Showing posts with label mak bapak. Show all posts
Showing posts with label mak bapak. Show all posts

Tuesday, July 21, 2015

Sunyi


Nasib mak baiklah juga kan.

Sambil memandu, ekor mata saya melirik ke arah emak di sebelah.

Walau pun anak cuma 3 orang, tapi  ada juga adik awak yang hendak tinggal bersama emak. Tidaklah emak sunyi.

Ya. Alhamdulillah. Dalam diam saya mengangguk bersetuju. Setelah aruah ayah tiada, adik lelaki saya dan isterinya memang tinggal bersama emak di kampung. Syukur sungguh, Allah sahaja yang tahu.

Kebetulan pula, adik perempuan saya dan keluarganya tinggal berdekatan. Maka sakit pening emak, memang ada anak-anak yang tahu.

Bukan apa.

Sekembali dari menziarah ibu-ibu saudara dan bapa saudara di kampung yang kebanyakannya telah kematian pasangan masing-masing, menambah lagi rasa syukur saya. Punya bilangan anak-anak yang jauh lebih ramai dari emak saya, tetapi tatkala saya datang berziarah, mereka berseorangan. Anak-anak sudah kembali ke rumah masing-masing.

Masing-masing punya tugas dan kehidupan sendiri serta rumah kediaman yang perlu dijaga. Sesekali balik melawat emak. Bukan ditinggalkan begitu sahaja, saya faham. Tetapi tetap, senggang masa menunggu anak-anak itu penuh dengan rasa sunyi.

Emak saya antara yang bertuah.

Adik lelaki saya dan keluarganya tinggal bersama dan mereka membuka gerai makan di hadapan rumah  emak saya sahaja. Alhamdulillah, rezeki mereka Allah limpahkan berkat ikhlas menemani emak.

Nasib masing-masing. Allah yang lebih tahu.

Nasib saya di kemudian hari pun entah bagaimana. Terlebih pula, anak hanya seorang.

Kata orang, akan tiba satu masa nanti, wang jadi sangat penting dalam hidup. Dan selepas itu, tiba satu masa pula, kesihatan menjadi sangat penting. Kemudian nanti, tiba pula masa wang dan kesihatan itu bukan keutamaan tetapi kasih sayang itu menjadi penting. Dan akhir nanti, semua itu tidak lagi penting, tetapi doa dari anak yang soleh itu yang akan kita nantikan.

Salam Aidilfitri semua. Moga Allah menerima amal kebaikan kami dan anda semua.

~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, February 10, 2012

dah tetua baru nak insaf

Kita adalah orang atau insan yang sentiasa nak jadi baik walau pun kita belum menjadi baik, tapi kita komited nak jadi baik. ~ Ustaz Pahrol Mohd Juoi : Orang ikhlas tertindas?
Itu mukaddimah Ustaz Pahrol dalam sembang bicaranya pada petang 23 Jan 2012 di radio Ikim, yang saya ulang dengar sekarang, sambil menaip entri di hari Jumaat yang penuh berkat ini.

Suara Ustaz bergemersik menyentuh hati.

Belum pernah lagi berjumpa dengan Ustaz Pahrol, tapi saya membayangkan mestilah orangnya tampan dan soleh.

Membuat kerja walau kecil tetapi dengan berjiwa besar.

Seperti kisah budak gembala kambing di zaman khalifah Umar yang tetap enggan menjual seekor kambing dari beratus ekor kambing milik tuannya kepada khalifah Umar, walau dipujuk oleh khalifah Umar yang mencadangkan supaya budak itu menipu kepada tuannya.

Katakan sahaja seekor kambing itu telah dimakan serigala.

Umpan Khalifah Umar, yang secara logiknya memang boleh diterima akal oleh sesiapa sahaja, ekoran suasana waktu itu di padang pasir dan budak gembala itu hanya bersendirian.

Kalau begitu, di mana Allah?

Bijak budak itu menjawab. 

Ah, lantas saya teringat diri saya. Sudah puluhan tahun bekerja, walau pun bukan sebagai gembala kambing. Tetapi saya pasti , saya tidak seamanah budak itu. 

Memanglah saya tidak menjual kambing yang bukan hak milik saya.  :D

Tapi, saya pasti ada -  mengguna bahan di tempat kerja dengan bukan tujuan kerja tapi dengan tujuan untuk diri sendiri. 

Charge henfon mungkin , tanpa kebenaran dan tidak pernah membayar bil elektrik sekolah.

Alahai ....

*dah tetua baru nak insaf , kan    :(

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, December 2, 2011

bila bersendiri, jiwaku pun mati

Fikiran.

Ia senang sahaja berubah, sekejap positif dan sebentar lagi ia akan jadi negatif. Dan negatif itu sering mendominasi. 

Fikiran ini akan menguasai emosi, lantas tindakan akan terhasil. Kalau positif dalam fikiran, maka positiflah tindakan. Bukan mudah menjadikan positif sebagai mainstream dalam fikiran sendiri. Kerana setiap kita sendiri pun sering berperang dalam dalaman diri. 

