Saturday, September 14, 2013

tak habis-habis menumpang






Ada orang nampak hebat kerana pakaian yang melekat di tubuhnya. 

Mungkin kerana fesyen terkini, up to date , membalut tubuhnya. Jelas penampilannya berjaya mencuri pandangan insan-insan di sekeliling. Memang hebat. 

Ada orang lain pula nampak hebat kerana kenderaan yang dipandunya.

Menjalar, berkilauan, terlebih lagi kalau kereta import berjenama mahal yang punya kelas tersendiri. Bercermin mata hitam dan gelap juga cermin keretanya, memang pasti nampak hebat. Tidak kiralah si wanita atau lelaki. Biar pun lelaki yang punya perut yang boroi. Boroinya kala itu pun nampak hebat juga, kan.

Ada pula yang nampak hebat kerana gadget yang sedang diguna pakai.

Mungkin henfonnya jenama terbaru yang panas di pasaran. Atau kamera yang disandang ke hulu ke hilir mengalahkan besarnya kuali di rumah saya. Atau mungkin juga laptop di ribanya nipis sungguh, senipis kulit bawang . Kagum orang lain yang melihat. Pasti hebat kan. 

Hebat di mata . 

Hebat yang terhasil atas menumpang. 

Menumpang atas makhluk-makhluk yang tidak bernyawa.

Pelik kan.

Kita nampak hebat kerana pakaian, alat make up, kereta, henfon atau mungkin juga kerana emas berlian yang tersarung. Mungkin juga kerana cermin mata, tudung yang melilit di kepala atau mungkin juga serban dan jubah yang kita sarungkan pada tubuh badan.

Tapi mungkin juga hebatnya kita kerana daya fikir dan petah nya kita berbicara.

Itu tidak menumpang jugakah?

Idea dan petah kita pasti bersumber dari  inspirasi di sekeliling. Ia tidak terbina dengan sendiri. Kita perlukan pengalaman bagi membina idea. Pengalaman yang mungkin kita ceduk dari pembacaan atau tindak balas yang berlaku hasil dari hubungan kita dengan persekitaran.

Hidup kita sebenarnya menumpang.

Menumpang atas makhluk lain yang bernyawa atau tidak.

Jelas, kita sebenarnya tidak sehebat mana tanpa makhluk-makluk  tersebut di mata manusia.

Dan masih lagikah rasa sombong dan megah diri atas hebatnya kita itu perlu dibiar bertapak dalam diri?




Bertawadhu'lah.

Itu pesanan seorang ustaz semalam dalam ruangan motivasi pagi di radio IKIM. Dan baru sekarang saya tersedar . Memang benar sungguh kata ustaz tersebut.

Kita semua hanya menumpang atas makhluk yang lemah .

Tersangatlah lemahnya kita.

Salam  Hari Malaysia.


~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments:

Post a Comment

terima kasih kerana sudi meninggalkan teguran membina, moga Allah sentiasa merahmati kita semua.