Saturday, April 11, 2015

ternoktah






Hidup ini seperti sebuah mimpi sahaja. Sekejapan cuma. Bila menoleh ke belakang meninjau masa-masa lampau, kelihatan perjalanan yang sudah diredah itu seperti berabad lamanya. Tetapi kenapa dalam hati dan perasaan ini seperti semua itu baru sahaja berlaku.

Benarlah.

Hidup di dunia ini hanya  persinggahan. Alam ini adalah alam kedua dalam kehidupan kita menuju alam barzakh dan alam akhirat. Namun persinggahan sebentar ini merantai jiwa sehingga terlupa tujuan sebenar. 

Namun, sesekali diri ini tersedar semula.


6 tahun dia sakit.


Suara suaminya masih terngiang-ngiang di telinga saya. Sekujur tubuh di hadapan saya waktu itu suatu waktu dahulu adalah teman baik saya. Masa dan keadaan memisahkan kami. Dan berpuluh tahun tidak bersua dengannya.

Kalaulah bisa air mata itu mengalir sederasnya di pipi saya, mungkin rasa dalam hati sehingga ke hujung ini akan kurang. Kelemahan saya yang sesetengah daripada mereka mengatakan saya ini tiada perasaan. Beku. Kering hati.

Ramai yang mendoakan untuknya, kerana beliau adalah sahabat yang baik. Dalam menahan sakitnya, masih lagi kata-kata nasihat tercurah dan senyum terukir menunjukkan gembiranya semasa bertemu. Sejak mengenali beliau di awal persahabatan lagi, jiwanya terisi dengan niat mengabdi diri untuk terusan berada di jalan dakwah. Bila mengingat semula kata-kata yang diucapkan oleh beliau, terasa sangat benar sekali ketentuan Allah itu, iaitu Allah memilih hanya insan terbaik untuk diberi ujian hebat bagi meninggikan darjat di sisiNya.

Hari ini bersemadilah sahabat saya yang bernama Che Nuya bt Abdullah . Semoga Allah menempatkan beliau di kalangan orang-orang soleh dan bertaqwa. Mati baginya saya kira adalah nikmat rehat yang panjang. Tempatnya in shaAllah adalah bersama mereka yang Allah raikan sebagai hamba-hamba yang bertakwa.


Saya sayang Achik kerana Allah.


Itu kata-kata beliau saat terakhir bertemunya tatkala beliau masih lagi berupaya menitipkan kata  serta menghadiahkan senyuman.

Semoga Allah mengampuni dosa-dosanya dan dosa-dosa kita semua, kerana hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui dan Maha Pengasih serta Maha Penyayang.

Amin.






~cikgunormah@klcitizen~






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...