Mudah sebenarnya mengubah hidup ini, hanya mengubah cara fikir. Itu yang saya sering dengar. Tapi mudahkah mengubah cara fikir?

Sakit kepala dari semalam tak baik-baik.

Saya pandang wajah tua ibu mertua saya ini. Waktu mudanya , memang jelita. Ah, siapalah yang tidak cantik masa mudanya? Masa kudrat penuh dan tenaga mencurah, kan.

Nak Normah bawa ke klinik?

Dia geleng kepala.

Dan saya duduk di situ. Mengajaknya berbual, perkara tidak penting pun. Kemudian mengajaknya keluar dari bilik. Alhamdulillah, rumah yang penuh berkat itu, kerap dihiasi tawa dan tangisan cucu tuan rumah. Dan petang itu, cucu-cucunya ada menceria suasana, dan emak mertua saya kelihatan gembira dikelilingi cicit-cicitnya.

Camana sakit kepala emak?

Bila sudah lewat petang, sebelum beredar balik, saya tanya soalan tersebut pada ibu mertua. 

Ha... dah kurang sikit.

Saya tahu. Kerana sepanjang waktu itu saya perhati, dia banyak tersenyum dan bergelak tawa. Emosinya lebih ceria, kerana fikirannya dipenuhi unsur positif. 

Positif fikiran, positiflah tindakan.

Tapi , esok, lusa?

Bila dia duduk  bersendirian lagi nanti ...?

:(

Salam Jumaat, rakan-rakan semua. Semoga anda tidak bersendirian hari ini. :)

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, July 19, 2010

masa depan tidak ada siapa yang tahu

Bunyi telefon berdering tengahari semalam.

"Tengah buat apa Mah?" 
"Takde buat apa mak, tengah menanda kertas." Ibu mertua rupanya, di hujung talian.
"Masak ke hari ni?" 
"Errr... tak, pun. Makan kat luar je." Malulah pulak pada ibu mertua saya yang memang rajin dan suka sekali ke dapur. Berbeza betul dengan menantunya ini.

"Mah, mak nak tanya."
"Ya? Ada apa mak?"
"Hari ni dah  Syaaban ke?"
"Err... jap, nanti Normah tengok." Terkial-kial saya mencari kalendar. Ah... nasib baik, kalendar yang ada ditulis juga kalendar Hijrah. Lega.

"Ha...a, dah 6 Syaaban, lah mak"
"Ooo... mak ingat masih Rejab. Terima kasih ya. Tu je lah mak nak tanya."
"Itu je ke? Mak sihat ke......?Takkan tanya tu je?"
Mak mertua tertawa kecil. "Mata dah tak nampak tengok suratkhabar, mak nak tau tarikh je."

Nanti saya dah tua nanti, harap-harap tidaklah berdua sahaja bersama suami di rumah. Kasihan pula mengenang ibu mertua di sana. Bila bapa mertua keluar bersama rakannya, tinggallah ibu mertua bersama pembantu rumah sahaja. Nak tanya tarikh pun terpaksa menelefon anak, sebab anak dan menantu masing-masing jauh darinya.

Tapi , yalah, masa depan tidak ada siapa yang tahu pun.

~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, June 2, 2010

Negatif memang menarik

Apa-apa yang negatif sentiasa menarik. Dalam eksperimen di makmal untuk proses penyaduran, contohnya bila kita hendak sadur sudu besi dengan perak, sudu akan disambungkan pada punca elektrik di bahagian negatif. Logam penyadur iaitu perak (dalam kes inilah) akan disambung pada punca elektrik dibahagian positif.

Akibatnya atom-atom logam perak akan ditarik ke arah sudu besi melalui medium tertentu sebagai pengantara.

sumber
Ag = perak / silver


Pelajar selalu keliru bila melukis gambar alat radas eksperimen tersebut. Hendak letak sudu besi di bahagian positif atau negatif.

Saya akan ulang lagi, "Semua yang negatif menarik"

Dikeliling kita?

Tabii nya pun memang begitu, kan. Apa-apa yang negatif di luar sana atau di dalam sini (alam maya) memang menarik.

Contoh?

1. Berpakaian seksi menjolok mata dan hati - itu kan perkara negatif tetapi menarik, kan

2. gosip dan mengumpat- ini juga perkara negatif yang menarik

3. berdua-duaan antara bukan mahram - ini pun memang negatif yang menarik dilakukan

4. menjadi batu api - ini profesion negatif dan menarik

dan banyak lagi...lah kan.

Masing-masing pun tahu....

jadinya, selepas ini kalau anak-anak bertanya tentang proses penyaduran, dah tahu macamana hendak jawab....?


