Saturday, May 16, 2015

borek dan rintik




Apabila Mesir menutup sempadannya untuk mengelak kebanjiran pelarian Palestin satu waktu dulu, seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam membantah dan mengutuk keras tindakan tidak berperikemanusiaan tersebut. Kita mengecam dan melahirkan rasa amarah kita. Sesetengahnya mendoakan kehancuran buat pemimpin yang berkuasa di Mesir.

Tetapi bila terkena di batang hidung sendiri, pelarian yang seugama dengan kita, saudara kita dalam Islam, menadah tangan memohon pertolongan dan perlindungan, sebahagian daripada kita dengan terang tanpa berselindung menghalau tanpa belas. Ada yang meminta supaya ditenggelamkan sahaja kapal tersebut. Subhanallah. 

Sebahagian daripada kita menyuarakan kebimbangan tentang kebanjiran pelarian ini akan menyempitkan bumi Malaysia. Jenayah akan bertambah dan kerja akan berkurangan buat penduduk tempatan. Orang-orang ini akan menjadi sepert PATI yang lain. 

Wallahualam. 

Kita lupa janji Allah. Oh... tak lupa barangkali. Bahawasanya sedekah dan amal jariah kita akan digandakan. Rezeki mencurah dan bala bencana akan dielakkan. Kita tak lupa, tetapi mungki sebahagian daripada kita kurang yakin.

Sekali kita menepis tangan yang memohon belas, dan kita nampak sungguh azab dan sengsara yang sedang mereka pikul, Allah tidak akan pernah lupa. Moga kita terlindung dari murka Allah.

Itu yang berlegar dalam benak fikiran saya beberapa hari ini.

Dan semalam, hati saya dan hati sahabat saya terluka. Dek kerana kerenah anak murid yang sengaja ingin menyakitkan hati guru-guru mereka bersempena dengan hari guru.

Memang ramai guru yang bersalah atau tersalah dalam kelakuan dan tindakan. Betul! Kerana guru-guru hanyalah manusia biasa. Bukan maksum, bukan nabi dan bukan malaikat. Tetapi jangan lupa, lebih ramai sebenarnya guru yang mendidik, memang bertujuan untuk menjadikan anak-anak didiknya itu manusia. Terlebih ramai rakan guru yang saya lihat gigih melunaskan tanggung jawab mereka dalam diam.

Apabila Allah hadirkan anak-anak murid yang kurang diajar dan biadap dalam laluan perjalanan profesion ini, Subhanallah, jauh di sudut hati kecil guru-guru ini, rasa khuatir dan risau itu bersarang. Apakah generasi sebegini yang akan memimpin  di waktu tua kami nanti?

Dan tidak hairanlah saya kenapa hal seperti menghulurkan bantuan kepada saudara seislam Rohingya kita itu menjadi isu dan beban bagi sesetengah daripada kita. Anak2 yang rintik, kemungkinan datang dari bapa2nya yang borek, kan.


Selamat Hari Guru buat semua.


~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, May 4, 2015

Pilih kasih




Saya membayangkan kematian yang berbeza. Memanglah mati tetap mati. Selepas kematian, perjalanan yang ditempuh tetap kita tidak tahu.

Cuma, kejadian yang berlaku di sekeliling membuatkan saya terfikir dan berfikir. Terfikir itu secara tidak sengaja, kan. Manakala berfikir pula menunjukkan perbuatan yang disengajakan.

Ya, sambil-sambil menggosok baju tadi diselangi dengan berhenti untuk menjenguk dinding facebook dan menyambung semula acara menggosok itu, saya berfikir.  Kes kereta MyVi yang merempit dan dikatakan menjadi punca kepada 3 kematian. 

Menyedihkan. Ya. Ditambah dengan video tangisan anak-anak aruah. Memang merobek jiwa. Dan hampir sebahagian besar warga maya meluahkan rasa marah dengan 6 atau 8 (?) pemilik MyVi yang dikatakan merempit tersebut. Sehinggakan saya kira, perhatian yang diberi agak terlampaulah pulak.

Kematian secara tiba-tiba dan dalam keadaan yang tragis begitu, memang mengundang simpati. Kerana, ia boleh terjadi kepada sesiapa sahaja di antara kita. Itulah antara sebabnya ia menjadi sangat terkesan kepada kita.

Tetapi ...



Kematian yang melibatkan saudara seagama kita seperti tidak diendahkan oleh ramai antara kita. Beritanya tidak disambut seperti mana kita menyambut dengan kemarahan terhadap pemilik MyVi.  Langsung tidak. Malah kata-kata Innalillahi wa inna ilaihi ro jiun juga tidak banyak yang dinukilkan dalam komen-komen pembaca..

Malah pemberitaan juga mengelakkan tajuk yang menunjukkan kezaliman terhadap saudara seIslam tetapi menekankan aspek pendatang asing.

sumber
(lihatlah komen-komen pembaca di sini)

Adakah kematian saudara-saudara kita itu tidak signifikan?

Saya membayangkan , bagaimalah agaknya jika saya berada di tempat mereka? Ketakutan, kesakitan dan putus harapan terhadap kemanusiaan pasti akan melilit dalam diri. Adakah iman saya teguh dan menyerahkan segala ketentuan pada Allah pada waktu itu. Saudara-saudara seIslam kita Rohingya tersebut menderita tanpa mendapat publisiti setara dengan saudara-saudara kita di Palestin. Padahal saya kira kezaliman yang mereka terima sama hebat , malah mungkin jauh lebih dahsyat. 

Adakah  faktor warna kulit juga memainkan peranan kepada tidak seimbangnya publisiti yang diterima? Atau faktor lain yang saya tidak tahu?

Cerita-cerita penindasan dan kematian kepada masyarakat Rohingya ini sangat menyedihkan. Bantuan yang bagaimana boleh kita hulurkan? Puas juga saya menelaah dan mencari ..


~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...