Saturday, May 16, 2015

borek dan rintik




Apabila Mesir menutup sempadannya untuk mengelak kebanjiran pelarian Palestin satu waktu dulu, seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam membantah dan mengutuk keras tindakan tidak berperikemanusiaan tersebut. Kita mengecam dan melahirkan rasa amarah kita. Sesetengahnya mendoakan kehancuran buat pemimpin yang berkuasa di Mesir.

Tetapi bila terkena di batang hidung sendiri, pelarian yang seugama dengan kita, saudara kita dalam Islam, menadah tangan memohon pertolongan dan perlindungan, sebahagian daripada kita dengan terang tanpa berselindung menghalau tanpa belas. Ada yang meminta supaya ditenggelamkan sahaja kapal tersebut. Subhanallah. 

Sebahagian daripada kita menyuarakan kebimbangan tentang kebanjiran pelarian ini akan menyempitkan bumi Malaysia. Jenayah akan bertambah dan kerja akan berkurangan buat penduduk tempatan. Orang-orang ini akan menjadi sepert PATI yang lain. 

Wallahualam. 

Kita lupa janji Allah. Oh... tak lupa barangkali. Bahawasanya sedekah dan amal jariah kita akan digandakan. Rezeki mencurah dan bala bencana akan dielakkan. Kita tak lupa, tetapi mungki sebahagian daripada kita kurang yakin.

Sekali kita menepis tangan yang memohon belas, dan kita nampak sungguh azab dan sengsara yang sedang mereka pikul, Allah tidak akan pernah lupa. Moga kita terlindung dari murka Allah.

Itu yang berlegar dalam benak fikiran saya beberapa hari ini.

Dan semalam, hati saya dan hati sahabat saya terluka. Dek kerana kerenah anak murid yang sengaja ingin menyakitkan hati guru-guru mereka bersempena dengan hari guru.

Memang ramai guru yang bersalah atau tersalah dalam kelakuan dan tindakan. Betul! Kerana guru-guru hanyalah manusia biasa. Bukan maksum, bukan nabi dan bukan malaikat. Tetapi jangan lupa, lebih ramai sebenarnya guru yang mendidik, memang bertujuan untuk menjadikan anak-anak didiknya itu manusia. Terlebih ramai rakan guru yang saya lihat gigih melunaskan tanggung jawab mereka dalam diam.

Apabila Allah hadirkan anak-anak murid yang kurang diajar dan biadap dalam laluan perjalanan profesion ini, Subhanallah, jauh di sudut hati kecil guru-guru ini, rasa khuatir dan risau itu bersarang. Apakah generasi sebegini yang akan memimpin  di waktu tua kami nanti?

Dan tidak hairanlah saya kenapa hal seperti menghulurkan bantuan kepada saudara seislam Rohingya kita itu menjadi isu dan beban bagi sesetengah daripada kita. Anak2 yang rintik, kemungkinan datang dari bapa2nya yang borek, kan.


Selamat Hari Guru buat semua.


~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, May 4, 2015

Pilih kasih




Saya membayangkan kematian yang berbeza. Memanglah mati tetap mati. Selepas kematian, perjalanan yang ditempuh tetap kita tidak tahu.

Cuma, kejadian yang berlaku di sekeliling membuatkan saya terfikir dan berfikir. Terfikir itu secara tidak sengaja, kan. Manakala berfikir pula menunjukkan perbuatan yang disengajakan.

Ya, sambil-sambil menggosok baju tadi diselangi dengan berhenti untuk menjenguk dinding facebook dan menyambung semula acara menggosok itu, saya berfikir.  Kes kereta MyVi yang merempit dan dikatakan menjadi punca kepada 3 kematian. 

Menyedihkan. Ya. Ditambah dengan video tangisan anak-anak aruah. Memang merobek jiwa. Dan hampir sebahagian besar warga maya meluahkan rasa marah dengan 6 atau 8 (?) pemilik MyVi yang dikatakan merempit tersebut. Sehinggakan saya kira, perhatian yang diberi agak terlampaulah pulak.

