Friday, December 31, 2010

hati emas




Saya memohon maaf secara terbuka semasa mesyuarat guru baru ini, kerana tidak menjalankan tanggung jawab saya secara berkesan selama dua tahun. Adakah dosa saya terampun? Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Walau pun saya tahu ia adalah amanah, perlu dilaksanakan sebaik dan sehebat mungkin, tetapi dek sifat lemah yang ada, kadang-kadang tindakan berlaku di luar kehendak. 

Ajaibnya perasaan...., kita tidak boleh menipu diri sendiri. Walau bagai mana coolnya kita dilihat pada pandang zahir mata insan lain, rasa bersalah tetap menjalari setiap inci urat dan denyut nadi. Tanggungjawab yang diamanahkan diberi kerana kepercayaan insan lain terhadap keupayaan kita dan mengharapkan hasil yang terbaik. Dan setiap kali kepercayaan itu dilanggar dan harapan itu dihampakan, setiap kali itu jugalah beban rasa bersalah meningkat dalam diri.

Apakah dengan meminta maaf, segala tindakan dapat dijustifikasikan? Pastinya sesiapa pun tahu jawapannya. Namun begitu, itulah sahaja yang terdaya saya lakukan. 

Namun begitu, saya bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk memikul tanggungjawab yang lain. Jadi, tahun 2011 ini akan saya langkah bersama azam yang baru, cuba untuk tidak menghampakan kepercayaan insan lain dan memenuhkan tanggungjawab saya sebaik mungkin. Saya tahu saya tidak bekerja berseorangan. Rakan-rakan yang ada di sekeliling yang selama ini sentiasa cuba memahami keadaan saya masih terus memberi kata semangat dan turut sama ingin membantu. Anugerah dari Allah meletakkan saya di kalangan insan-insan berhati emas. Pujian tidak terhingga untukNya.


Salam Jumaat dan selamat menyambut tahun 2011.

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, December 28, 2010

first time

"Mah, awak lama dah tak belanja kami orang ya...," suara suami sebaik sahaja melihat adegan makan burger di tv. Wah nak memancing saya mencari makananlah tu petang-petang macam ni.

"Okaylah...nak makan apa?"
"Subway..."

Mmmm..... se KL nya saya, saya tidak pernah makan dan memesan makanan di restoran Subway. Selama ini suami sahaja yang membeli makanan di sana, kekadang bersama bapa mertua tetapi tidak bersama saya. Entahlah... tidak pernah terbuka hati hendak makan di situ.


Saya membayangkan McDonald atau KFC, semasa melangkah masuk.

Terus ke kaunter bahagian cashier. Kebetulan ada seorang pelanggan sedang membayar. Saya menanti  giliran saya di belakangnya. Sampai giliran, saya senyum kepada cashier. Dia pandang saya..... saya pandang dia. 

"Saya nak order...," lama menunggu dia menyapa saya,  lantas saya memulakan bicara.
"Miss... you order there..." balasnya sambil menunjuk ke belah kiri beliau.

Oh... salahlah tempat rupanya. Ada seorang pelanggan lain sedang berdiri  di hadapan cermin kaca tempat menyimpan makanan, memerhati  seorang pekerja memotong roti. Saya berdiri di sebelah kirinya.  Saya pun turut memandang pekerja tersebut memotong roti. 

"La... bila lah nak order ni?" hati saya berkata-kata.

Pelanggan tersebut resah saya berdiri di sebelahnya.

"Miss.... sini," aha... ada pekerja lain memanggil saya. Oh rupanya saya salah tempat berdiri. Nasib baiklah tak ramai orang di situ.

Tiba giliran, tak tahulah pulak macam mana hendak memesan... "Akak first time ke?" tanya adik pekerja tersebut.

"Ha...ah" ... Dia tersenyum. Hari ini saya belajar benda baru di Subway, belajar memesan makanan cara Subway... 

Okaylah juga. Dapat ilmu  di Subway.
Terima kasih adik Subway di Aeon, Keramat.

*lain padang lain belalang, lain restoran lain cara memesannya...


~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, December 27, 2010

maintain....

Apakah yang meriangkan hati seorang wanita apabila berjumpa kawan lama yang sudah lama tidak ditemui? Saya kira banyak faktornya. 

