Dapur di rumah saya jarang berasap.
Kalau orang dulu-dulu, dapur yang jarang berasap ini biasanya dimiliki oleh orang yang susah dan sempit hidupnya.
Aha...
Tapi orang sekarang yang sewaktu dengan saya, ramai juga yang dapurnya tidak berasap. Saya kira bukan kerana susah dan sempit hidupnya, tetapi atas banyak sebab dan alasan. Kan !
Oh , tak perlulah saya menyenarai 10 sebab kenapa dapur rumah tidak berasap, atau memberi tips berguna bagaimana meng'asap'kan dapur anda semula.
Ini bukan blog tips dan panduan.
Ini hanya blog mericau seorang guru yang makin memutih rambut di kepalanya.
Tetapi dua tiga hari ini saya dapat rasakan kebahagiaan dapur saya. Bulan Ramadan sentiasa membangkitkan semangat tuan dapur menjengah dan mengembalikan asap memutih dari dapur. Walau pun , bukanlah chef hebat yang sentiasa bersilat di dapur, tetapi sekadar menggoreng ayam atau udang pun, dapat saya rasakan dapur saya itu tersenyum kepanasan.
Merepek.
Macam emak sayalah pulak.
Sahabat saya memberi komen, mendapat tahu perangai saya di dapur yang gemar memasang radio dalam sibuk berkelentung-kelentang beriya-iya menyiapkan juadah yang sejenis cuma.
A'ah . Saya membalas. Sunyi kalau duduk memasak sorang-sorang.
Terasa pulak ketuaan diri apabila dibandingkan perangai saya dengan emak sahabat itu. Ah, tak apalah, sekurangnya perangai yang baik. Dan memang pun, sudah dalam kategori emak-emak kan. Kerana sebenarnya .... , entri saya ini bertujuan mencatat apa yang saya dengar dari radio Ikim petang tadi.
Suara Ustaz Pahrol terngiang-ngiang di telinga. Dan sewaktu mendengar kata-kata nasihatnya, terdetik bersungguh dalam hati mahu dikongsi dalam entri di blog saya. Kerana katanya itu menembus rasa.
Namun begitu, sayang seribu kali sayang, langsung TAK INGAT apa yang dituturkan oleh Ustaz Pahrol itu tadi saat ini.
Langsung tak ingat!
Adui!
Saya rasa otak saya yang dah berasap.
Selamat mengerjakan ibadah di sepanjang bulan yang berganda berkat dan keampunan dariNya ini. Masih belum terlambat rasanya, kan.
~cikgunormah@klcitizen~