~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, May 5, 2010

mengajar anak merempit


bedessuuup....

saya yang memandu terkejut 'beruk' sekejap. budak-budak menunggang motosikal ni main memotong je di kanan semasa saya hendak keluar dari simpang. nasib baik la tak sakit jantung cikgu kamu ni.


kalau dah dasar merempit, siang buta berbaju sekolah pun nak merempit.


menengok baju dan lagaknya, memang pelajar-pelajar sekolah saya. dengan tidak berhelmetnya, beg sekolah pun tak ada, entah datang sekolah ke tidak bebudak ni.


bila pukul 1.40, kekadang barulah muncul diorang ni, bedesuup sana, bedesuup sini. kekonon diorang pun baru balik dari sekolah.


peraturan di sekolah, sesiapa yang tiada lesen dan tidak memakai topi keledar, tidak dibenarkan meletak motosikal dalam kawasan sekolah. tetapi diorang ni kan para bijak pandai, tak ada lesen dan tidak memakai helmet, tidak menjadi hal, caranya ialah meletak motor di luar kawasan sekolah, beramai-ramai.

yang ibu bapa pun, saya memang tak faham. dah beri motor, pastikanlah anak membawa dengan cara yang betul. pastikan ada lesen, pakai topi keledar dengan betul. sesekali buatla spot check, tengok anak-anak ini cara pemanduannya.



nanti kalau anak dah tersadai di tepi jalan dengan otak berterabur di atas jalan raya, tidaklah menyesal tak sudah, kan.

nak membesarkan anak bukannya senang, tapi nak memusnahkan hidup mereka sebenarnya... mudah je.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, April 16, 2010

Mendengar sebelum bertindak dan Bertindak sebelum mendengar


If I had My child to Raise Over Again-
by Diane Lemons (from Chicken Soup for the Teenage Souls on Love & Friendship)


If I had my child to raise all over again:
I'd build self-esteem first, and the house later.
I'd finger-paint more, and point-finger less.
I would do less correcting and more connecting.
I'd take my eyes off my watch, and watch with my eyes.
I would care to know less and know to care more.
I'd take more hikes and fly more kites.
I'd stop playing serious and seriously play.
I would run through more fields and gaze at more stars.





Saya kira banyak benarnya.


Kita masih ada masa. Masa untuk lebih berhubung dengan anak-anak kita dan remaja kita. Daripada menuding jari ke atas kesilapan dan kesalahan mereka, mari kita lebih berusaha mengikat hati mereka dengan hati kita.


Mencari silap memang mudah. Mencari benda yang tidak berkenan di mata kita memang senang. Fesyen rambut yang tak betul, tutur kata yang kasar, gelak tawa yang menyakit telinga, adab yang tidak sopan... memang itu jelas dan boleh ditegur bila-bila masa sahaja. Tetapi bebelan setiap hari dari seorang dewasa yang jauh hatinya dari hati mereka memang tidak akan dilayan serta tidak akan diendahkan.


Memang sikap remaja sedemikian rupa. Kita pun seperti mereka juga dulu. Rebellious. Orang lain sentiasa kita anggap sebagai lawan, kerana hati kita tidak bertaut. Mungkin kita patut lebih mendengar dari menuntut untuk didengar.

Daripada Sahl bin Saad as-Saa'idi r.a bahawa Rasulullah SAW pernah suatu ketika dihidangkan dengan minuman.

Di kanan Baginda terdapat seorang kanak-kanak, manakala di sebelah kiri adalah seorang dewasa. Selepas meminum sebahagian minuman tersebut, Baginda SAW bertanya kepada budak itu , "Adakah kamu izinkan aku memberikan air ini kepada mereka (orang-orang dewasa)?"

Lalu budak itu menjawab: "Tidak, demi Allah aku tidak akan lepaskan bahagianku daripadamu kepada sesiapa pun"

(dipetik dari Bercinta Sampai ke Syurga oleh Hasrizal Abdul Jamil m/s 9)


Yang mulia Rasul sendiri berusaha untuk mendengar dari anak-anak sebelum membuat tindakan. Mendengar dahulu sebelum bertindak.


Tetapi budaya kita ada kalanya , bertindak dahulu baru mendengar. Akibatnya rasa marah dan dendam tersemat di jiwa anak-anak kita. Marah dan dendam yang seterusnya kan membuah amukan dalam bentuk tindakan serta kelakuan.


Saya kira ada masanya kita sebagai orang-orang dewasa yang bergelar ibu bapa atau seorang guru perlu melihat kembali tindakan kita selama ini . Adakah selama ini kita menegur anak-anak kita dan remaja kita tanpa terlebih dahulu cuba membina ikatan hati yang baik?


Proses membina ikatan hati bukanlah semudah yang saya tulis ini, pastinya.

Ia perlukan masa dan kesungguhan kita. Moga usaha kita semua secara berdikit bisa menghasilkan kesepaduan. Moga masa depan yang kita tinggalkan nanti untuk anak-anak dan remaja kita adalah masa depan yang lebih tenang berbanding sekarang.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...