Tuesday, July 30, 2019

Makin kemek batang hidung





Antara perkara yang akan disesalkan nanti ialah tidak meminta maaf. 





Bagaimana mungkin nanti mencari-cari wajah yang kita  ingin memohon kemaafan dari insan tersebut dalam bilionan manusia waktu itu? Ngeri pula bila membayangkan keadaan tersebut.


Dalam kekalutan, takut dan menakutkan itu. 


Sedangkan bila ada orang dari Jabatan/ Penaziran hadir di sekolah ingin menyemak fail sahaja pun, dah rasa kecut perut. Inikan pula, penentuan kesudahan kita ke mana, syurga atau neraka kah, berdasarkan amal dan takwa di dunia. Dan lebih parah waktu itu penyesalan bertubi-tubi datang kepada kita.


Suara Ustaz Abdul Somad dikeraskan waktu beliau menggambarkan keadaan di padang mahsyar nanti. Video ini video lama, tetapi sengaja saya dengar dan tonton. Sambil melipat baju , suara Ustaz Abdul Somad sesekali saya perlahankan, kerana tinggi suaranya menekankan isu dan kepentingan perkara yang ingin disampaikannya itu.






Apa lagi perkara yang disesalkan nanti?


Kurang bersedekah.


Waduh...

Terkena sahaja batang hidung saya yang kemek ini. Patutlah semakin kemek hidung saya sejak akhir-akhir ini. Isu yang masih belum selesai. 


Bersedekah itu senang saja diucap, tetapi saat membuka beg duit, masih  terkuis-kuis mencari nota wang yang paling kecil. Itu saya. Bukan sebut sesiapa pun.


Niat di hati memang hendak saja menghulur duit untuk bersedekah,  setiap masa dan saat, sebab takut nanti menyesali tidak berbuat demikian di akhirat nanti. Tapi kenapa setiap kali hendak berbuat demikian, terasa berat hati dan perasaan. Berkira-kira. 


Bukannya tak tahu pun, yang bersedekah itu menambahkan lagi rezeki.

Haduiii

Kan...


~cikgunormah@klcitizen~












Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, July 28, 2019

Bila serabut fikiran, kena buat ni .....





Sambil mata menumpu pada jalan, telinga saya menangkap jelas butir-butir nasihat Ustaz. Usia dah melewati separuh abad ini, dah kena bawa diri berjinak-jinak mendengar kuliah-kuliah pengajian, kan. 

Alhamdulillah zaman NOW ini, kuliah pengajian boleh saja dibawa ke mana-mana. Hendak atau tidak sahaja.

Lenggok bahasa Indonesia Ustaz kedengaran begitu lembut intonasinya, tetapi sesekali ada juga perkataan yang tidak biasa saya dengar. Pun begitu, intipati isinya saya fahami. Cuma nak melaksanakan itu yang menjadi masalahnya. 😄

Perjalanan saya masih jauh saat itu. Jadi suara Ustaz tersebut lah yang mengiringi saya dalam pemanduan.

Hamba yang pandai bersyukur

Itu  rupanya gelaran yang diberi oleh Allah kepada Nabi Nuh. Pelik juga kan. Kenapa Allah tak bagi gelaran, Hamba yang pandai bersabar

Sebab kita semua pun tahu tentang ujian-ujian hebat yang diterima oleh Nabi Nuh 'alaihissalam. 950 tahun berdakwah, bukan calang-calang manusia yang boleh buat. Cacian, hinaan menjadi makanan harian buat Nabi Nuh 'alaihissalam. Dan memang sudah semestinya, kesabaran level entah berapa yang ada dalam diri Nabi Nuh.

Tetapi, gelaran yang Allah kurniakan buat Nabi Nuh 'alaihissalam ialah Hamba yang pandai bersyukur.

Rupanya memang kesabaran itu adalah bersinonim dengan ujian. Hendak tak hendak, kita tiada pilihan saat sedang diuji. 

Hanya bersabar. 

Kalau tak sabar saat diuji ujian hebat, mungkin boleh hilang arah dibuatnya. Jadi, bersabar itulah yang menjadi peneguh buat sesiapa sahaja.

Dan dalam diri Nabi Nuh 'alaihissalam memang telah jelas punyai nilai kesabaran yang hebat. Itu memang tidak boleh dipertikai. Namun begitu, saat beliau diuji Allah itu, dalam kepayahan yang teramat dari masyarakat sekeliling, anak serta isterinya, beliau tetap tidak pernah lupa untuk bersyukur dengan segala nikmat lain.

Hebat, kan.


Waktu saat diuji, jarang sangat kita bersyukur dengan nikmat di sekeliling. Biasanya saat diuji, fikiran dan perasaan kita berkecamuk dengan permasalahan ujian. Serabut fikiran dengan cara dan daya untuk melepaskan diri dari permasalahan.

Selalu juga, tanpa diuji masalah pun, kita kerap terlupa dengan nikmat kesihatan, akal, rezeki makan pakai yang kita guna setiap saat dan masa. Segalanya kita ambil mudah. Itu saat tidak diuji.

Jika saat diuji? 

Bila sedang diuji, lagi lah kita terlupa. Sebab sibuk memikir dan mempersoalkan, kenapa, mengapa, segala ber'kalau' , jika dan sebagainya. Mana saatnya kita waktu itu yang sedar nafas yang ditarik itu nikmat, bangun berjalan itu nikmat, melihat itu nikmat, berfikir itu pun nikmat.


Tidak bagi Nabi Nuh 'alaihissalam. Dalam kegelutan digelar gila, mereng dan disindir dengan pelbagai laras bahasa, beliau masih sentiasa bersyukur. Pakai baju bersyukur, dapat melihat bersyukur, dapat bersuara bersyukur, dapat mendengar bersyukur, hatta setiap tingkah perbuatannya disulami dengan rasa kesyukuran.

Semakin diuji, semakin bertambah kesyukurannya.

Uishh... memang hebat sungguh. Layaklah Allah Yang Maha Tahu menggelar Nabi Nuh  'alaihissalam dengan gelaran tersebut.

Ibrah buat kita semua.

Terutama dan yang paling Number One ialah si penulis ini.  Ujian tak seberapa, mengeluh paling hebat. 😞

Salam Ahad kengkawan.

Alhamdulillah.


            



~cikgunormah@klcitizen~








Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...