"Lama sungguh kita tak jumpa ya....Makin kurus lah sekarang." 

Ha, itu saya beri rating nombor satu. Jika berjumpa kawan lama dan beliau memberi 'pujian' yang badan saya tidak naik, walau saya tahu, setiap kali menimbang berat badan terasa ada tidak kena dengan penimbang tersebut, kerana jarumnya saban minggu menunjukkan angka yang besar dari sebelumnya, pedulikan sahaja.... Ayat tersebut menjadikan dalam hati ada taman. 

Obses dengan berat badan? Mana tidaknya.... setiap kali membuka almari baju semakin sedikit opsyen baju yang boleh dipakai kini. Kebanyakan baju yang dibeli akan mengecut dengan peredaran masa. Hendak menyalahkan masa atau menyalahkan baju? Tak tahulah saya.

"Eh, makin berserilah awak sekarang ni..."

Ha, yang itu rating nombor dua. Pedulikan sahaja tentang gerak hati sendiri yang macam tidak percaya. Apatah lagi kalau waktu itu waktu "cukup bulan" yang mana aras hormon dalam badan tidak stabil dan kalau ikutkan hati, hendak  menggelegak saja rasanya darah dalam badan. Seri wajah memanglah penting, walau muka pucat lesi tanpa make up.

" La.... tak berubahnya awak. Masih macam dulu lagi. Maintain."

Ha, yang itu rating nombor tiga. Apa yang maintain? Entah. Pedulikan sahaja. Walau tahu setiap kali bangun tidur waktu pagi dok mengadap cermin mengira kedut wajah yang makin bertambah dan mengira urat rambut yang makin memutih, yang penting, maintain.... tak tahulah maintain apa. Yang penting juga setiap kali sebelum tidur, menyental losyen yang mendakwa boleh menghentikan masa untuk kulit wajah, walau tahu si penjual memang putar alam sedunia.

Apa lagi....? Cukuplah sekadar itu entri mengarut ini. Idea yang baik dan bernas tidak menjengah saya pulak hari ini....

*esok mesyuarat guru bermula di sekolah, baju mana hendak ku pakai agar nampak kurus, berseri dan maintain? hehehe

~cikgunormah@klcitizen~ 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, December 26, 2010

nostalgia

"Mak masa muda cantik la ,mak," saya bersuara sambil menunjukkan sekeping gambar emak. Emak ketawa suka.


Di hadapan kami berterabur gambar-gambar lama yang saya sangka telah lama hilang, tetapi rupanya selama ini dok terperuk di laci bilik adik saya. Ah! Rupanya ada lagi gambar saya semasa di sekolah menengah dulu dengan rakan-rakan semasa di Ting 3 dan ting 5. Nostalgik sungguh semalam.


saya yang kesembilan dari kanan
*gambar dicopy dengan handphone sahaja, kerana tak punya scanner*

di hujung kanan, adik perempuan saya dan saya di sebelahnya

Emak dan saya berkongsi tawa melihat gambar-gambar saya dan adik perempuan saya semasa di Tadika Kemas bawah blok rumah polis di FRU Sungai Senam dulu. Memakai baju yang sangat pendek kerana agaknya emak tak cukup duit nak membelikan saya baju baru tika itu.


Saya kira siapa pun pasti punya kenangan indah waktu masih kecil dan masih muda. Dunia dirasakan begitu luas kerana tiada masalah yang bersarang di fikiran. Masalahnya cuma esok nak main apa dan kat mana saja...


Di belakang sekeping gambar salah seorang sahabat lama yang sudah berbelas tahun tidak berjumpa tertulis :
"What is more beautiful between us cannot be written,
So little asked, so much gain,
So much felt, so little spoken" - Ude

Sambil membelek satu- satu keping gambar ada hirisan pedih dan sayu di dalam hati, kerana banyak kenangan yang tercipta rupanya tidak dapat diingat. Begitu lemahnya manusia.


Walau tika itu, memang berjanji pada diri agar cuba berpegang pada kenangan dan kisah indah tersebut. Namun Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk manusia.


Rasa rindu tetapi tidak tahu hendak dituju pada siapa, mungkin rindu pada masa lalu perlahan-lahan mengisi ruang dada.

*masih di Batu laut menghabiskan sisa cuti bersama emak

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...