Sunday, March 30, 2014

bergaduh biar bertempat





Memang kita adik beradik selalu bergaduh. Betul.

Dengki pun iya.  Terutama kalau abah dan emak melebihkan adik beradik kita dalam hal apa pun, kecualilah hal-ehwal mengemas rumah kan.

Ada ke adik beradik yang tak bergaduh sepanjang hidupnya? Lagilah kalau adik beradik kita memang jenis suka menyakat. 

Tapi.

Kalau orang mengata tentang adik beradik kita? Takkan kita berpeluk tubuh saja, kan. Biar pun memang betul adik beradik kita buat salah. Ya, kita akan marah pada adik beradik kita.

Betul. Marah sungguh-sungguh. Siapa yang tak akan marah pada adik beradik yang buat salah?

Tetapi jangan sekali mengata dan membodohkan adik beradik kita. Jangan!

















Bagi mereka yang sentiasa percaya kepada qada' dan qadar, kita tahu setiap yang berlaku ada hikmah di sebalik pahit atau manisnya kejadian.

Peristiwa MH370 memberi impak kepada setiap rakyat Malaysia. Dari sekecil anak yang sudah faham akan peristiwa kehilangan, setiap satu daripada kita merasai kesedihan dan keperitan yang dilalui oleh insan-insan yang terlibat secara langsung dalam kejadian tersebut.

Tidak bermakna bila kita tidak bersetuju dalam satu perkara, maka kita perlu tidak bersetuju dalam semua perkara.

Benar. Mungkin, mungkin dan mungkin cara pengendalian kes ini tidak betul di beberapa sudut tetapi tidak bermakna para petugas yang berada di luar sana mengendalikan usaha pencarian bertugas sambil suka-suka.

Memperlekehkan usaha dan ikhtiar petugas-petugas tersebut yang terdiri dari sahabat kita terutama yang tanah tumpah darahnya adalah Malaysia sangat menyakitkan hati.

We are Malaysians first.

Itu sepatutnya yang berlaku di saat orang-orang luar yang merasakan mereka lebih bijak pandai mengata dan memomokkan Malaysia. Tiada Malaysia yang kedua. Inilah satu-satunya Malaysia yang kita sayangi.

Pada saya, peristiwa ini mengajar kita apa ertinya sakit hati dan marah bila orang luar mengata dan memandang lekeh usaha dan kebaikan kita. Kita perlu tahu bagaimana untuk berdiri bersama. Bagaimana untuk bersedih dan menyapu luka di hati kita secara bersama sebagai satu keluarga. 

Kita perlu berhenti menikam sahabat setanah air  sebaliknya menikam musuh yang datang dari hadapan secara kolektif.

Peristiwa ini mungkin ditakdirkan berlaku di saat jatidiri anak-anak Malaysia berada di aras paling rendah, supaya rasa amarah yang membuak dalam dada ini menjadi penyebab kita sama bangun dan menempelak semula media-media asing, orang perseorangan dan kumpulan asing yang menyalak menggelakkan kita.

Selepas dari ini, kita perlu belajar membetulkan kesilapan kita, memperkemaskan pertahanan negara kita, mendidik anak-anak kita supaya lebih berupaya untuk berhadapan dengan para pembuli dunia.



Sangat saya bersetuju dengan Monyet King..


Salam Kasih buat semua yang cintakan bumi Malaysia ini.

~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...