Tuesday, December 17, 2013

bila giliran?




Isu kenaikan harga tidak lagi akan memberi kesan .

Kisah banjir, tanah runtuh, rompakan dan masalah sosial tidak lagi akan menambah atau mengurangkan nilai hidupnya.

Saya membaca semula maklumat yang tertera pada skrin hp. Mengingatkan semula, mahu supaya apa yang saya lakukan kali ini yang terbaik .

cara solat jenazah ringkas

Kematian memang perkara biasa. Saban hari memang tetap akan berlaku kematian di sekeliling.  Dan selalunya berita kematian insan-insan yang namanya tidak memberi erti dalam hidup kita hanya menyinggah di cuping telinga .

Tetapi kematian insan yang jalur hidupnya sedikit sebanyak kita tahu dan kita sedari kewujudannya pasti akan terlebih memberi makna dalam hidup kita sendiri. 

Walau pun mungkin jalur hidupnya itu hanya ibarat seurat rambut halus yang kita kenal. Tetap, berita pemergian insan tersebut terlebih dahulu dari kita, akan membuat kita tersentak. Dan fikiran kita akan berlari-lari ke belakang, menyingkap warna-warna lembaran hidup kita yang terisi memori yang sedikit bersama insan tersebut.

Pasti.

Dan saat melihat deretan jemaah berdiri menyembahyangkan jenazahnya tengahari tadi, sedikit rasa halus mengalir dalam jiwa. 

Bagaimana pulak nanti bila giliran saya yang akan tiba?

Adakah Allah akan izinkan jenazah saya nanti di sembahyangkan oleh jemaah yang ramai juga?

Dan keinginan yang begitu kuat membuak dalam hati , memohon agar Allah membuka rahmatNYa agar kesudahan nafas saya yang terakhir  dalam keadaan diredhai oleh suami, anak, kaum keluarga dan sahabat handai saya nanti.



@Masjid al-Hidayah


Usia tidak menentukan sama ada kita yang terlebih dahulu akan dipanggil mengadap Allah atau sebaliknya.  

Semoga roh Norzila Osman, sepupu kepada suami saya, tenang bersemadi di kalangan para solehin dan diampunkan segala dosanya oleh Allah Rabbul Jalil. 



 
~cikgunormah@klcitizen~






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, December 8, 2013

35






Saya tak suka tarikh lahir bulan Disember.

Lebih kurang begitulah ayat yang terluah. Saya tidak begitu ingat ayat-ayat yang sebetulnya. Tapi saya kira begitulah lebih kurang yang terluah dari bibirnya.

Kenapa?

Ya. Hairan juga saya.

Saya selama ini tidak pernah berjumpa atau terjumpa dengan sesiapa pun yang kurang gemar dilahirkan pada bulan yang tertentu. Kerana saya kira tarikh lahir itu bukan pilihan, dan ramai yang menerima sahaja ketentuan tersebut.

Tapi saya tahu, pernyataan dia waktu itu bukan bermakna tidak menerima ketentuan.

Seperti saya juga. Saya juga tidak suka dengan nama sendiri. Saya punya alasan tersendiri kenapa dan mengapa. Bukan bermakna saya tidak menerima ketentuan. Cuma rasa itu sahaja, rasa tidak suka .

Rasa itu yang terjelma di dalam hati. Selebihnya tidak ada apa sebenarnya.

Sebab, bulan Disember sekolah bercuti. Dari dahulu lagi, hari lahir saya tidak dapat saya sambut bersama kawan-kawan sekolah. Sama ada sambutan dibuat lebih awal atau dilewatkan, kerana masing-masing bercuti sekolah.

Oh!

Betullah tu. Patutlah dia tidak gemarkan Disember sebagai tarikh lahirnya. Haha...

Dan kali ke 35 ini juga kan. 

Alahai.

Sekolah bercuti, dan saya hanya dapat mengucap Selamat Hari Lahir di alam maya sahaja., Noorul.

Kek atau yang sejenis dengannya, tunggulah bila sekolah dibuka nanti, k.

Apa pun, saya mendoakan segala yang terbaik itu Allah kurniakan untuk Noorul sekeluarga. Dunia dan akhirat. 




Bertuah itu hadiah untuk saya sebenarnya. Bertuah kerana diberi peluang oleh Allah untuk mengenal dan disayangi oleh seorang sahabat bernama Noorul.

Selamat Hari Lahir , Noorul.

Salam ingatan.

~cikgunormah@klcitizen~






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, December 2, 2013

ujian




Kenapa?

Persoalan yang hanya Allah yang tahu jawapannya. Takdir telah tertulis. 

Kejadian yang berlaku,  menjadi ujian maha berat untuk keluarga yang ditinggalkan. Kes tiga beradik yang kematian mereka dipercayai ada unsur jenayah itu merenggut hati ramai yang membacanya. Meninggalkan kesan pilu bagi setiap ibu dan ayah yang mengetahui. 

Kalau kita sendiri pun ingin tahu mengapa dan kenapa ia berlaku, bayangkan apa yang berlegar dalam kepala insan-insan yang diuji itu sekarang ini.

Dan sekadar yang kita mampu buat saat ini hanyalah menitipkan doa agar ketiga-tiga adik beradik itu dalam lindungan Allah dan ditempatkan mereka dalam golongan orang yang diredhaiNya. Juga doa buat ibu dan ayah serta sahabat handai mereka , semoga Allah beri kekuatan , ketabahan dan ketenangan menghadapi hari-hari yang mendatang.

Suram dan mendung di luar waktu ini. Sambil saya menulis apa yang asyik berlari dalam kepala. Mendesak agar diluahkan. Terbuku jika tidak terlaksana.

Dan berita tersebut meluluhkan hati.

Bukankah kisah hebat lahir dari kesedihan yang meruntun jiwa. Walau pun mungkin tulisan saya tidak sehebat mana, tetapi luahan hati dari rasa sedih yang menyesak dapat mengurangkan sedikit belenggu yang ada.

Kematian itu pasti.

Dan ia berlaku setiap saat.

Ujian juga pasti.

Cuma, bagaimana dan bila? Hanya Allah yang punya jawapannya.

sumber



Doa saya buat semua yang diuji dengan segala kesedihan, agar Allah menggantikan kesedihan itu dengan rahmat dan keampunanNya.

Ameen.


~cikgunormah@klcitizen~ 



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...