Nafasnya turun naik kencang, walau dia sedang duduk atas kerusi tolak.
Penatlah , Normah.
Selesai berurusan di tandas, menunaikan hajat besar, yang kali ini kerap mendesaknya, membuatkan dia cepat lelah .
Alhamdullilah, seperti tutur sahabat baik saya yang turut sama di sebelah, "Allah payahkan dia bahagian yang itu, dipermudahkan pula baginya bahagian yang lain." Anak perempuannya yang berhampiran menghulurkan bekas air kepadanya. Anak yang itulah beberapa hari ini menemaninya di wad, sementelah tidak berbuat apa di rumah menunggu keputusan SPM keluar.
Kesan kemoterapi kali ini agak teruk, mungkin sebab usia akak pun, kan.
Tapi, ayatnya bukan bernada keluh kesah atas sakit yang ditanggungnya itu. Tidak terkesan sedikit pun dalam nada suara yang keluar.
Wajahnya?
Terlukis redha dan pasrah yang bersih, membuatkan pandangan mata saya jadi kagum dan malu. Malu dengan diri , yang kadangkala sakit kepala yang sedikit pun, keluhan tak sudah meniti basah bibir sendiri.
Memanglah, sakit itu Allah limpahkan dengan rahmatNya, bertujuan meninggikan darjat hamba-hambaNya yang beriman. Dan saya lihat, itulah yang terjadi kepada dirinya.
Bukan semua orang adalah insan terpilih, Noorul.
Dan kata-kata itu berdengung-dengung, memantul tak sudah sejak dari mula ia dituturkan hingga sekarang. Ditujukan kata-kata itu buat sahabat saya yang turut sama berziarah.
Tetapi dalam masa yang sama, kata-kata itu membibitkan rasa cemburu dalam dada saya.
Pelikkan.
Cemburu kerana saya tidak terpilih untuk Allah kurniakan ujian sakit ? Bukankah Firaun itu adalah insan yang tidak pernah Allah kurniakan kesakitan dalam hidupnya. Dia bukan manusia yang terpilih. Tidak mahulah saya dikategorikan dalam manusia yang tidak terpilih itu. Nauzubillah.
Bukankah dalam helaian setiap sejarah pejuang agama, dalam kehidupan setiap insan-insan yang terpilih itu, kesakitan adalah teman akrab mereka? Kesakitan yang datang dalam pelbagai wajah.
Memang bukanlah doa saya untuk diberikan Allah ujian kesakitan dan kepayahan. Tidak.
Sebenarnya saya sangat cemburu dengan kekuatan dan ketabahan hati yang dimiliki oleh teman saya itu. Dengan redha dan baik sangkanya terhadap Allah di atas ujian getir yang sedang dilaluinya. Hatinya yang sekeping itu dihiasi dengan nilai positif dan tawadhuknya sebagai seorang hamba yang sedia diuji bila-bila masa. Dan penyerahannya yang bulat dan sifat percayanya bahawa Allah akan sentiasa menjaga dia dan keluarganya.
Terasa saya begitu kerdil di sebelahnya.
Manusia yang berjiwa besar, pasti tidak akan kalah dalam sebarang ujian yang dihadapinya.
sumber |
Doa saya untuk kak Rosiah , moga Allah kurniakan kesembuhan dan bahagia hidupnya dunia akhirat. Doakanlah untuknya juga, sesiapa yang membaca entri ini. Dan moga Allah makbulkan semua doa tersebut. Amin.
~cikgunormah@klcitizen~
Moga-moga beliau diberi kekuatan untuk mengharungi ujian ini.
ReplyDeleteamin. sahabat saya itu sangat tabah orangnya.
DeleteSemoga Allah memberi kesembuhan kepadanya. Ingin sekali melawatnya. Bersyukurlah kita dengan nikmat sihat yang Allah anugerahkan, esok lusa nasib kita entah bagimana.
DeleteSemoga kekuatan akan terus bersamanya serta kesembuhan akan datang dalam redzanya.
ReplyDeleteamin, jun
DeleteHuhu. Semoga sakit itu menjadi kifarah untuk menghapus dosa, dan menjadi asbab untuk ditinggikan lagi darjat di sisiNa. Amin.
ReplyDelete~ Good point of view. Thanks for sharing.
amin
Delete