Saturday, May 19, 2018

Datang dan pergi





Memang resmi kehidupan. Yang datang akan pergi, yang patah akan tumbuh dan yang hilang akan berganti.

Cumanya, yang datang kali ini melangkah dengan gaya berbeza, semangat dan idea yang berbeza. Tidak pernah saya menulis dek kerana Menteri Pendidikan yang bertukar. Namun begitu, rasa keterujaan dan ingin tahu menyebabkan saya meluahkan rasa.

Bukan saya seorang sahaja yang sedang berada di dalam sistem pendidikan yang merasakan betapa lemas dan terumbang-ambingnya sistem yang ada sekarang. Seolah-olah sedang berada di dalam tong drum besar yang penuh dengan segala aneka sampah dan hilang arah bagaimana ingin menyelamatkan diri. Sesak, sesal dan pasrah.

Kami hanyalah pelaksana dasar, suara-suara kami tenggelam dek pelbagai arahan dan dasar yang bertukar arah seperti menukar baju. Walau sejauh mana jeritan dan cadangan kami, penentu akhirnya ialah kenapa sasaran A dalam SPM tahun ini tidak tercapai. Dan bila tidak tercapai, pegawai-pegawai dari Jabatan dan PPD akan turun kerana sudah pastinya tidak tercapai itu terkait dengan guru yang tidak bijak mengajar. Aduiii

Dasar dan pelaksanaan yang bercanggah merumitkan lagi sistem pendidikan yang sedia bercelaru. PAK21 yang secara teorinya nampak canggih dan menakjubkan; berkolaboratif, berkomunikasi sesama pelajar, tetapi diakhirnya, penilaian masih di atas sekeping kertas secara individu, dan masih A+ yang dikejar, bukan semangat kolaboratif atau keberkesanan komunikasinya itu yang diambil kira. Pelik.

Adab dan akhlak di kalangan anak-anak kita semakin terhakis. Kesabaran guru ada kala begitu nipis melihat kebiadapan sesetengah anak-anak ini. Memang mereka masih anak-anak, tetapi jika tujuan mendidik itu disalah erti dengan kezaliman guru, sifat murabbi juga akhirnya terhakis dan lahirlah para mudarris yang datang ke sekolah sekadar menyampaikan dan balik ke rumah. 

YB Dr Maszlee,

Saya mengalu-alukan YB ke dalam keluarga pendidkan. Tanggungjawab yang akan dipikul ini sangat mencabar kerana bidang inilah yang akan mencorakkan kepimpinan generasi akan datang bagi mentadbir negara yang kita cintai ini.

YB, 

Harapan seorang guru itu besar. Kami ingin melihat sistem pendidikan yang stabil, tidak kerap dilanda gelombang. Kami tidak ingin dinilai berdasarkan angka bagi setiap pengajaran kami, kerana pengajaran itu sifatnya relatif, berdasarkan pengalaman, situasi dalam kelas dan keupayaan murid. Penilaian yang sedemikian meruntuhkan sistem kepercayaan di antara rakan guru dan membunuh perkongsian sihat.

Kami juga ingin melihat kurikulum yang fleksibel supaya daya kreatif guru boleh dipertajamkan. Tajuk yang terlalu banyak dalam silibus untuk dihabiskan dalam satu tahun bukan sahaja membebankan tetapi menumpulkan semangat ingin tahu murid . Segala benda hendak dihadam oleh anak-anak kita, dengan segala subjek mak nenek yang perlu ditelaah untuk peperiksaan hujung tahun.

Jadual waktu yang sedia ada perlu diubah bagi memberi ruang anak-anak kita bernafas. Bayangkan dari pagi seawal 7.25 - 10.00am mereka dalam kelas dan diberi rehat hanya 20 minit sebelum menyambung kelas sehingga pukul 1.00pm. Kerana itu jugalah segala tenaga berlebihan mereka luahkan dalam kelas dalam bentuk salah laku, kerana tidak ada ruang bagi mereka melepaskannya bersama rakan-rakan. Rehat pendek diantara waktu seperti di Finland (How Finland Keeps Kids Focus) bagi saya sangat menarik. Setiap 45 minit masa instruksional, rehat 15 minit  di Finland berjaya membuat anak-anak di sana lebih fokus bila belajar. 

Tolonglah adakan satu sistem mengesan anak-anak yang lemah, adakah mereka ini autism atau dyslexia dsb. Kasihan anak-anak di kelas hujung, kerana sistem yang ada dengan guru-guru yang sedia ada tidak mampu untuk mengesan anak-anak ini dan akibatnya, mereka ini akan jauh ketinggalan dan akan dipinggirkan.

Peruntukan dan garis panduan yang lebih jelas juga perlu diberi dalam aspek kokurikulum. Apa yang berlaku sekarang, guru-guru yang membawa anak-anak menyertai pertandingan di luar terpaksa menggunakan kenderaan sendiri  tanpa insurans. Jika berlaku kemalangan dalam beberapa hal, guru-guru tersebut juga yang akan dipersalahkan . Sudah tiba masanya, PIBG digesa dan diwajibkan memainkan peranan untuk membantu pihak sekolah menangani isu ini. 

Segala sistem online yang dibangunkan oleh Jabatan dan Kementerian perlulah disepadukan. Bila dah ada SAPS, tak perlulah Jabatan meminta lagi segala Headcount dari sekolah. Bila dah ada APDM tak perlulah PPD sibuk minta bilangan pelajar Ting1 atau 2 atau 4, 5, 10 yang ambil DLP lah, yang keluarga miskinlah dsb. Sistem tersebut perlulah juga boleh diakses oleh orang -orang di Jabtan atau PPD. Bila dah ada HRMIS dsb, kenapa masih meminta lagi data berapa orang guru opsyen Sains dsb.

Peruntukan PCG yang diturunkan kadang-kadang melucukan. Kerapkali juga Pengetua memaklumkan, habiskan peruntukan ya cikgu2 sebelum bulan sekian, kalau tak habis juga, kita kena pulangkan pada Kementerian dan tahun depan kita akan dapat sedikit dari tahun ini. Pelik! Sepatutnya dasar yang ada, jika sekolah dapat menjimatkan duit PCG bagi tiga tahun berturut misalnya dengan semua aktiviti yang perlu ada terlaksana, sekolah itu patut diberi anugerah kerana berjaya menjimatkan wang kerajaan. Bukan seperti yang ada sekarang, habiskan wang peruntukan walau tidak perlu. 


Oh.... banyak lagi sebenarnya yang berlegar dalam kepala, tapi cukuplah dahulu setakat ini. 

Saya mendoakan YB diberikan Allah kekuatan dan keupayaan menerajui dunia pendidikan ini. Semoga insan-insan di sekitar YB juga berupaya membantu merealisasikan apa yang diharapkan.


Selamat berjuang.


~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...