Showing posts with label hari guru. Show all posts
Showing posts with label hari guru. Show all posts

Saturday, May 16, 2015

borek dan rintik




Apabila Mesir menutup sempadannya untuk mengelak kebanjiran pelarian Palestin satu waktu dulu, seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam membantah dan mengutuk keras tindakan tidak berperikemanusiaan tersebut. Kita mengecam dan melahirkan rasa amarah kita. Sesetengahnya mendoakan kehancuran buat pemimpin yang berkuasa di Mesir.

Tetapi bila terkena di batang hidung sendiri, pelarian yang seugama dengan kita, saudara kita dalam Islam, menadah tangan memohon pertolongan dan perlindungan, sebahagian daripada kita dengan terang tanpa berselindung menghalau tanpa belas. Ada yang meminta supaya ditenggelamkan sahaja kapal tersebut. Subhanallah. 

Sebahagian daripada kita menyuarakan kebimbangan tentang kebanjiran pelarian ini akan menyempitkan bumi Malaysia. Jenayah akan bertambah dan kerja akan berkurangan buat penduduk tempatan. Orang-orang ini akan menjadi sepert PATI yang lain. 

Wallahualam. 

Kita lupa janji Allah. Oh... tak lupa barangkali. Bahawasanya sedekah dan amal jariah kita akan digandakan. Rezeki mencurah dan bala bencana akan dielakkan. Kita tak lupa, tetapi mungki sebahagian daripada kita kurang yakin.

Sekali kita menepis tangan yang memohon belas, dan kita nampak sungguh azab dan sengsara yang sedang mereka pikul, Allah tidak akan pernah lupa. Moga kita terlindung dari murka Allah.

Itu yang berlegar dalam benak fikiran saya beberapa hari ini.

Dan semalam, hati saya dan hati sahabat saya terluka. Dek kerana kerenah anak murid yang sengaja ingin menyakitkan hati guru-guru mereka bersempena dengan hari guru.

Memang ramai guru yang bersalah atau tersalah dalam kelakuan dan tindakan. Betul! Kerana guru-guru hanyalah manusia biasa. Bukan maksum, bukan nabi dan bukan malaikat. Tetapi jangan lupa, lebih ramai sebenarnya guru yang mendidik, memang bertujuan untuk menjadikan anak-anak didiknya itu manusia. Terlebih ramai rakan guru yang saya lihat gigih melunaskan tanggung jawab mereka dalam diam.

Apabila Allah hadirkan anak-anak murid yang kurang diajar dan biadap dalam laluan perjalanan profesion ini, Subhanallah, jauh di sudut hati kecil guru-guru ini, rasa khuatir dan risau itu bersarang. Apakah generasi sebegini yang akan memimpin  di waktu tua kami nanti?

Dan tidak hairanlah saya kenapa hal seperti menghulurkan bantuan kepada saudara seislam Rohingya kita itu menjadi isu dan beban bagi sesetengah daripada kita. Anak2 yang rintik, kemungkinan datang dari bapa2nya yang borek, kan.


Selamat Hari Guru buat semua.


~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, May 18, 2013

bahang





Bahang Hari Guru masih terasa lagi saat saya menulis dalam entri ini. Berbagai perkara bersimpang siur dalam kepala semenjak hari Sabtu lepas. 

1Aspirasi 1Agenda

Dengan tema sebegitu memang sebagai seorang guru saya inginkan perubahan positif berimpak besar dalam dunia pendidikan. 




Dalam dunia pendidikan global kini, gelombang Finland Phenomena sedang melanda. 

Tahukah anda? 

Rasanya ramai yang sudah tahu, tetapi ramai juga masih belum tahu. Kalau yang masih belum tahu, elok-eloklah bersegera untuk ambil tahu.

Pendidikan di Finland diakui sebagai yang terbaik di dunia abad ini . Negara-negara seperti Amerika dan Britain saat ini juga sedang cuba melihat semula sistem pendidikan mereka dan menghantar pembuat-pembuat dasar dalam sistem mereka ke Finland untuk mempelajari dan melihat bagaimana Finland berjaya meletakkan negara mereka pada aras tersebut.

Kenapa? Kenapakah pendidikan dan isu guru sentiasa menjadi perbincangan utama nasional ?

Kerana pemnbentukan negara itu sendiri adalah bersandarkan insan yang menerajuinya dan insan-insan ini dalam satu tahap kehidupannya akan menerima asuhan dan idea-idea yang ditanamkan oleh guru-gurunya secara sedar atau tidak.