Kematian secara tiba-tiba dan dalam keadaan yang tragis begitu, memang mengundang simpati. Kerana, ia boleh terjadi kepada sesiapa sahaja di antara kita. Itulah antara sebabnya ia menjadi sangat terkesan kepada kita.

Tetapi ...



Kematian yang melibatkan saudara seagama kita seperti tidak diendahkan oleh ramai antara kita. Beritanya tidak disambut seperti mana kita menyambut dengan kemarahan terhadap pemilik MyVi.  Langsung tidak. Malah kata-kata Innalillahi wa inna ilaihi ro jiun juga tidak banyak yang dinukilkan dalam komen-komen pembaca..

Malah pemberitaan juga mengelakkan tajuk yang menunjukkan kezaliman terhadap saudara seIslam tetapi menekankan aspek pendatang asing.

sumber
(lihatlah komen-komen pembaca di sini)

Adakah kematian saudara-saudara kita itu tidak signifikan?

Saya membayangkan , bagaimalah agaknya jika saya berada di tempat mereka? Ketakutan, kesakitan dan putus harapan terhadap kemanusiaan pasti akan melilit dalam diri. Adakah iman saya teguh dan menyerahkan segala ketentuan pada Allah pada waktu itu. Saudara-saudara seIslam kita Rohingya tersebut menderita tanpa mendapat publisiti setara dengan saudara-saudara kita di Palestin. Padahal saya kira kezaliman yang mereka terima sama hebat , malah mungkin jauh lebih dahsyat. 

Adakah  faktor warna kulit juga memainkan peranan kepada tidak seimbangnya publisiti yang diterima? Atau faktor lain yang saya tidak tahu?

Cerita-cerita penindasan dan kematian kepada masyarakat Rohingya ini sangat menyedihkan. Bantuan yang bagaimana boleh kita hulurkan? Puas juga saya menelaah dan mencari ..


~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, April 11, 2015

ternoktah






Hidup ini seperti sebuah mimpi sahaja. Sekejapan cuma. Bila menoleh ke belakang meninjau masa-masa lampau, kelihatan perjalanan yang sudah diredah itu seperti berabad lamanya. Tetapi kenapa dalam hati dan perasaan ini seperti semua itu baru sahaja berlaku.

Benarlah.

Hidup di dunia ini hanya  persinggahan. Alam ini adalah alam kedua dalam kehidupan kita menuju alam barzakh dan alam akhirat. Namun persinggahan sebentar ini merantai jiwa sehingga terlupa tujuan sebenar. 

Namun, sesekali diri ini tersedar semula.


6 tahun dia sakit.


Suara suaminya masih terngiang-ngiang di telinga saya. Sekujur tubuh di hadapan saya waktu itu suatu waktu dahulu adalah teman baik saya. Masa dan keadaan memisahkan kami. Dan berpuluh tahun tidak bersua dengannya.

Kalaulah bisa air mata itu mengalir sederasnya di pipi saya, mungkin rasa dalam hati sehingga ke hujung ini akan kurang. Kelemahan saya yang sesetengah daripada mereka mengatakan saya ini tiada perasaan. Beku. Kering hati.

Ramai yang mendoakan untuknya, kerana beliau adalah sahabat yang baik. Dalam menahan sakitnya, masih lagi kata-kata nasihat tercurah dan senyum terukir menunjukkan gembiranya semasa bertemu. Sejak mengenali beliau di awal persahabatan lagi, jiwanya terisi dengan niat mengabdi diri untuk terusan berada di jalan dakwah. Bila mengingat semula kata-kata yang diucapkan oleh beliau, terasa sangat benar sekali ketentuan Allah itu, iaitu Allah memilih hanya insan terbaik untuk diberi ujian hebat bagi meninggikan darjat di sisiNya.

Hari ini bersemadilah sahabat saya yang bernama Che Nuya bt Abdullah . Semoga Allah menempatkan beliau di kalangan orang-orang soleh dan bertaqwa. Mati baginya saya kira adalah nikmat rehat yang panjang. Tempatnya in shaAllah adalah bersama mereka yang Allah raikan sebagai hamba-hamba yang bertakwa.


