Sunday, January 10, 2010

tidak superior

Memandang rendah terhadap orang lain, walau pun kita tidak berniat begitu.

Sesekala terpacul juga sifat mazmumah tersebut menyelit di sebalik hati dan fikir. Bukan berniat dan tidak juga disengajakan.

Contohnya,

Melihat seseorang terkial-kial menyelesaikan perkara yang sangat mudah bagi kita. atau, melihat seseorang menjual barangan yang tidak berkualiti langsung pada tanggapan kita, atau merasakan pembantu rumah kita tidak sebersih kita, dan mengasingkan penggunaan pinggan mangkuknya dari kita (...mmm, saya tidak punya pembantu ya, jangan salah faham), atau geli memakan hasil masakan seseorang atau melihat seseorang memakai hand bag berjenama mahal padahal kita tahu itu hanyalah tiruan semata, dan rasa kita, beliau tidak mungkin mampu membeli beg sebegitu rupa atau
bila kita yang bertudung merasa lebih baik dari yang tidak bertudung.

Ada.

Janganlah menipu diri kita sendiri. Cuma mungkin situasi tersebut bukan seperti yang saya kata.

Ya, saya juga pernah sekali sekala terselit rasa sebegitu rupa. Walau pun seolah membuka pekung di dada, ia bukanlah sifat baik yang boleh dibanggakan. Namun kita ini hanyalah manusia, yang pastinya tidak kebal dari dosa dan noda.

Cuba.

Memang saya mencuba, menepis bisikan syaitan dan segera beringat. Mengganti pandangan tersebut dengan sifat belas dan kasihan. Kalau mungkin saya boleh membantu, saya cuba. Agar rasa lebih 'superior' itu segera padam.

Kerana kita semua sebenarnya sama sahaja.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, January 7, 2010

geram

Tindanan kerja dalam organisasi sebenarnya menyusahkan. Akibatnya, salah seorang yang terlibat akan berlenggang kangkong manakala yang seorang lagi terpaksa berhempas pulas.

Terutamanya di sekolah. Saya lihat ada 'post' atau bidang tugas yang sepatutnya tidak perlu diwujudkan.
Ia hanya menambah bilangan anak tangga dan kerenah birokrasi. Mungkin juga kerana penjawat tersebut tidak berkeahlian dalam bidang tugasnya, akhirnya, beliau dilihat sebagai si tukang arah dan tukang minta sahaja, bukan penyelesai masalah dan pembawa pembaharuan.

Ini kerana juga pemberian jawatan melibatkan takrif 'senior' sebagai kayu ukur, bukan kerana kreativiti dan sifat pandang jauh dalam diri individu tersebut.


akhir kalam.....Geram betul dengan suasana yang melemaskan ini.


~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, January 4, 2010

saudaraku saudaramu jua

Benarkah kita bersaudara? Kalau benar, apakah yang patut dilakukan oleh seorang saudara apabila berjumpa saudaranya?

Apabila berselisih di jalanan dengan insan-insan seagama dan sejantina dengan kita, biasanya kita mengelak berpandangan mata.

Kenapa ya?

Padahal kita mengaku dia saudara seagama kita. Kalau secara tidak sengaja kita bertentang mata, pasti salah seorang akan melirih matanya ke arah lain, kan.

Kenapa ya?

Janggal rasanya, dan biasanya terlintas dalam fikiran untuk beberapa saat, sama ada ingin tersenyum atau tidak.

Memberi salam jauhlah sekali. Biasanya kita memberi salam khusus untuk insan-insan yang kita kenal sahaja. atau pun, bila kita berkehendak sesuatu dari insan tersebut. Contohnya, semasa di kaunter pertanyaan atau yang sepertinyalah.

Saya bukan mengata orang lain. Tetapi mengata diri sendiri juga. Kerana itulah rasanya kita tiada pertautan hati dengan saudara seagama kita. Saudara hanya di hujung lidah sahaja, tetapi tidak terjelma dalam tindakan kita.

Sepatutnya saya berubah sikap dan mengubah tindakan selepas ini.

~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, January 2, 2010

adegan tidak patut di panggung wayang

Saya dan anak lelaki saya yang paling awal memasuki panggung no 6 itu. Tengahari itu, panggung tersebut full house. Filem yang box office, begitulah.

Sambil menunggu tayangan bermula, mulut mengunyah pop corn yang ada. Penonton-penonton lain mula sampai.

