Sunday, May 8, 2016

sebentar sahaja





Dekat-dekat nak puasa ni memang akan keraplah kita dengar kisah kematian, kan, cikgu.

Saya mengangguk perlahan. Ada benar juga kata-kata kakak di sebelah saya.

Sambil menunggu jenazah di luar ruang surau tersebut, saya mendiamkan diri sahaja, memberi ruang padanya berkata-kata. Sesekali dia mengesat peluh di muka. Panas, memang. Alat pendingin hawa di dalam ruang solat surau tersebut tidak dapat memberi rasa sejuk buat kami di bahagian luar ini.

Minggu lepas di surau ini juga, ada yang meninggal. Harini, anak jiran saya ni pula. Padahal cikgu, bukannya tak ada orang-orang lain yang dah lama sakit kat flet tu, tapi masih panjang lagi usia. Budak yang sihat walafiat yang kita tak sangka ini pulak yang pergi dulu.

 Saya membalas dengan anggukan lagi.

Benar.

Kematian itu tak tentu. Siapa yang akan dipanggil dahulu tidak siapa yang tahu. Di mana, bagaimana dan waktu bila kematian menjemput kita juga , tidak siapa yang dapat menerka.

Kematian yang tidak terduga itu sebenarnya sangat memberi kesan.

Mengingatkan pada saya, betapa inilah saatnya, tika masih bisa bernafas, melihat dan memerhati, untuk sentiasa memohon maaf di atas kesilapan diri. Menyedarkan saya betapa daifnya diri di sebalik keegoan dan bongkak yang bersarang.

Harith, kalau mama minta Harith berikan skala untuk mama , 1 kalau mama emak yang teruk, 10 kalau mama emak yang sangat bagus, Harith nak bagi berapa kat mama?

Menunggu dengan debar, sambil memandang wajah anak melalui cermin pandang belakang. Jalanraya petang itu tenang, mungkin ramai yang sedang bersantai di rumah pada Hari Ibu ini.

I'll give you 9 momma.

Wah.. kembang sebentar hati yang bertaman ini. Sembilan! Kenapa bukan 10? Ah, sekurang-kurangnya  bukanlah skala 1 atau 2 saya ini di mata beliau.

Sebentar sahaja sebenarnya, menggalas tanggung jawab sebagai anak, ibu, isteri, jiran atau sahabat. Kerana esok lusa entah-entah giliran saya pula yang menyahut panggilan. Doakan ya semoga kita semua pergi dalam husnul khatimah, hari yang berkat, tempat yang baik dan diampunkan segala dosa.

Saya mendoakan semoga Allah mengampuni dosa-dosa aruah Nuzul Alya, bekas pelajar saya. Moga Allah mengurniakan kekuatan dan ketenangan hati buat ibunya Pn Shima dan adik-adik beliau.

Doa saya juga buat insan-insan yang diuji dengan kesakitan yang berpanjangan, semoga Allah memberi kesembuhan segera buat mereka, terutama buat sahabat yang sangat saya sayangi, Noorul.

Salam Kasih.

cikgunormah@klcitizen




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, December 8, 2015

Moga Allah makbulkan






Maha Suci Allah, sesungguhnya hanya Kamu yang selayaknya tempat aku memohon. Tiada upaya dan dayaku, melainkan atas rahmat dan kasihMu. 

Doa yang tertulis ini dan yang terbaris dalam fikiran, kutitipkan terus kepada Mu, kerana hanya Kamu, Ya Allah yang dapat memakbulkan. Tiada hadiah yang terbaik melainkan doa yang Kamu makbulkan .

37 tahun yang telah berlalu, moga Allah memberi ampun di atas segala salah dan silap yang terkisah dalam perjalanan hidupnya. Dan moga , langkah-langkah hari seterusnya, Allah kurniakan segala kebaikan dan keberkatan buat sahabat saya , Noorul. 




Allah Ya Rabb, Kamu yang Maha Tahu dan Kamulah Yang Maha Pengasih. Moga doa yang kupanjatkan ini Kau perkenankan. Kurniakanlah Ya Allah, kesihatan yang baik buat sahabatku ini, kebahagiaan yang berpanjangan dunia dan akhirat buat beliau sekeluarga serta dijauhkan segala mara bahaya, fitnah dan sengsara .

Semoga Kamu memakbulkan, kerana Kamulah Ya Allah yang Maha Kuasa.

Selamat Hari Lahir buat sahabatku , Noorul. Luv U .



Salam kasih.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, October 30, 2015

Inikah akhir bertemu?





2015 is your emotional year ey?


Betulkah? 

Rasanya ya. Semakin ke penghujung tahun 2015, semakin bertambah sendat baju yang tersarung di badan ini. 

