Sunday, November 24, 2019

NUMB





"Siapa yang paling banyak airmata turun ni, dialah yang paling cepat akan lupakan saya!"

Cuba menghilangkan gundah gulana dan kesedihan yang bersangkar dalam diri anak-anak ini.

Strategi saya tidak berjaya nampaknya.

Makin menderu air mata anak-anak gadis di hadapan saya ini. Merah hujung hidung masing-masing menahan sedih. Sesekali mengelap air mata, masing-masing mengharapkan keajaiban, agar keputusan yang telah ternoktah, terurai dan kembali mereka menjalani hidup seperti hari-hari sebelumnya.

Ketentuan Allah itu sesungguhnya yang terbaik.


Mati rasa.

Omputih cakap, mati rasa itu numb

Itu sebenarnya yang saya rasakan di hari-hari terakhir di sekolah. Mungkin pun disebabkan  beberapa malam itu, tidur jadi tidak tenteram, dan kepala berdenyut menahan kantuk. 

Kesedihan, air mata dan pelukan sahabat-sahabat serta anak murid, juga ucapan tahniah yang datang, cuba mengetuk kotak rasa hati saya, namun seperti dinding ia menghalang rasa itu menonjolkan dirinya. Dan natijahnya seperti saya tidak punya rasa. Seperti mati ia.

"Hati yang lembut mudah sedih dan mengalirkan air mata...bukan kerana yang bakal ditinggalkan tetapi pada yang pasti dihadapi!" - Ustaz Pahrol Mohd Juoi, disini

Air mata ini tidak mengalir. Pasrah saya dengan keadaan diri yang kelihatan tiada berperasaan. 

Hakikatnya, Allah jua yang Maha Tahu.

Puluhan tahun di daerah bernama SETIA, bukanlah jangka masa yang singkat. Saya didewasakan oleh SETIA dan warganya. Bukan sedikit kenangan, bukan kecil impian dan bukannya tidak ada sayang kepada SETIA. 

BFF 


Namun, perjalanan hidup itu pasti berubah, kulit berkedut, ingatan pasti akan pudar dek usia yang bertambah, dan hakikat kehidupan itu, lingkarannya jika ditaburi dengan redha akan menjadi lebih mudah. Dan ketentuan Allah itu, jawapannya hanyalah akur.

Di daerah yang baru nanti, doakan untuk saya, sahabat. Doa ikhlas seorang sahabat itu tidak akan Allah abaikan, insyaAllah. Kerinduan itu sudah pasti. Namun, pengubatnya hanyalah Allah yang izinkan. Moga Allah permudahkan usaha kita.

Yang ditinggalkan memang tidak ada penggantinya. Cuma doa saya semoga Allah kurniakan saya sahabat-sahabat baru yang seperti kamu semua. Berlapang dada menerima kelemahan sahabat bernama saya, menegur berhemah dan berkongsi idea serta ilham.


Bidang Sains dan Matematik 2019


Saya menyerahkan urusan kalian selepas ini kepada Yang Maha Besar dan Maha Tahu. Perancang Agung tiada sekutu. Semoga kalian dikurniakan kejayaan hidup dunia akhirat. Mudah dalam semua urusan.

Food Tester
Buat anak-anak murid saya di tahun 2019, perjalanan kalian memang masih jauh sangat.



5 Citrine 2019


5 Ruby 2019

4 Emerald 2019


Terima kasih  atas tumpuan kalian semasa dalam kelas, menerima dengan seadanya pengajaran saya yang acap kali membosankan dan kerap kali juga kalian hilang punca terhadap apa yang saya tuturkan. Maafkan saya dengan segala kesilapan dan kealpaan serta ego saya yang tidak bertempat.

Terima kasih, terima kasih.




Semoga kita berjumpa lagi di lain masa , lain ketika dan lain suasana.

😘



~cikgunormah@klcitizen~






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, August 4, 2019

Golek-golek




Pagi  Ahad sudah semestinya, rutin harian ialah mencuci kereta. Stok seminggu pencucian kereta. Seminggu sekali sahaja kereta ini dicuci.


Alhamdulilah, badan kereta tak seperti badan manusia. Kalau seminggu sekali sahaja badan tuan punya kereta ini dicuci, rasanya berlengas dan berbau itu sudah semestinya. Sib baik badan kereta ini tak  seperti badan tuannya .


Sambil menunggu giliran kereta dicuci, sempat mendengar ucapan Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik dalam Majlis Pelancaran Laporan Tahunan 2018 PPPM 2013 - 2025. Bersemangat pulak tetiba nak menulis usai mendengar ucapan beliau.




Perkataan ITQAN disebut-sebut oleh YB Menteri, menegaskan tentang budaya kerja masa kini yang perlu diambil peduli dan diamalkan dalam kalangan warga KPM. Kata beliau jika budaya masyarakat Jepun dengan KAIZEN nya, iaitu perubahan kepada yang lebih baik, kita dalam kalangan warga KPM perlu mendasarkan ITQAN sebagai budaya kerja.


