Monday, February 24, 2014

doa





Sesingkat doa yang mustajab.

Itulah jauhnya bumi dan langit, kata Saidina Ali apabila ditanya berapakah jauh dunia dan langit.

Bagi orang yang yakin dan percaya, perkara tersebut adalah benar. Sesungguhnya doa itu adalah senjata yang paling ampuh ibarat panah yang tajam. Bagi mereka yang dekat hubungannya dengan Allah,  mata panah yang dilemparnya pasti akan mengena.

Tapi bagi orang yang seperti saya ini?

Hubungan yang ibarat suam-suam kuku, mengingati Allah penuh khusyuk dalam kehendak dan harapan sahaja selalunya.

Bagaimana agaknya menentukan doa itu mustajab dan diterima Allah.

Ada cara lain rasanya yang boleh kita cuba.

sumber

Mendoakan untuk insan lain tanpa pengetahuannya. InsyaAllah, doa itu akan dimakbulkan dan kita juga mendapat balasan yang sama.

Bila melihat segala fitnah dan mehnah di sekeliling, yang dekat dan jauh, menimpa sahabat dan saudara seagama, memang doa sahajalah menjadi penyambung ikatan persaudaraan itu. 

Meski ada yang merasakan doa itu seperti angin yang berlalu begitu sahaja, tidak memberi makna besar dalam susah dan payah yang dihadapi, tetapi saya sentiasa yakin dan percaya Allah itu Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Dia yang memberi ujian, maka sudah tentu hanya Dia yang bisa melepaskan kita dari ujian tersebut. Dan doa dari insan-insan lain pasti dapat membantu tanpa disedari.

Jom kita doakan insan-insan lain di setiap kali kita menadah tangan. Bermula hari ini tanpa berlengah lagi.

Jom !!!

Salam ingatan.


~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, February 13, 2014

impian





Deskriptor yang ada ini perlu dipenuhi terlebih dahulu sebelum seseorang guru itu layak untuk diberi skor 5. Kemudian dari itu barulah kita boleh menimbangkan untuk pemberian skor 6 atas justifikasi yang sesuai.




Suara penceramah itu terngiang-ngiang di telinga saya.

Makin lama memang makin payah.

Zaman berubah, hendak atau tidak, selagi boleh, cubalah juga mana yang boleh. Tetapi, bila melihatkan kehendak yang tertera dalam panduan pemberian markah bagi pencerapan guru, ada rasa seperti sebuah kemustahilan yang perlu direalitikan oleh guru.

Mengajar itu adalah seni.

Biasanya semakin lama mengajar  maka seni mengajar seseorang guru itu akan menjadi semakin baik. Namun begitu, pengajaran dalam kelas itu tidak terlepas dari kekangan dan halangan-halangan tersendiri. Dan kekangan serta halangan itu sendiri adalah unik. 

Memberi markah kepada cara mengajar seseorang guru itu juga kadang kala sangat subjektif. Bergantung kepada si penilai. 

Saya sentiasa mengimpikan pencerapan yang bersifat konstruktif. Mencari sudut baik dan kreatif seorang guru itu serta memberi wajaran yang sesuai atas sudut baik itu. Bukan mencari sudut kurangnya dan meletakkan deskriptor yang kadang sangat tidak realistik  untuk skoran yang perlu dicapai.

Saya juga mengimpikan pencerapan kolaboratif di antara sesama guru secara bersama-sama, baik di dalam sekolah tersebut atau dari sekolah berjiran, bukannya dari satu 'lembaga' yang kadang tidak punya cita dan aspirasi sama. Yang kadang menjadi 'ahli lembaga' kerana melarikan diri dari beban di sekolah, lantas kembali ke sekolah sebagai penilai pula.



Pencerapan yang saya impikan itu tersebut bersifat dua hala, sama-sama menilai dan mencerap bersilih ganti, dalam institusi yang sama atau bertukar angin mencerap dan menilai rakan di sekolah berjiran. Dan perbincangan secara kolaboratif untuk meningkatkan kualiti pengajaran itu yang menjadi isu utama.

Dan waktu itu, bukan isunya markah pencerapan anda berapa, tetapi apakah yang sangat menarik dalam pengajaran guru itu yang kita boleh kongsikan. Bagaimanakah guru itu mengatasi halangan atau kekangan yang dihadapinya semasa proses pengajaran? Itulah yang dipersembahkan..

Kadang-kadang data dan statistik hanya menjadi penyedap mata si penilai kerana telah berjaya melengkapkan kerjanya, tetapi roh sebenar proses penilaian dan pencerapan itu telah terhakis disebabkan isu data dan statistik yang sangat tidak realistik.

Impian tidak semestinya menjadi kenyataan pada hari ini.

Salam ingatan.


~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...