" Letih la "
Terpampang dua perkataan tersebut di skrin telefon mudah alih saya. Mesej dari sahabat karib. Waktu itu jam menunjukkan pukul 617 pm.
Apa yang boleh saya balas bagi meringankan beban? Bukan kah seorang sahabat itu, walau tidak upaya membantu menghulur bantuan kudrat meringankan beban, wajar baginya, sekadar membariskan kata meringankan rasa serta memberi tenang?
Buntu kata-kata.
Kerana kehidupan saya sangat berbeza dari kehidupan beliau. Antaranya ialah saya sudah melepasi fasa yang sedang dilalui olehnya, iaitu, punya anak-anak kecil dan bekerjaya dalam waktu yang sama. Dan saya punya suami yang sangat memahami rutin saya.
Dan saya tidak fikir, kata-kata saya dapat meringankan beban dan penat yang dipikulnya sekarang.
Kehidupan moden kini, memang terasa seperti menghambat kita, berlari ke hulu dan ke hilir. Apatah lagi bagi ibu-ibu yang bekerjaya.
Ya, walau pun dia bekerja sebagai guru.
Kenapa saya memberatkan profesion guru itu?
Kerana lazimnya, ramai yang mengandaikan ibu yang bekerjaya sebagai guru itu bisa balik awal dan punya banyak waktu luang untuk menguruskan hal rumah tangga.
Guru tahun 2000 ini tidak lagi seperti yang diandaikan itu, apatah lagi jika beliau tidak punya pembantu rumah dan masih punya anak-anak kecil, suami dan kerja-kerja di rumah yang perlu diberi perhatian . Lagi pula kalau anak-anaknya itu sudah mula bersekolah.
Profesion perguruan sekarang sangat mencabar.
Bukan mengeluh. Tidak sama sekali. Jauh sekali berniat begitu.
Tetapi ingin memberi perspektif dan nilaian yang betul. Agar jangan salah sangka bahawa beristerikan seorang guru itu sangat ideal dan mudah. Bahawa segalanya itu menjadi sangat tersusun bila isteri anda itu seorang guru. Rumah anda akan tersusun dan kemas teratur walau tanpa pembantu, dan anak-anak anda akan lebih bijak dari anak-anak orang lain.
98% rakan saya sekarang adalah isteri orang dan mereka adalah guru.
Yang mengajar pagi, ramai seawal sebelum 715 pagi sudah tergesa-gesa berlari cuba untuk berada di depan punch-card sebelum dakwat di punch-card bertukar merah, dan ramai yang selewat pukul 3 - 5 petang masih lagi tekun menulis, mengadap anak murid yang makin liat menghabiskan kerja kursus sedangkan tarikh akhir menyerahkan markah makin hampir atau ramai lagi yang resah bermesyuarat di bilik mesyuarat.
Itu belum lagi melihat mereka bergendong balik membawa buku latihan untuk disemak atau nanti lewat malam mengadap laptop cuba memasukkan data-data anak murid ke dalam sistem online yang semakin banyak pula lewat ini. Bermacam jenis sistem sekarang ini, segala e-sistem, yang perlu dimasukkan data yang pelbagai dan rencam dengan upaya internet yang seperti siput.
Mengadap anak-anak murid dengan keletah yang sangat pelbagai bukan kerja mudah.
Dan dalam masa yang sama, berusaha menghabiskan sukatan dan memastikan anak didik ini faham serta mencapai standard nilaian yang sewajarnya sangat menguji sebenarnya.
Dan andai nanti balik ke rumah pula menghadapi kerenah anak dan masalah rumah tangga, bagi sebahagian besar guru-guru ini sangat memenatkan.
Oh, bukanlah saya kata mereka yang bekerjaya dalam bidang lain punya kehidupan yang lebih mudah.
Tidak.
Sama sekali tidak.
Cuma, kerap saya dapati, kisah dan cerita suami-suami guru yang tidak faham dan sukar memahami. Yang menuntut pengorbanan isteri guru di luar upaya guru-guru ini. Yang merasakan isterinya itu boleh meninggalkan beban kerja di sekolah dan pulang ke rumah memberi tumpuan 100% hal-hal di rumah. Beban dan tugas guru biasanya akan dikendong dan dibawa pulang.
Percayalah cakap saya.
Tanyalah mana-mana guru pun.
Dan jika anda masih bujang, dan mengimpikan berkahwin dengan wanita bekerjaya guru di zaman sekarang kerana merasakan kerjanya separuh hari, baik segera anda matikan impian anda itu atau anda tukar perspektif !
Kalau tidak, hidup anda dan hidup isteri anda itu pasti sangat memenatkan.
:)
Salam kasih buat semua rakan-rakan guru terutama buat yang sedang berhempas pulas menghabiskan acara gosok-menggosok baju di rumah.
~cikgunormah@klcitizen~
Tak semua orang boleh faham kan ;)
ReplyDeletebetul, tapi cikgu naman memang faham kan
DeleteAtas sebab bebanan yg dihadapi oleh isteri saya sebagai seorang guru, kini saya sedang membina satu program untuk membantu para guru dalam menggubal soalan peperiksaan. Mungkin program ini tak mampu menyelesaikan 100% bebanan guru, tapi diharap mampu memberi manfaat sedikit sebanyak. Boleh tgk kat www.mysoalan.com utk maklumat lanjut. Jika sudi, boleh isi kaji selidik ini http://mysoalan.com/kajiselidik
ReplyDeleteinsyaAllah, saya akan ke sana. tq
Deletemama saya pon cikgu! hehehhe
ReplyDeleteHanya orang yang mengalaminya saja yang boleh faham sepenuhnya. Kadang-kala bila kita cerita, ada yang kata kita mengada-ngada. Dah tugas dan tanggungjawab kita begitu, sejerih mana pun ia, pasti akan kita hadapi dengan ketabahan.
ReplyDelete