Saya seorangkah yang berperasaan begitu?
Perasaan tentang apa?
Tentang laluan pembeli yang makin sempit di pasar malam Taman Keramat Permai ini. Jarak antara gerai yang bertentangan rasanya hanya sebesar dua punggung. Memang sempit.
Haha.
Ukuran punggung siapa pulak yang menjadi penanda arasnya kan. Itu cuma gambaran yang sengaja saya jadikan ia sedikit keterlaluan, akibat rasa tak suka bila hendak membeli belah di pasar malam.
Petang itu hanya ada 3 buah gerai sahaja yang akan saya tuju.
Gerai nasi ayam, bakso dan keropok lekor.
Itulah menu untuk makan malam saya hari itu. Gerai keropok lekor adalah gerai yang terakhir.
Saya memberitahu adik penjual keropok tersebut jumlah belian yang saya hendak. Sambil mengeluarkan duit dari dompet, mata saya terpandang seorang perempuan pengemis yang sedang meriba anaknya.
Tiada perasaan.
Ya..
Saya, waktu itu. Tiada perasaan.
Mata saya beralih semula pada adik penjual keropok. Laju dan tangkas dia memilih keropok lekor dan memasukkannya dalam plastik warna oren. Saya tahu itulah keropok lekor yang saya minta tadi.
Dan saya masih tidak berperasaan
Dik ...
Saya bersuara. Sebenarnya setelah berlawan dengan diri sendiri, sama ada hendak bertanya atau tidak, saya akhirnya bersuara.
Adik tersebut berhenti tiba-tiba. Seperti telah melakukan kesalahan dalam pengiraan keropok lekor yang sepatutnya dimasukkan.
Err... tadi akak mintak berapa ringgit?
Bukan 4 ringgit ke? Dia bertanya saya, seperti takut tersalah dengar.
Oh! Saya mintak 4 ringgit ya? Saya dah lupa saya mintak berapa..
Adik itu tergelak. Menggelakkan saya, saya kira. Hanya baru beberapa minit mengajukan permintaan, terus lupa apa yang saya minta.
Tanda-tanda kah itu?
Tanda apa?
Penuaan.
Banyak kerja ke kak? Haha...
Masih lagi dia menggelakkan saya. Saya pun ikut gelak sama. Kerana waktu itu terasa lucu sungguh.
Banyak kerja kah?
Sambil melangkah balik, saya perhatikan wanita pengemis itu. Berkulit halus, manis wajahnya, dan anak yang diribanya itu lena sedang nyenyak tidur.
sumber |
Cuma satu jalur fikiran yang melintas dalam kepala.
Ketentuan Allah, bukan saya yang bersimpuh di situ meriba anak saya. Jikalah Allah mentakdirkan saya lahir sebagai dia? Adakah saya juga akan seperti itu.
Bersyukur itu lebih berat dari bersabar, sebenarnya, kan.
~cikgunormah@klcitizen~