Kerana itu guru yang hebat adalah guru yang menyemai nilai, seperti Rasulullah s.a.w.  Terbukti bahawa sistem pendidikan yang diterapkan oleh Rasulullah itu sendiri berjaya menghasilkan insan-insan hebat yang dapat membina empayar hebat.

Jika anda seorang guru seperti saya, kita patut bertanya semula diri kita apakah nilai yang ingin kita terapkan pada anak didik kita?

Apakah nilai yang boleh kita sisipkan dalam peribadi mereka supaya mereka nanti boleh berdaya saing, menjadi pemimpin yang memimpin, berakhlak mulia dan tidak berperangai seperti penyanyi Korea misalnya dan menjadi pemikir bukan pengikut budaya yang entah apa-apa.

Saat ini adalah saat yang sangat kritikal. Pendidikan di negara kita dikategori dalam ranking  20 ke bawah dalam dunia. Anak-anak kita yang memperolehi 9A+ berderet masih belum layak untuk menjalani temuduga di Harvard. Bukankah itu sangat meyedihkan? Walau pun itu hanya khabar-khabar angin, tetapi ini memberi cerminan yang besar kepada imej guru khasnya dan sistem pendidikan di negara kita amnya.

Dan kita masih memberi alasan dan ruang bagi membenarkan budaya berhibur tahap rendah berlegar dan berleluasa di dalam persekitaran sekolah kita.

Saya secara peribadi mengimpikan sekolah yang meraikan budaya berhibur secara intelektual seperti persembahan musik dan teater tahap tinggi. Kita didik anak-anak kita supaya meninggikan semula darjat hiburan bangsa-bangsa kita yang pelbagai, bukan meraikan segala sampah di dunia luar sana terutama semasa acara sambutan hari guru.

Mendidik itu adalah amanah bagi setiap kita yang bergelar guru.

Dan dalam satu aspek yang ditekankan dalam sistem pendidikan Finland ialah guru-guru yang beramanah.

Selamat Hari Guru ... masih belum terlambat rasanya.


~cikgunormah@klcitizen~











Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, May 16, 2012

kalaulah





Beribu kali rasanya , eh, betulkah sudah beribu kali? Ah mungkin lebih tepatnya ialah, berkali-kali.

Berkali-kali kita tahu bahawa perkataan 'kalau' itu sebenarnya tidak perlu diberatkan, kerana 'kalau' itu sendiri bersifat ilusi . Terlebih lagi, jika 'kalau' itu digandingkan dengan peristiwa yang telah terjadi.

Dan juga, andai  'kalau' itu kita tahu,  tidak mungkin ia dapat direalisasikan. Pasti , tidak guna juga kita menyebut ia.

Tapi, saya memang degil. Perangai yang tidak mahu saya ubah, sebenarnya.

Kalaulah saya ini dihidupkan semula dan diberi pilihan. 

Tengok tu.

Ayat saya.

Hendak juga mengguna 'kalau'.

Walau saya tahu, jika saya dihidupkan semula nanti, memang tiada ruang membuat pilihan lagi. Ah ..

Tetapi hendak juga saya mengeluarkan isi hati ini, malam ini. 

Kalaulah saya diberi pilihan semula dalam hidup ini, tentang cara saya menjalani kehidupan ini untuk satu perkara sahaja. Pasti rasanya, saya masih memilih kerjaya saya ini. 

Menjadi seorang guru :)

Ramai rasanya yang berjiwa seperti saya. 

Dalam pada mengeluh dan mengangan ruang kerja yang lebih baik, beban kerja yang lebih indah jika dapat dikurangkan, tekanan dan asakan date line yang kadang sangat tidak rasional, tetap ... , indah dan manisnya menjadi seorang guru itu tidak bisa ditanding dan dinilai.

Ia tidak tergambar dengan baris kata dan ayat yang bisa dinukil dalam tulisan.

Manisnya hanya bisa dirasa dan dikecap oleh insan-insan bergelar guru sahaja. Dan ia hadir dalam situasi yang pelbagai. Mungkin rasa itu terlingkar saat terjumpa bekas anak murid secara tidak disangka, atau tatkala dalam kelas sedang kita asyik membebel dan datang anak murid meminta maaf.

Kadang, sebaris sms yang tidak disangka-sangka dari anak murid paling nakal, menceriakan hari-hari kita yang bergelar guru ini. Meneman kita saat jiwa diasak dengan rutin yang membosankan.

Kadang juga, urusan kita di luar tiba-tiba Allah mudahkan kerana di celah ribuan manusia yang kita tidak kenal itu, rupanya terselit wajah bekas anak murid yang membantu, walau hadir dia sekadar meneman kita yang dalam kesusahan.

