Saya membayangkan kematian yang berbeza. Memanglah mati tetap mati. Selepas kematian, perjalanan yang ditempuh tetap kita tidak tahu.
Cuma, kejadian yang berlaku di sekeliling membuatkan saya terfikir dan berfikir. Terfikir itu secara tidak sengaja, kan. Manakala berfikir pula menunjukkan perbuatan yang disengajakan.
Ya, sambil-sambil menggosok baju tadi diselangi dengan berhenti untuk menjenguk dinding facebook dan menyambung semula acara menggosok itu, saya berfikir. Kes kereta MyVi yang merempit dan dikatakan menjadi punca kepada 3 kematian.
Menyedihkan. Ya. Ditambah dengan video tangisan anak-anak aruah. Memang merobek jiwa. Dan hampir sebahagian besar warga maya meluahkan rasa marah dengan 6 atau 8 (?) pemilik MyVi yang dikatakan merempit tersebut. Sehinggakan saya kira, perhatian yang diberi agak terlampaulah pulak.
Kematian secara tiba-tiba dan dalam keadaan yang tragis begitu, memang mengundang simpati. Kerana, ia boleh terjadi kepada sesiapa sahaja di antara kita. Itulah antara sebabnya ia menjadi sangat terkesan kepada kita.
Tetapi ...
Kematian yang melibatkan saudara seagama kita seperti tidak diendahkan oleh ramai antara kita. Beritanya tidak disambut seperti mana kita menyambut dengan kemarahan terhadap pemilik MyVi. Langsung tidak. Malah kata-kata Innalillahi wa inna ilaihi ro jiun juga tidak banyak yang dinukilkan dalam komen-komen pembaca..
Malah pemberitaan juga mengelakkan tajuk yang menunjukkan kezaliman terhadap saudara seIslam tetapi menekankan aspek pendatang asing.
sumber (lihatlah komen-komen pembaca di sini) |
Adakah kematian saudara-saudara kita itu tidak signifikan?
Saya membayangkan , bagaimalah agaknya jika saya berada di tempat mereka? Ketakutan, kesakitan dan putus harapan terhadap kemanusiaan pasti akan melilit dalam diri. Adakah iman saya teguh dan menyerahkan segala ketentuan pada Allah pada waktu itu. Saudara-saudara seIslam kita Rohingya tersebut menderita tanpa mendapat publisiti setara dengan saudara-saudara kita di Palestin. Padahal saya kira kezaliman yang mereka terima sama hebat , malah mungkin jauh lebih dahsyat.
Adakah faktor warna kulit juga memainkan peranan kepada tidak seimbangnya publisiti yang diterima? Atau faktor lain yang saya tidak tahu?
Cerita-cerita penindasan dan kematian kepada masyarakat Rohingya ini sangat menyedihkan. Bantuan yang bagaimana boleh kita hulurkan? Puas juga saya menelaah dan mencari ..
~cikgunormah@klcitizen~