Pagi Ahad sudah semestinya, rutin harian ialah mencuci kereta. Stok seminggu pencucian kereta. Seminggu sekali sahaja kereta ini dicuci.
Alhamdulilah, badan kereta tak seperti badan manusia. Kalau seminggu sekali sahaja badan tuan punya kereta ini dicuci, rasanya berlengas dan berbau itu sudah semestinya. Sib baik badan kereta ini tak seperti badan tuannya .
Sambil menunggu giliran kereta dicuci, sempat mendengar ucapan Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik dalam Majlis Pelancaran Laporan Tahunan 2018 PPPM 2013 - 2025. Bersemangat pulak tetiba nak menulis usai mendengar ucapan beliau.
Perkataan ITQAN disebut-sebut oleh YB Menteri, menegaskan tentang budaya kerja masa kini yang perlu diambil peduli dan diamalkan dalam kalangan warga KPM. Kata beliau jika budaya masyarakat Jepun dengan KAIZEN nya, iaitu perubahan kepada yang lebih baik, kita dalam kalangan warga KPM perlu mendasarkan ITQAN sebagai budaya kerja.
ITQAN membawa maksud melakukan sesuatu kerja itu dengan tekun, bersungguh-sungguh, teliti, cermat dan kemas.
Disebut dalam hadis NAbi rupanya semangat bekerja seperti ITQAN ini.
إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah ‘Azza Wa Jal kasih apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu amalan hendaklah buat secara tekun.”
Rujukan di sini
Dalam ucapannya juga yang menarik perhatian saya ialah sekolah yang diiktiraf pencapaian KBAT cemerlang meningkat dari 4.6% 2017 kepada 67% pada tahun 2018.
Disebut juga 70 % guru yang telah dilatih dalam PAK21 telah dinilai baik dalam PAK21 daripada penilaian semula.
Yang menarik perhatian saya, ialah semasa YB Dr Maszlee Malik membuat refleksi semula terhadap pencapaian guru-guru dalam PAK21 ini ialah, adakah semasa pelaksanaan PAK21 ini, guru-guru melaksanakannya sebagai tuntutan kerja semata-mata atau sememangnya guru-guru ini menjalankannya dalam rangka bebas minda dan jiwanya.
WoW!
Kerana, kata beliau, jika KBAT itu dipaksa rasa dan pikul, ia bukan lagi menjadi KBAT. KBAT yang sebenarnya ialah saat merdeka jiwa dan minda guru itu dalam melaksanakannya.
KBAT sebenarnya ialah memberi kebebasan minda untuk berfikir kritis dan kreatif.
Memang mencabar betul jika hendak diimplementasi di sekolah. Gimana yah?
Pandangan kerdil saya ialah bila mana guru berinovasi dalam menyelesaikan masalah pengajarannya, saat itu beliau telah dan sedang melaksanakan KBAT.
Majoriti guru yang mendidik anak-anak yang sukar menguasai konsep dan kandungan pembelajaran, sentiasa berfikir ligat bagaimana memastikan anak-anak ini boleh faham, guna dan mendapatkan makna dari pembelajaran mereka. Apabila guru-guru ini berjaya mencari jalan dan mengguna pakai method tersebut, untuk memberi makna ilmu kepada anak murid mereka, sememangnya jaluran mendapatkan KBAT itu telah guru-guru ini perolehi.
Cumanya, budaya mendokumenkan dan berkongsi inovasi itu yang belum mendaging dalam sistem pendidikan kita. Doa saya semoga generasi guru baru yang ada di Malaysia ini bisa mendarah dagingkan budaya berinovasi ini iaitu mendokumenkan cara-cara mereka mengatasi cabaran mengilmukan anak didik. Setelah mendokumenkan, guru-guru ini terus tampil berkongsi strategi dan teknik tersebut.
Memang pada masa itu saya percaya, KBAT dalam kalangan warga pendidik itu tuntas sekali.
Jom berehat hujung minggu, golek-golek dalam rumah 😆
~cikgunormah@klcitizen~