Tuesday, February 20, 2018

Kenapa nenek lambat sangat ...






Mereka yang usianya sudah mencecah 50an ke atas, pastinya mengalami situasi yang hampir sama. Kudrat dan tenaga makin kurang dan  segala ragam  sakit mulalah menyerang. 

Bila di usia begini, bangun pagi tidak lagi boleh bergesa-gesa ibarat mereka yang berusia 20an. Terkejar-kejar ke sana dan ke sini. Langkah jadi lebih perlahan, nak bangun dari katil pun, tangan perlu mencapai dinding atau tiang mencari sokongan. Barulah faham kenapa nenek kita dulu lambat sangat nak melangkah, berkira-kira menghayun kaki dan berhati-hati  sekali mengatur tapak.

Resam dunia dan fitrah kehidupan. Begitulah.

"Alhamdulillah, zohor hari ini ramai yang datang."

Suara tok imam jelas sekali kedengaran melalui mikrofon di Surau al-Ittifaq itu. Surau  al-Ittifaq ini ialah  surau di kawasan rumah saya. Surau yang menjadi kebanggaan ahli kariahnya. Memang bangga. Walaupun saya bukanlah pengunjung tegar surau ini, tetapi saya tahu sedikit sebanyak perkembangan surau ini. Yalah, takkan ahli kariah tak ambil tahu, kan.


Surau al-Ittifaq


Waktu zohor 19 Februari 2018, yang baru sahaja berlalu, memang luar biasa keadaannya. Penuh sesak. Baik di ruang solat jemaah lelaki mahupun di ruang solat jemaah perempuan. Sehingga ruang solat perempuan di tingkat atas pun ada penghuninya. Subhanallah.

Biasanya setahu saya, waktu zohor tidaklah semeriah ini jemaah yang bersolat. 

"Untuk makluman semua, aruah adalah satu-satunya jemaah perempuan yang tidak pernah miss solat zohor di surau kita ini." Tok Imam menyambung kata, tetapi ayatnya terhenti di situ. 

Saya pasti ramai yang dapat menyambung kata-kata Tok Imam dalam fikiran masing-masing. 

Saya membandingkan diri saya dengan pernyataan Tok Imam. Malu. Jauh sangat hendak dibandingkan. Begitu sekali Allah memuliakan insan yang terpilih. Di atas dunia lagi, Allah tunjukkan layanan baik yang diberi kepada aruah jiran setaman saya ini. Beruntunglah beliau.

Solat jenazahnya ditunaikan oleh beratus insan yang datang dengan penuh keikhlasan. Tidak dibayar dan tidak dijemput oleh sesiapa pun. Doa-doa agar Allah mengampunkan dosa-dosa aruah diaminkan oleh semua insan  yang hadir. Saya pasti doa-doa sebegini yang dipanjatkan juga turut  dihiasi dengan rasa ikhlas sesungguhnya dan doa sebegini, amatlah kita yakini akan  kemakbulannya. 

Allah!!

Betullah.

Menziarahi kematian itu sentiasa menyedarkan. 

Seperti kata Ustaz Pahrol :
"Bila direnung wajah kematian, terasa sangat aneh dan misteri. Betapa ada insan yang dirasakan akan hidup lama, tetapi mati dengan tiba-tiba. Dan betapa ada insan yang dijangka tidak mempunyai harapan lagi, tetapi mampu terus bertahan dan hidup lebih lama. Cerita mati, cerita yang misteri. Detik tibanya ajal adalah rahsia seni Ilahi. Terlindung, tanpa dapat ditebak. Tersembunyi, tanpa dapat diagak. Itulah wajah kematian, pemutus segala kelazatan, mencantas impian dan harapan. "  - Aku dan Wajah Kematian 

Giliran saya entah bila. Bagaimanakah pula keadaannya? 

Menakutkan.

Dalam kelemahan diri yang serba daif ini, hanya doa sahaja yang boleh saya panjatkan, agar  Allah kurniakan husnul khatimah di penghujung usia saya. Amiin.

Mohon rakan-rakan juga bantu  mengaminkan doa ini ya. 

Salam Februari 2018.

~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...