ITQAN membawa maksud melakukan sesuatu kerja itu dengan tekun,  bersungguh-sungguh, teliti, cermat dan kemas.


Disebut dalam hadis NAbi rupanya semangat bekerja seperti ITQAN ini.

Ø¥ِÙ†َّ اللَّÙ‡َ عَزَّ ÙˆَجَÙ„َّ ÙŠُØ­ِبُّ Ø¥ِذَا عَÙ…ِÙ„َ Ø£َØ­َدُÙƒُÙ…ْ عَÙ…َÙ„ًا Ø£َÙ†ْ ÙŠُتْÙ‚ِÙ†َÙ‡ُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah ‘Azza Wa Jal kasih apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu amalan hendaklah buat secara tekun.”

Rujukan di sini 



Dalam ucapannya juga yang menarik perhatian saya ialah sekolah yang diiktiraf pencapaian KBAT cemerlang  meningkat dari 4.6% 2017 kepada 67% pada tahun 2018. 

                                          Image result for wow meme gif cartoon


Disebut juga 70 % guru yang telah dilatih dalam PAK21 telah dinilai baik dalam PAK21 daripada penilaian semula. 

Yang menarik perhatian saya, ialah semasa YB Dr Maszlee Malik membuat refleksi semula terhadap pencapaian guru-guru dalam PAK21 ini ialah, adakah semasa pelaksanaan PAK21 ini, guru-guru melaksanakannya sebagai tuntutan kerja semata-mata atau sememangnya guru-guru ini menjalankannya dalam rangka bebas minda dan jiwanya.

WoW!

Kerana, kata beliau, jika KBAT itu dipaksa rasa dan pikul, ia bukan lagi menjadi KBAT. KBAT yang sebenarnya ialah saat merdeka jiwa dan minda guru itu dalam melaksanakannya.


KBAT sebenarnya ialah memberi kebebasan minda untuk berfikir kritis dan kreatif.


Memang mencabar betul jika hendak diimplementasi di sekolah. Gimana yah?


Pandangan kerdil saya ialah bila mana guru berinovasi dalam menyelesaikan masalah pengajarannya, saat itu beliau telah dan sedang melaksanakan KBAT.


Majoriti guru yang mendidik anak-anak yang sukar menguasai konsep dan kandungan pembelajaran, sentiasa berfikir ligat bagaimana memastikan anak-anak ini boleh faham, guna dan mendapatkan makna dari pembelajaran mereka. Apabila guru-guru ini  berjaya mencari jalan dan mengguna pakai method tersebut, untuk  memberi makna ilmu kepada anak murid mereka, sememangnya jaluran mendapatkan KBAT itu telah guru-guru ini perolehi.


Cumanya, budaya mendokumenkan  dan berkongsi inovasi itu yang belum mendaging dalam sistem pendidikan kita. Doa saya semoga generasi guru baru yang ada di Malaysia ini bisa mendarah dagingkan budaya berinovasi ini iaitu mendokumenkan cara-cara mereka mengatasi cabaran mengilmukan anak didik. Setelah mendokumenkan, guru-guru ini terus tampil berkongsi strategi dan teknik tersebut.

Memang pada masa itu saya percaya, KBAT dalam kalangan warga pendidik itu tuntas sekali.






Jom berehat hujung minggu, golek-golek dalam rumah 😆




~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, July 30, 2019

Makin kemek batang hidung





Antara perkara yang akan disesalkan nanti ialah tidak meminta maaf. 





Bagaimana mungkin nanti mencari-cari wajah yang kita  ingin memohon kemaafan dari insan tersebut dalam bilionan manusia waktu itu? Ngeri pula bila membayangkan keadaan tersebut.


Dalam kekalutan, takut dan menakutkan itu. 


Sedangkan bila ada orang dari Jabatan/ Penaziran hadir di sekolah ingin menyemak fail sahaja pun, dah rasa kecut perut. Inikan pula, penentuan kesudahan kita ke mana, syurga atau neraka kah, berdasarkan amal dan takwa di dunia. Dan lebih parah waktu itu penyesalan bertubi-tubi datang kepada kita.


Suara Ustaz Abdul Somad dikeraskan waktu beliau menggambarkan keadaan di padang mahsyar nanti. Video ini video lama, tetapi sengaja saya dengar dan tonton. Sambil melipat baju , suara Ustaz Abdul Somad sesekali saya perlahankan, kerana tinggi suaranya menekankan isu dan kepentingan perkara yang ingin disampaikannya itu.






Apa lagi perkara yang disesalkan nanti?


Kurang bersedekah.


Waduh...

Terkena sahaja batang hidung saya yang kemek ini. Patutlah semakin kemek hidung saya sejak akhir-akhir ini. Isu yang masih belum selesai. 


