. Hebat betul! Gelandangan yang membuat kerja ini sebenarnya orang-orang berpendidikan, suka membaca dan menyorokkan buku-buku tersebut bagi memastikan apabila mereka kembali semula ke perpustakaan tersebut untuk menyambung bacaan, buku tersebut masih ada di situ.
Kenapa mereka bergelandangan? Wallahualam. Nasib seseorang itu tak sama. Sekeping ijazah tak menjanjikan ada rumah dan kehidupan normal seperti orang lain.
Terkedu sebentar bila memikirkan, betapa dalam keadaan daif, gelandangan ini masih mengutamakan buku dalam kehidupan. Dan sebab mengapa mereka menyorokkan buku-buku tersebut dan tidak membawa keluar dari perpustakaan untuk dibaca di luar juga sangat menginsafkan. Tahu kenapa?
Pertamanya kerana mereka khuatir buku tersebut tiada di rak yang berkenaan bila kembali untuk membaca di lain kali. Yang keduanya, kerana mereka merasakan buku itu tidak selamat di luar jika bersama mereka. Kan mereka tak punya rumah dan tempat simpanan untuk menyimpan.
Uishhh... sayangnya mereka kepada buku yang bukan hakmilik mereka pun.
Ini menunjukkan apa?
Bagi saya ini menunjukkan sifat kebertanggungjawaban terhadap barang-barang atau prasarana bersama. Isu merosakkan harta benda awam tidak wujud dalam hidup mereka yang punyai sifat tanggungjawab seperti ini.
Membaca tentang sifat mereka ini menyebabkan semangat nak mencari buku-buku saya yang baru separuh dibaca dan dah missing in action timbul pulak.
Oh , kepada rakan-rakan yang menyambut Deepavali, selamat bergembira bersama keluarga.
psst : Jika nak baca tentang misteri buku hilang tu di SINI.
Salam ingatan.
~cikgunormah@klcitizen~