Deskriptor yang ada ini perlu dipenuhi terlebih dahulu sebelum seseorang guru itu layak untuk diberi skor 5. Kemudian dari itu barulah kita boleh menimbangkan untuk pemberian skor 6 atas justifikasi yang sesuai.
Suara penceramah itu terngiang-ngiang di telinga saya.
Makin lama memang makin payah.
Zaman berubah, hendak atau tidak, selagi boleh, cubalah juga mana yang boleh. Tetapi, bila melihatkan kehendak yang tertera dalam panduan pemberian markah bagi pencerapan guru, ada rasa seperti sebuah kemustahilan yang perlu direalitikan oleh guru.
Mengajar itu adalah seni.
Biasanya semakin lama mengajar maka seni mengajar seseorang guru itu akan menjadi semakin baik. Namun begitu, pengajaran dalam kelas itu tidak terlepas dari kekangan dan halangan-halangan tersendiri. Dan kekangan serta halangan itu sendiri adalah unik.
Memberi markah kepada cara mengajar seseorang guru itu juga kadang kala sangat subjektif. Bergantung kepada si penilai.
Saya sentiasa mengimpikan pencerapan yang bersifat konstruktif. Mencari sudut baik dan kreatif seorang guru itu serta memberi wajaran yang sesuai atas sudut baik itu. Bukan mencari sudut kurangnya dan meletakkan deskriptor yang kadang sangat tidak realistik untuk skoran yang perlu dicapai.
Saya juga mengimpikan pencerapan kolaboratif di antara sesama guru secara bersama-sama, baik di dalam sekolah tersebut atau dari sekolah berjiran, bukannya dari satu 'lembaga' yang kadang tidak punya cita dan aspirasi sama. Yang kadang menjadi 'ahli lembaga' kerana melarikan diri dari beban di sekolah, lantas kembali ke sekolah sebagai penilai pula.
Pencerapan yang saya impikan itu tersebut bersifat dua hala, sama-sama menilai dan mencerap bersilih ganti, dalam institusi yang sama atau bertukar angin mencerap dan menilai rakan di sekolah berjiran. Dan perbincangan secara kolaboratif untuk meningkatkan kualiti pengajaran itu yang menjadi isu utama.
Dan waktu itu, bukan isunya markah pencerapan anda berapa, tetapi apakah yang sangat menarik dalam pengajaran guru itu yang kita boleh kongsikan. Bagaimanakah guru itu mengatasi halangan atau kekangan yang dihadapinya semasa proses pengajaran? Itulah yang dipersembahkan..
Kadang-kadang data dan statistik hanya menjadi penyedap mata si penilai kerana telah berjaya melengkapkan kerjanya, tetapi roh sebenar proses penilaian dan pencerapan itu telah terhakis disebabkan isu data dan statistik yang sangat tidak realistik.
Impian tidak semestinya menjadi kenyataan pada hari ini.
Salam ingatan.
~cikgunormah@klcitizen~