Saya sayang Achik kerana Allah.


Itu kata-kata beliau saat terakhir bertemunya tatkala beliau masih lagi berupaya menitipkan kata  serta menghadiahkan senyuman.

Semoga Allah mengampuni dosa-dosanya dan dosa-dosa kita semua, kerana hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui dan Maha Pengasih serta Maha Penyayang.

Amin.






~cikgunormah@klcitizen~






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, January 31, 2015

rezeki tahun baru





Kadang-kadang rezeki kita itu datang melalui orang lain.

Suara Ustaz Muhammad jelas menembusi gegendang telinga terus menjentik hati saya. Saya perlahankan sedikit nada bunyi radio. Siaran Ikim pagi tadi menjadi pilihan. Dan sememangnya rezeki yang Allah beri itu pelbagai bentuk dan bervariasi warnanya. 

Pagi tadi, peluang Allah beri pada saya dapat mendengar siaran ulangan Pesona D'Zahra bertajuk Mengimani Kemuliaan Allah.


Menarik intipati perbincangan tersebut.

Bila saya duduk-duduk dan melihat pesakit HIV Muslim yang ada di pusat saya itu, terasa sungguh kemuliaan Allah, rahmat dan sayang Nya Allah kepada hambaNya. Tengok pekerja-pekerja tersebut membersihkan badan pesakit yang sudah bedridden dan disisihkan oleh keluarga sendiri. Kita tak sangka, rezeki dipelihara dalam keadaan sakit itu datang melalui orang lain. Orang asing , bukan keluarga sendiri pun yang Allah salurkan rezeki tersebut..

Begitulah lebih kurang  isi kata Ustaz Muhammad tersebut. Saya tidak sempat sebenarnya menyalin transkrip sebenar Ustaz. Tetapi lebih kurang begitulah yang saya ingat.

Kenapa tersentuh hati saya?

Bukan tentang pesakit tersebut.

Tersentuh hati saya kerana kerdilnya diri. Tahu tentang kekuasaan Allah dan rahmatNya. Tahu sangat-sangat. Memang jelas tahu. Tapi mengimani dengan sesungguhnya tanpa rasa gusar dan risau?

Masih jauh lagi rasanya perasaan itu.

Masih kerap juga dalam hati ini, terutama bila melihat anak sendiri yang sememangnya bukanlah cemerlang dalam akademik.  Rasa gusar itu sentiasa ada. Risau tentang masa depannya. Khuatir bila mana nanti jika saya atau ayahnya sudah tiada, bagaimana pula dia hendak mengatur hidupnya. Takut jika nanti dia kecundang dalam meneroka jalan dalam hidupnya.

Tapi kan, rezeki itu mutlaknya milik Allah.  

Allah yang mengatur.

Allah yang menentukan.

Keyakinan kita nanti itulah yang membuahkan hasil .




Berbaik sangka dengan Allah. Yakin dengan rahmatNya. Itu yang perlu saya tanam kuat-kuat. Jangan ragu-ragu bahawasanya Allah itu penuh dengan kasih dan rahmat.

Seperti yang dikongsikan oleh Mufti Menk dalam salah satu ceramahnya, tentang kuasa sebuah doa. Doa seorang nenek yang beserta yakin dan pengharapan sepenuh mutlak terhadap Allah, dijawab Allah dan dimakbulkan. Rezeki cucunya untuk diubati oleh satu-satunya Doktor terkemuka di Pakistan, Allah kurniakan melalui insiden-insiden hujan lebat, kapal terbang rosak dan sebagainya. Tontonlah video di bawah. Sangat menginsafkan.



Saya perlu mendidik hati saya untuk mengimani dengan sesungguhnya tentang kekuasaan Allah. Bukan setakat tahu, tetapi yakin dengan sesungguhnya tanpa rasa khuatir dan penuh dengan persoalan.


In shaa Allah. 

Dengan kehendakNya, kita semua akan begitu. Amin.


~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...