Kadang-kadang rezeki kita itu datang melalui orang lain.
Suara Ustaz Muhammad jelas menembusi gegendang telinga terus menjentik hati saya. Saya perlahankan sedikit nada bunyi radio. Siaran Ikim pagi tadi menjadi pilihan. Dan sememangnya rezeki yang Allah beri itu pelbagai bentuk dan bervariasi warnanya.
Pagi tadi, peluang Allah beri pada saya dapat mendengar siaran ulangan Pesona D'Zahra bertajuk Mengimani Kemuliaan Allah.
Menarik intipati perbincangan tersebut.
Menarik intipati perbincangan tersebut.
Bila saya duduk-duduk dan melihat pesakit HIV Muslim yang ada di pusat saya itu, terasa sungguh kemuliaan Allah, rahmat dan sayang Nya Allah kepada hambaNya. Tengok pekerja-pekerja tersebut membersihkan badan pesakit yang sudah bedridden dan disisihkan oleh keluarga sendiri. Kita tak sangka, rezeki dipelihara dalam keadaan sakit itu datang melalui orang lain. Orang asing , bukan keluarga sendiri pun yang Allah salurkan rezeki tersebut..
Begitulah lebih kurang isi kata Ustaz Muhammad tersebut. Saya tidak sempat sebenarnya menyalin transkrip sebenar Ustaz. Tetapi lebih kurang begitulah yang saya ingat.
Kenapa tersentuh hati saya?
Bukan tentang pesakit tersebut.
Tersentuh hati saya kerana kerdilnya diri. Tahu tentang kekuasaan Allah dan rahmatNya. Tahu sangat-sangat. Memang jelas tahu. Tapi mengimani dengan sesungguhnya tanpa rasa gusar dan risau?
Masih jauh lagi rasanya perasaan itu.
Masih kerap juga dalam hati ini, terutama bila melihat anak sendiri yang sememangnya bukanlah cemerlang dalam akademik. Rasa gusar itu sentiasa ada. Risau tentang masa depannya. Khuatir bila mana nanti jika saya atau ayahnya sudah tiada, bagaimana pula dia hendak mengatur hidupnya. Takut jika nanti dia kecundang dalam meneroka jalan dalam hidupnya.
Tapi kan, rezeki itu mutlaknya milik Allah.
Allah yang mengatur.
Allah yang menentukan.
Keyakinan kita nanti itulah yang membuahkan hasil .
Berbaik sangka dengan Allah. Yakin dengan rahmatNya. Itu yang perlu saya tanam kuat-kuat. Jangan ragu-ragu bahawasanya Allah itu penuh dengan kasih dan rahmat.
Seperti yang dikongsikan oleh Mufti Menk dalam salah satu ceramahnya, tentang kuasa sebuah doa. Doa seorang nenek yang beserta yakin dan pengharapan sepenuh mutlak terhadap Allah, dijawab Allah dan dimakbulkan. Rezeki cucunya untuk diubati oleh satu-satunya Doktor terkemuka di Pakistan, Allah kurniakan melalui insiden-insiden hujan lebat, kapal terbang rosak dan sebagainya. Tontonlah video di bawah. Sangat menginsafkan.
Saya perlu mendidik hati saya untuk mengimani dengan sesungguhnya tentang kekuasaan Allah. Bukan setakat tahu, tetapi yakin dengan sesungguhnya tanpa rasa khuatir dan penuh dengan persoalan.
In shaa Allah.
Dengan kehendakNya, kita semua akan begitu. Amin.
~cikgunormah@klcitizen~