Tangan Romeo perlahan merangkul bahu. Senyum bertaut semula. Juliet tersipu seketika. Menoleh kepalanya perlahan ke arah bertentangan. Pantas Romeo merapatkan hidungnya mencecah rambut Juliet. Dihidu dalam-dalam. Bau syampu di rambut Juliet harum semerbak.
Juliet tak marah. Hatinya berbunga. Dipegang pergelangan tangan kiri Romeo. Tangan bersilang. Juliet mahu tengok jam berapa rupanya.
Order?
Ah , mamak kedai ini menghalang pandangan saya pula. Drama sebabak secara live di hadapan mata terganggu siarannya seketika. Yang jelas nampak, muka mamak menunduk, misai si mamak kasar-kasar tersusun atas bibir.
Nasib baik, kau datang mamak. Kalau tidak, loya mengadap adegan budak mentah yang tidak hirau orang di sekeliling ini memang boleh membarah.
Mee goreng mamak satu. Milo ais. O..ya... telur mata.
Selesai mamak mengangguk, saya lihat Romeo dan Juliet sudah bangun dengan beg masing-masing hendak ke kelas tuisyen di atas kedai mamak.
*Si Romeo budak tingkatan 5 sekolah saya, buat-buat tak nampak cikgu sekolahnya ini walau duduk mengadap . Mentang-mentanglah saya tak mengajar dia. Si Juliet, saya tak kenal, tapi dalam usaha mencantikkan wajah dengan braces penuh menutupi gigi.
Alahai, cinta si Laila dan Majnun di kedai mamak...
~cikgunormah@klcitizen~