Memang, menjadi guru ini sangat indah dunianya. Ibarat pelangi. Penuh warna. Walau kadang-kadang guruh dan ribut hadir terlebih dulu, tapi tetap, setelah semuanya reda, pelangi akan muncul.

Masih belum terlambat rasanya mengucap Selamat Hari Guru buat semua guru yang masih aktif dalam profesionnya dan yang telah pun bersara dari bidang ini,  di luar sana.

*istimewa khususnya buat yang perutnya "gemuk as always" :D


~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, May 27, 2011

memasang badan






Esok sudah mula cuti... Yeay! *sambil melompat-lompat... (dalam hati je lah. Depan bebudak, kita cool saja :))

Banyak juga sekolah yang meraikan sambutan Hari Gurunya pada hari ini. Sekolah saya juga tidak terkecuali.

Sebelum itu sudah beberapa hari fikiran kusut masai, maklumlah, tahun ini diberi peluang menimba pengalaman mengendalikan sambutan Hari Guru bersama rakan-rakan yang lain. Kalau sebelumnya, hanya menjadi orang-orang yang diraikan, hari ini bertindak sebagai orang yang meraikan orang lain. 

segala yang indah kita simpan sebagai kenangan
*mukaku sedih tak cukup tidur

tiada kata bisa menggambar rasa terima kasih atas gemilangnya mereka
sebagai sahabat

Saya kira sambutan hari guru di mana saja pun tetap meriah. Lebih meriah bila ada bekas pelajar yang hadir untuk turut sama meraikan guru mereka.


Terima kasih , doa kami tetap mengiring jalan hidup kalian

Kalau hendak melihat guru melaram, Sambutan Hari Guru adalah harinya. Peluang setiap tahun, sekali dalam setahun. Tak kiralah, mak dara, mak janda, anak dara atau pun anak teruna, asal bergelar guru, pada Hari Guru pasti, kami akan 'memasang badan'.... oops kecuali sayalah.






Sekali lagi, selamat hari guru bagi semua guru dan selamat bercuti untuk semua guru serta pelajar.

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, May 15, 2011

sejuta kemaafan






Hendak juga mencatat sesuatu sempena hari esok, 16 Mei. Di Malaysia tarikh ini sangat signifikan dengan sambutan Hari Guru. Dan sementelah, saya juga sudah bergelar seorang guru, ingin juga membutirkan apa yang terkesan dalam diri.

Apakah bahasa yang digunakan oleh otak manusia?

Soalan yang masih terngiang dalam fikiran, kerana masih baru dalam kepala hasil dari hadirnya saya waktu itu.

Imej!

Ya, otak kita lebih mudah mengingati imej dalam jangkawaktu yang panjang. Kerana itu saya masih bisa melihat wajah-wajah guru-guru saya dalam kepala tetapi nama-nama mereka tidak hadir walau puas diperah dan dikerah. Dan yang masih boleh saya ingati hanya beberapa sahaja.

Makcik Milah yang mengenalkan saya pada ayat-ayat alQuran, cikgu Osman guru Bahasa Melayu yang tidak pernah mengajar saya tetapi sangat saya minati sifat kebapaannya dan Puan Oh yang paling saya minati caranya mengajar Matematik. Sekadar menyebut beberapa nama tetapi hakikatnya sudah puluhan guru yang meninggalkan bekas dalam perjalanan hidup saya ini walau pun tidak saya ingati mereka. Malang sekali... :(

Ada juga guru yang memberi kisah pahit kerana mereka juga insan yang tidak lepas dari kesilapan. Namun jasa mereka tetap ada, memberi ilmu mengajar  dan membuka minda dengan gaya dan cara yang mereka tahu.

Mengingati mereka, membuatkan saya menilai diri sendiri. Saya juga manusia. Punya banyak kelemahan dan sering alpa. Tugas guru yang mulia mungkin tercemar atas tindak tanduk, sikap dan kerenah saya. Maafkan saya.

Bagi semua murid yang pernah menerima didikan dan tunjuk ajar dari saya dalam masa 19 tahun ini sama ada yang masih mengingati atau mungkin sudah melupai saya, saya pohon sejuta kemaafan andai ada kata, teguran dan ucapan atau tindakan saya yangtelah atau sedang melukai hati anda serta memberi kesan pahit dalam perjalanan hidup anda.

Bagi rakan-rakan guru yang sama-sama menggalas tanggungjawab dan amanah ini, doa dari saya moga kita sama-sama diberi kekuatan, ketabahan dan semangat tidak jemu untuk terusan dalam perjuangan ini.

Selamat Hari Guru dari seorang guru....

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...