*ngos* Hehehe

Persoalan yang ditanya oleh sahabat saya itu ada benarnya.

Walau pun, tiada sebarang kepentingan ke atas apa yang berlaku dalam hidup saya di sepanjang tahun ini , terutama buat yang sedang membaca coretan saya dalam blog yang serba daif ini. Tetap ingin saya catatkan juga peristiwa hari ini, kerana sedikit sebanyak ia mengusik jiwa saya.

Saya bukanlah jenis manusia yang cepat betul mengalir air mata. Tidak. Rasa sebak juga, susah hendak menghinggap dan mengetuk pintu hati.

Orang kata, manusia yang begitu, sangat keras hatinya. Tetapi tahun ini seolah merubah saya.

Beberapa peristiwa sedih berjaya menyentuh dan mengusik-ngusik hati saya. Mungkin petanda umur yang semakin bertambah.








Buat Kak Pah, Kak Midah dan Siti,

Dari rumah semalam dan pagi tadi, saya yakin sungguh yang saya tidak akan menitiskan air mata. Benar. Yakin amat saya.

Tetapi, tatkala diminta mengucap sepatah dua kata, dan memandang kalian, rasa pilu dan sayu itu menyelinap masuk seperti darah yang mengalir dalam badan. Laju, tak sempat saya berfikir untuk menahan. Dan sebak suara saya tidak dapat dibendung.

Dalam bilik itu waktu itu, baru saya sedar, betapa nanti saya akan berseorangan membantu adik-adik kita dalam bidang Sains dan Matematik di sekolah. Mampukah saya? Dan pada waktu itu baru saya dapat merasakan betapa besarnya peranan kalian dalam membantu saya dari segi emosi dan kematangan.

Dan tahun-tahun yang mendatang nanti, kepada siapakah agaknya akan saya berpaling meminta nasihat dan tunjuk ajar? Meminta buah fikiran dan pandangan?

Memanglah.

Yang patah akan tumbuh, yang hilang akan berganti.

Tetapi permata yang hilang itu pasti  nilainya tidak sama dengan yang baru.

Namun begitu, semua yang berlaku itu adalah ketentuan ALLAH. Ada hikmah yang tersembunyi dari pandangan mata kita sekarang, dan hanya akan kita ketahui pada waktu dan masa yang diizinkanNya.

Saya mendoakan kalian bertiga dianugerahi Allah kesihatan  baik yang melimpah ruah. Tiada anugerah yag selayaknya buat kalian yang telah menabur bakti buat kami semua serta buat anak-anak Setiawangsa. Hanya Allah selayaknya yang dapat membalas.

Salam ingatan penuh kasih sayang.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, September 28, 2015

naluri ibu






Perlu saya nukilkan, kerana ia mengetuk-ngetuk kotak fikiran saya.

"Sunyi sangat ."

Saya ulang baca mesej dari sahabat baik saya itu. Tidak tahu hendak membalas apa. Takut jika apa yang saya tulis itu menyebabkan hatinya bertambah sedih dan pilu.

Kesakitan yang berpanjangan memang sentiasa akan membuat jiwa menjadi sensitif. Tidak kiralah sekuat mana pun hati seseorang itu, badan yang lemah dalam menanggung derita sakit akan sentiasa menjadikan hati insan tersebut mudah kalah. Sensitif, sedih, risau dan pilu bercampur baur dalam sesak derita yang ditanggung.

Saat itu beliau merindukan anak-anaknya. Rindukan keletah dan tingkah anak-anaknya. Meski dalam kesakitan, ingatan dan rasa rindunya bersarang dengan mereka.

Naluri seorang ibu. Dan saya pasti, kata-kata pujukan dan semangat daripada saya tidak akan berkesan selagi anak-anak tersebut tidak berada di depan matanya.

"Diorang nak awak rehat betul-betul.. "

Saya cuba merasionalkan kenapa dan mengapa. Dengan harapan, rasa pilu dan sedih yang menjelar dalam hatinya bisa dikurangkan.

Begitulah.

Insan yang sihat seperti saya dan ramai lagi, merasakan rehat itu bila mana tiada gangguan buat yang sedang menanggung kesakitan. Memang betul rasanya, jika gangguan itu datangnya dari orang lain.

Tetapi bagi seorang ibu, rehat itu ialah mengetahui bahawa anak-anaknya berada di depan mata, mendengar gelak tawa mereka dan tahu bahawa anak-anak itu berada di bawah bumbung yang sama.

Buat sahabat saya Noorul Aaron, moga Allah menyegerakan kesembuhan buat kamu dandiberi nikmat kesihatan baik yang berpanjangan buat kamu sekeluarga.

Aamiin.


cikgunormah@klcitizen
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...