"Ni semua rezeki dari Allah, kak"
Memang positif orangnya. Kecil molek. Usai berbincang dengan beliau tentang keberhasilan sasaran kerja tahunannya, saya membuat refleksi diri.
Benar sekali ungkapan beliau. Markah prestasi kerja adalah rezeki dari Allah. Walau bagaimana pun usaha kerja keras setiap dari kita untuk sepanjang tahun di pejabat/di sekolah, tetap markah akhir itu ditintakan oleh pegawai penilai kita yang pastinya telah ditentukan oleh Allah Yang Maha Kuasa.
Cuma ...., setelah sekian lama dalam profesion ini, saya dapat merumuskan bahawa sebahagian besar rakan guru tidak peka dan tidak ambil tahu tentang prosedur penilaian yang perlu dipatuhi oleh Pegawai Penilai.
Sebagai pendidik, skop penilaian prestasi guru dibuat mengguna pakai Sistem Penilaian Berterusan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPP). Tapi saya pasti, ramai dari rakan guru yang tidak menelaah pun Rubrik Pemarkahan bagi pemberian skor berdasarkan Instrumen yang ada.
Dan ramai juga yang tidak peka tentang Takwim Pelaksanaan PBPPP 2018.
Pegawai yang dinilai perlu ambil tahu bahawa dalam suku keempat tahun ini, salinan borang skor dan keberhasilan sendiri, perlu diterima dan disimpan. Rekod penyerahan salinan borang skor dan keberhasilan akan didokumenkan dalam fail oleh Jawatankuasa .
Uish... teknikalnya, kan.
Tu 👆, contoh bukti penyerahan oleh Pegawai Penilai.
Janganlah nanti ada yang tidak puas hati dan bercakaran di belakang kerana tidak menyangka dan tidak tersangka skor yang diterima tidak masuk akal.
Markah akhir 2018 hanya akan diketahui pada tahun depan melalui sistem HRMIS.
Nak pastikan markah keberhasilan adalah yang selayaknya, perlu ada perbincangan antara Pegawai Yang dinilai dan Pegawai Penilai. Berbincanglah dengan sebaiknya kerana urusan kerja adalah urusan profesional. Jangan ada termakan hati atau tersimpan dendam. Kita semua manusia biasa, tidak ada yang sempurna dan setiap dari kita ada kekurangan masing-masing.
Saya menyeru rakan guru terutama guru-guru yang masih muda dan perjalanan dalam karier ini masih jauh, untuk menelaah dengan teliti rubrik pemarkahan dan menyediakan evidens yang sesuai. Buku rekod mengajar yang merupakan dokumen utama dalam proses penilaian perlu dikemaskini dan diisi dengan lengkap.
Saya juga berharap Pegawai-pegawai Penilai yang telah dilantik tidak kira di mana sahaja, mematuhi SOP dalam membuat penilaian agar ia telus dan profesional.
Entri kali ini entri teknikal dan sesuai untuk yang berumur 25 tahun ke atas, bergelar guru dan mempunyai misi dan visi tersendiri dalam profesionnya. 😀
Janganlah mengambil sikap "saya ibarat lilin, biarlah saya terbakar" dan tidak peduli dengan PBPPP.
Dan tatkala menulis entri ini, terbayang wajah rakan guru yang baru saya kenali. Bertahi lalat di hujung bibir kirinya, lembut menutur kata.
"Betullah kak, saya dulu-dulu memang langsung tak kisah, Tapi bila kawan-kawan saya dah naik DG, saya masih lagi DG yang lama, terasa juga di hati saya, kak."
Harapan saya semoga kredibiliti profesion perguruan di negara ini berjaya dimartabatkan kerana saya sentiasa percaya untuk memartabatkan profesion ini, kita sebagai pendidik mestilah mempunyai nilai keilmuan yang tinggi. Bersikap profesional dan amanah dalam menjalankan tanggung jawab. Membantu bersama-sama rakan guru yang lebih muda untuk fasih dan faham keperluan dalam peningkatan prestasi kerja.
Semoga semua kerja buat kita diterima Allah sebagai amal yang baik.