Wednesday, January 1, 2014

kabur dan keliru




Resah.

Jelas terpampang di setiap wajah di hadapan mata.

Pertandingan kali ini menentukan maruah kita semua. Masak seperti biasa. Canai dan adunlah seperti biasa yang kita buat sebelum ini.

Suara si ketua memberi arahan.

Masing-masing yang mendengar berbisik sesama sendiri.

Kita nak masak apa ni?

Tanya salah seorang ahli setelah tidak tahan cuba menerka dan menelah.

Masakan kita mesti ada rasa pedas, masin, manis cukup segalanya. Masaklah seperti biasa. Yang penting saudara semua masak. Bagaimana penilaian yang dibuat nanti tidak ditentukan lagi. Tapi yang pasti dalam masa 90 minit nanti ada penilaian terhadap masakan tuan puan.

Jawapan si ketua menambah lagi resah ahli-ahli kumpulan tersebut.

Bayangkan anda sebagai ahli dalam kumpulan tersebut. 

Tidakkah rasa risau itu akan menghinggap? 

Pasti ada, kan.

Rasa yang bercampur. Gelisah, risau, takut dan tidak pasti  menjadi satu.

Perasaan itu bukan sahaja dikongsi oleh ahli kumpulan, tetapi saya pasti ia diterima sama oleh semua yang terlibat .

Dan malam ini, sebelum memejamkan mata, saya pasti ramai rakan guru terutama yang akan mengajar anak-anak di tingkatan 3 untuk tahun ini, punya rasa yang sama. Keterujaan yang dilingkungi rasa tidak pasti dan segala ketidaktentuan.

Kita yang bergelar guru ini hanya pelaksana dasar. Melaksanakan dasar atas kapasiti kita sebagai pendidik. Dengan harapan yang menggunung juga agar setiap tindakan yang kita ambil dan jalankan itu memenuhi hasrat dan kehendak sebuah negara.

Ini bukan kerja enteng. Bukan kerja ringan. Amanah yang terpikul di setiap pundak manusia yang bernama guru itu sangat besar. Integriti yang terjalin dalam bidang tugas itu akan dipersoal bukan sahaja di dunia ini tetapi di akhirat nanti.

Namun begitu, dalam melaksanakan arahan yang kabur dan dasar yang sering berubah, membuatkan kita juga keliru, resah dan kecewa.

Tanyalah guru mana pun yang sudah berbelas tahun , malah yang berpuluh tahun dalam bidang ini. Matlamat dan kehendak kami sama, mahu meletakkan pendidikan itu jelas tersohor di dunia. Walau mungkin sesetengah kami agak lambat sikit berubah tetapi jika perubahan itu yang terbaik, memang kami akan tarik bersama rakan kami itu untuk turut sama dalam satu barisan.

Betul.




Tetapi, jika dalam keadaan samar dan kabur, pembuat dasar masih bertelagah dan berbincang yang tak sudah. Masih tidak tahu mahu ke kanan atau kiri? Masih lagi mahu berjuang atas landasan ego dan tidak mahu kalah, apakah daya para pelaksana ini?

Kan?

Apa pun, kerja masih perlu dilunasi. Anak masih perlu ke sekolah. Dan cikgu-cikgu tetap akan mengajar.

Selamat Mengajar semua , buat semua guru di luar sana.

~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...