Aidilfitri kali ini rasanya banyak diwarnakan dengan deraian air mata serta titisan darah yang merata. Saban hari kisah kematian berdarah dari pelbagai sebab dan musabab menghiasi dada akhbar dan menghinggap di telinga.
Sadis.
Tragis.
Mengerikan.
Terbaru, yang sempat menjadi halua telinga dan jamuan mata ialah kisah malang yang menimpa seorang kerani . Ajalnya tiba tatkala memeriksa bungkusan aneh di atas kereta milik abangnya. Begitu sekali bencana yang melanda kita zaman mutakhir ini.
Ditambah pula dengan kisah kemalangan pelbagai, yang banyak melibatkan kematian.
Kebakaran dan kemalangan jalan raya menjadi rencah yang merencamkan lagi warna kesedihan dan tangisan mereka yang ditinggalkan.
Nasib kita yang masih belum diuji dengan ujian-ujian hebat seperti itu belum tentu lagi.
Tidak ada sesiapa pun yang dapat memastikan diri sendiri akan selamat, apatah lagi insan-insan di sekelilingnya. Biar pun kita mengambil setiap langkah yang difikir dapat menjauhkan kita dari segala bencana apa pun ..., tetap, jika sudah tertakdir, tiada siapa yang dapat menangkis .
Yang indahnya menjadi seorang Muslim adalah sifat pergantungannya dengan Allah. Setelah segala ikhtiar dan usaha kita lakukan, kerisauan yang bersarang akan Allah gantikan dengan ketenangan jika kita meminta urusan melindungi itu dipulangkan kmbali kepada Yang Maha Kuasa.
Kerana kita memang tidak punya kuasa.
Saya teringat satu cerita lucu bagaimana seorang perompak yang telah merompak sebuah rumah. Kejadian itu disedari oleh tuan punya rumah yang tidur di tingkat atas. Walaupun begitu dia tidak berani melawan kerana perompak itu bersenjata.
Cuma sebelum perompak itu keluar dengan barang-barang rompakannya, tuan rumah berkata, “ sebelum kamu pergi jenguklah isteri saya yang berada di tingkat atas… dia telah menunggu kamu selama 15 Tahun.”
Apa maksudnya lelaki itu?
Maksud lelaki itu, selama 15 tahun isterinya dalam keadaan bimbang, takut dan sentiasa bersangka buruk yang rumah mereka akan dirompak.
Dan kali ini apa yang disangkanya itu telah benar-benar telah terjadi. Ya, walaupun itu sekadar sebuah cerita… tetapi realitinya memang berlaku dalam hidup ini.
Allah mengingatkan kita melalui sebuah hadis Qudsi: “Aku bertindak sebagaimana sangkaan Hamba-Ku. Dan Aku akan selalu bersama hamba-Ku jika dia mengingati-Ku. Kalau dia mengingati-Ku didalam dirinya, Aku mengingatinya dalam diriku. Apabila dia mengingatiku di khalayak ramai, Aku mengingatinya di tengah khalayak yang lebih ramai lagi (para malaikat dan seluruh makhluk).”
Namun, perlu diingat bahawa sangka baik perlu diimbangi oleh sikap berhati-hati. ~ Ustaz Pahrol : Cukup Hanya Sekali
Yang penting... berhati-hati.
Doa saya moga semua kita ini Allah selamatkan dunia dan akhirat dari segala mara bahaya, fitnah, bala bencana serta mala petaka.
Ameen.
~cikgunormah@klcitizen~
Mudah sahaja nyawa manusia diragut. Adakah kita berasa selamat dan aman sekarang ini?
ReplyDeletememang tak selamat rasanya di mana-mana pun sekarang .. kan
Delete