Tidak lama kemudian masuklah 4 orang sekeluarga. Makcik A dan anak-anaknya, seorang darinya remaja dan dua lagi masih kanak-kanak. Makcik A bertudung cantik, tangan masing-masing penuh dengan bekalan.

Setelah berjalan melepasi deretan kerusi saya, Makcik A dan anak-anaknya pun duduk selang 5 deretan di hadapan saya.

Saya terus mengunyah pop corn sambil melayan butir-butir merepek cerita anak lelaki saya.

Tidak lama selepas itu, masuk sepasang kekasih, membelek-belek nombor dan menunjuk-nunjuk tiket wayang mereka pada makcik A. Bercakap-cakap dengan makcik A. Tanpa banyak soal, makcik A dan anak-anaknya bangun, lalu bergerak ke hadapan. Dan, mereka duduk di hadapan deretan kerusi selang dua deretan dari yang tadi. Oh tadi itu, bukan tempat mereka.

Oh, tersilap nombor agaknya, makcik A ni. - itu kata-kata hati saya.

Tidak berapa lama kemudian, masuk seorang remaja perempuan, Cik B dan adiknya yang masih kanak-kanak.

Membelek-belek tiketnya, berdiri berhampiran makcik A (yang kini di tempat baru). Menunjuk-nunjuk tiketnya pada makcik A, kali ini makcik A menuding jarinya ke hadapan, seolah mengarah budak remaja itu  ke tempat kosong selang tiga deretan di hadapannya.

Dont know Dont care =P

Cik B dan adiknya bergerak ke tempat yang di tunjuk oleh makcik A, walaupun macam tidak puas hati. Dan duduk.

Saya masih mengunyah pop corn yang tidak habis-habis. Sambil memerhati dan berasa tidak sedap hati, rasa panas.

Selang beberapa minit, masuk sebuah keluarga lima orang; En C, isterinya dan anak-anak mereka, berjalan ke hadapan dalam keadaan gembira.

Dan mereka berhenti berdekatan dengan Cik B, menunjukkan tiket mereka dan bercakap-cakap dengan Cik B. Cik B bangun menunjuk ke arah Makcik A sambil bercakap-cakap dengan En C.

Lampu panggung digelapkan, filem akan bermula. Makcik A dan anak-anak duduk di tempat mereka sambil mengunyah pop corn seperti saya.

En C keluar sebentar, masalah tempat duduk masih tidak selesai.

Cik B dan adiknya terpaksa bangun dan berdiri di tengah-tengah laluan .

Tidak lama selepas itu En C masuk bersama petugas panggung. En C beredar ke tempatnya. Tinggal petugas tersebut membelek tiket Cik B dengan lampu suluh.

Adegan filem sudah pun bermula. Makcik A dan anak-anak seronok menonton sambil mengunyah pop corn.

Hati saya panas melihat adegan di panggung, mata tidak pun menonton adegan di skrin. Geram dengan makcik A. Kasihan dengan Cik B.

Petugas tersebut bergerak ke tempat Makcik A, meminta tiket dari Makcik A. Anak remaja Makcik A mencari-cari dalam hand bagnya. Jumpa. Petugas meminta makcik A bangun dan bergerak ke hadapan.

Rupanya tempat duduk Makcik A jauh ke hadapan, hampir sangat dengan skrin dan terpaksa mendongak untuk menonton. Jadi, makcik A ambil jalan mudah, dengan menyusahkan orang lain, agar dia tidak susah.

*moral of the story :

Perangai seperti makcik A memang selalu kita lihat. di mana-mana sahaja.

Seorang muslimah wajar matang dalam tindakan. Berfikir yang terbaik dalam urusan hidupnya, tetapi janganlah sampai menyusahkan insan lain.

En C yang membantu Cik B bukanlah saudara seagama. Tetapi makcik A yang menyembah tuhan yang sama dengan cik B, tega untuk membiarkan cik B dilanda masalah.

Zalim. 

Walaupun nampak seperti perkara remeh, tetapi hak cik B dianggap kecil oleh makcik A.

Apakah tauladan yang sedang diterap oleh makcik A pada anak-anaknya? Bahawa tidak salah mengambil hak orang lain selagi tiada yang bersuara?

Janganlah hendaknya saya berperangai begitu tanpa saya sedar.

*tajuk entri seolah adegan panas, ..kan, alhamdulillah setakat ini tidak bertemu lagi penonton beradegan panas di panggung.

~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...