Merisaukan.
Menakutkan.
Dua perkataan yang saya kira paling banyak menghinggap di hati semua orang akhir-akhir ini. Ada saja perkara yang akan merisukan dan menakutkan kita.
Dunia akhir zaman. Begitulah. Semua kita pun tahu. Fitnah berleluasa. Bala dan musibah merata.
Dia boleh pergi je sambil menjawab. Kurang ajar betul. Biadap sungguh.
Saya mendengar dari kejauhan.
Nampak amarah di wajahnya. Geram yang cuba dibendung kerana kebiadaban insan lain bergelar anak murid.
Bukan insiden yang pertama. Dan bukan juga dia insan pertama yang mengalami situasi tersebut.
Lewat bulan ini sahaja beberapa guru mengalami insiden sedemikian rupa di sekolah. Anak-anak murid seolah merajalela menjawab dan melampias marah serta melambakkan rasa tidak puas hati di hadapan guru. Menendang meja, memaki dan mencela guru, seolah tidak pernah diajar bahawa perbuatan tersebut tidak wajar sungguh dibuat meski ke atas rakan sebaya.
Mana silapnya?
Saya tidak mahu menuding jari. Saya seorang guru dan dalam masa yang sama, adalah seorang ibu juga. Anak saya sendiri tidak tentu perangainya di belakang saya.
Tetapi, setiap masalah pasti berpunca.
Yang pasti, anak bermasalah, hanya ibu dan ayah sahaja yang tahu puncanya di mana. Merekalah yang membesarkan anak tersebut dari sekecil-kecil dalam rahim hingga ke sekolah. Sebagai orang luar, guru-guru hanya bisa menerka dan membuat andaian.
Berpuluh tahun mengajar, pengalaman sendiri menunjukkan sahsiah generasi muda makin merosot. Ibu bapa makin hilang kuasa membentuk akhlak anak sendiri. Kita menyalahkan persekitaran tetapi sebenarnya kita juga adalah sebahagian dari persekitaran tersebut.
Merisaukan sungguh.
Saya berpendapat jika hendak merubah, mestilah kita sebagai ibu bapa yang perlu berubah dahulu. Pertama-tamanya ialah mengubah cara kita berbahasa dan melihat insan lain.
Berlemah lembutlah terutamanya dengan anak-anak muda dan hormatilah insan yang lebih berusia. Bukan begitukah yang dibuat oleh Baginda Rasul sejak dari mula.
Saya berdoa saya pun begitu juga.
Berlemah lembut. Bukan berlemah lembik.
Salam ingatan.
~cikgunormah@klcitizen~