Friday, October 26, 2012

Sombongkah saya?

Kalaulah semua kita diberi peluang untuk meminta,  dan segala permintaan itu akan dijamin makbul, agak-agaknya berapa banyakkah permintaan yang akan kita senaraikan?

Kalau saya?

Oh, saya mahu macam-macam. Segalanya. Semua yang baik-baik mengikut kehendak dan keinginan saya. 

Kak Midah, saya dah tuliskan doa saya atas kertas ni. Minta tolong nanti ya semasa di padang Arafah. 

Dan sahabat saya itu mengangguk, tersenyum.

InsyaAllah

Dan tatkala mendengar khutbah dari Arafah secara langsung semalam dari radio Ikim, saya teringatkan sahabat saya itu. Teringat juga tentang doa saya, yang saya tulis berhati-hati, satu-satu, khuatir sahabat saya itu nanti payah pula membacanya kalau tulisan saya macam cakar ayam.

Ingatan itu bukan sekadar sebuah ingatan yang berisi pengharapan sahaja, tetapi terselit bersamanya juga sekelumit malu. Malu dengan diri. Malu dengan keinginan duniawi yang tak pernah puas.

Terlebih malu bila mengingatkan mesej sahabat yang lain.

Tadi kak Midah pergi ke Ustaz dan beritahu yang dia nak pergi haji .  "Doakan saya, ya, Ustaz." 
Ustaz jawab ," Akak pergi ke makam Rasulullah dan bagitau  Ustaz Abdul Rahman berkirim salam dengan Rasulullah, Assalamualaikum."
Masa dia (ustaz) cakap  tu, muka dia berseri-seri gembira dan tersenyum.
Saya dok kirim doa satu kertas penuh, kirim salam kat Rasulullah pun tidak. Aduh. Harap-harap Rasulullah tak cakap saya ni sombong .. 

Ingatan saya tidak putus kepada kertas yang saya tulis dan titipkan melalui sahabat saya itu. Pasti isinya sudah terlebih tahu oleh yang akan memakbulkannya, jika Dia mahu memakbulkannya. Sedangkan yang terlintas di benak dan hati juga, Yang Maha Kuasa itu sudah maklum. 

Tidak salah mengirim doa itu.  Terlebih lagi jika disebut doa itu nanti di Padang Arafah. Ya, saya tahu.

Tetapi salam kepada Rasulullah, itu yang sungguh indahnya. Terlebih cantik bila pengirimnya ikhlas dan bersungguh. Rasa cinta dalam dadanya terpancar melalui bait katanya, dan bukankah Allah mengasihi hambanya yang kasih dan cinta kepada kekasihNya  itu. Juga, bukankah nanti, apabila Allah mengasihi hambanya itu, hidupnya terjamin baik dunia dan akhirat?

Satu pukulan kesedaran buat saya secara halus. Terkesan sungguh.

Semakin saya sedar, akhlak seorang Mukmin itu nilaiannya bukan sahaja pada budi dan pekertinya terhadap insan-insan di sekeliling, tetapi yang terlebih utama kepada Junjungan Besar Baginda. Mengirim salam dan memberitahu yang umatnya yang ini tidak pernah melupakan Baginda. Cantik sungguh. Indah sungguh.

Dan itulah azam saya selepas ini. Mengirim salam pada Rasulullah menerusi insan-insan lain yang dijemput nanti sebagai tetamu Allah di sana. 

Namun azam yang utama? Ingin menyampaikan salam itu sendiri kepada Baginda nanti.

Salam Aidil Adha buat semua.


~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

8 comments:

  1. Labbaikallahummalabbaik...

    Moga ada pangbilan Allah untuk kita ke sana...

    ReplyDelete
  2. Mungkin suatu hari nanti cikgu sendiri akan sampaikan salam. Selamat menyambut hari Raya Kurban.

    ReplyDelete
  3. Sudah pasang niat. Itu yang penting.

    ReplyDelete
  4. amin, ya..rabbala'lamin...

    ReplyDelete

terima kasih kerana sudi meninggalkan teguran membina, moga Allah sentiasa merahmati kita semua.