Bersedekah itu senang saja diucap, tetapi saat membuka beg duit, masih  terkuis-kuis mencari nota wang yang paling kecil. Itu saya. Bukan sebut sesiapa pun.


Niat di hati memang hendak saja menghulur duit untuk bersedekah,  setiap masa dan saat, sebab takut nanti menyesali tidak berbuat demikian di akhirat nanti. Tapi kenapa setiap kali hendak berbuat demikian, terasa berat hati dan perasaan. Berkira-kira. 


Bukannya tak tahu pun, yang bersedekah itu menambahkan lagi rezeki.

Haduiii

Kan...


~cikgunormah@klcitizen~












Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, July 28, 2019

Bila serabut fikiran, kena buat ni .....





Sambil mata menumpu pada jalan, telinga saya menangkap jelas butir-butir nasihat Ustaz. Usia dah melewati separuh abad ini, dah kena bawa diri berjinak-jinak mendengar kuliah-kuliah pengajian, kan. 

Alhamdulillah zaman NOW ini, kuliah pengajian boleh saja dibawa ke mana-mana. Hendak atau tidak sahaja.

Lenggok bahasa Indonesia Ustaz kedengaran begitu lembut intonasinya, tetapi sesekali ada juga perkataan yang tidak biasa saya dengar. Pun begitu, intipati isinya saya fahami. Cuma nak melaksanakan itu yang menjadi masalahnya. 😄

Perjalanan saya masih jauh saat itu. Jadi suara Ustaz tersebut lah yang mengiringi saya dalam pemanduan.

Hamba yang pandai bersyukur

Itu  rupanya gelaran yang diberi oleh Allah kepada Nabi Nuh. Pelik juga kan. Kenapa Allah tak bagi gelaran, Hamba yang pandai bersabar

Sebab kita semua pun tahu tentang ujian-ujian hebat yang diterima oleh Nabi Nuh 'alaihissalam. 950 tahun berdakwah, bukan calang-calang manusia yang boleh buat. Cacian, hinaan menjadi makanan harian buat Nabi Nuh 'alaihissalam. Dan memang sudah semestinya, kesabaran level entah berapa yang ada dalam diri Nabi Nuh.

Tetapi, gelaran yang Allah kurniakan buat Nabi Nuh 'alaihissalam ialah Hamba yang pandai bersyukur.

Rupanya memang kesabaran itu adalah bersinonim dengan ujian. Hendak tak hendak, kita tiada pilihan saat sedang diuji. 

Hanya bersabar. 

Kalau tak sabar saat diuji ujian hebat, mungkin boleh hilang arah dibuatnya. Jadi, bersabar itulah yang menjadi peneguh buat sesiapa sahaja.

Dan dalam diri Nabi Nuh 'alaihissalam memang telah jelas punyai nilai kesabaran yang hebat. Itu memang tidak boleh dipertikai. Namun begitu, saat beliau diuji Allah itu, dalam kepayahan yang teramat dari masyarakat sekeliling, anak serta isterinya, beliau tetap tidak pernah lupa untuk bersyukur dengan segala nikmat lain.

Hebat, kan.


Waktu saat diuji, jarang sangat kita bersyukur dengan nikmat di sekeliling. Biasanya saat diuji, fikiran dan perasaan kita berkecamuk dengan permasalahan ujian. Serabut fikiran dengan cara dan daya untuk melepaskan diri dari permasalahan.

Selalu juga, tanpa diuji masalah pun, kita kerap terlupa dengan nikmat kesihatan, akal, rezeki makan pakai yang kita guna setiap saat dan masa. Segalanya kita ambil mudah. Itu saat tidak diuji.

Jika saat diuji? 

Bila sedang diuji, lagi lah kita terlupa. Sebab sibuk memikir dan mempersoalkan, kenapa, mengapa, segala ber'kalau' , jika dan sebagainya. Mana saatnya kita waktu itu yang sedar nafas yang ditarik itu nikmat, bangun berjalan itu nikmat, melihat itu nikmat, berfikir itu pun nikmat.


Tidak bagi Nabi Nuh 'alaihissalam. Dalam kegelutan digelar gila, mereng dan disindir dengan pelbagai laras bahasa, beliau masih sentiasa bersyukur. Pakai baju bersyukur, dapat melihat bersyukur, dapat bersuara bersyukur, dapat mendengar bersyukur, hatta setiap tingkah perbuatannya disulami dengan rasa kesyukuran.

Semakin diuji, semakin bertambah kesyukurannya.

Uishh... memang hebat sungguh. Layaklah Allah Yang Maha Tahu menggelar Nabi Nuh  'alaihissalam dengan gelaran tersebut.

Ibrah buat kita semua.

Terutama dan yang paling Number One ialah si penulis ini.  Ujian tak seberapa, mengeluh paling hebat. 😞

Salam Ahad kengkawan.

Alhamdulillah.


            



~cikgunormah@klcitizen~








Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...