Antara perkara yang akan disesalkan nanti ialah tidak meminta maaf.
Bagaimana mungkin nanti mencari-cari wajah yang kita ingin memohon kemaafan dari insan tersebut dalam bilionan manusia waktu itu? Ngeri pula bila membayangkan keadaan tersebut.
Dalam kekalutan, takut dan menakutkan itu.
Sedangkan bila ada orang dari Jabatan/ Penaziran hadir di sekolah ingin menyemak fail sahaja pun, dah rasa kecut perut. Inikan pula, penentuan kesudahan kita ke mana, syurga atau neraka kah, berdasarkan amal dan takwa di dunia. Dan lebih parah waktu itu penyesalan bertubi-tubi datang kepada kita.
Suara Ustaz Abdul Somad dikeraskan waktu beliau menggambarkan keadaan di padang mahsyar nanti. Video ini video lama, tetapi sengaja saya dengar dan tonton. Sambil melipat baju , suara Ustaz Abdul Somad sesekali saya perlahankan, kerana tinggi suaranya menekankan isu dan kepentingan perkara yang ingin disampaikannya itu.
Apa lagi perkara yang disesalkan nanti?
Kurang bersedekah.
Waduh...
Terkena sahaja batang hidung saya yang kemek ini. Patutlah semakin kemek hidung saya sejak akhir-akhir ini. Isu yang masih belum selesai.
Bersedekah itu senang saja diucap, tetapi saat membuka beg duit, masih terkuis-kuis mencari nota wang yang paling kecil. Itu saya. Bukan sebut sesiapa pun.
Niat di hati memang hendak saja menghulur duit untuk bersedekah, setiap masa dan saat, sebab takut nanti menyesali tidak berbuat demikian di akhirat nanti. Tapi kenapa setiap kali hendak berbuat demikian, terasa berat hati dan perasaan. Berkira-kira.
Bukannya tak tahu pun, yang bersedekah itu menambahkan lagi rezeki.
Haduiii
Kan...
~cikgunormah@klcitizen~