Friday, September 27, 2013

sedihnya ..






A much forwarded email reminds us that when we stand before God, he will not ask us what make of car we drive, but if that car had been used to pick up someone in need. He will not ask about our titles, achievements or financial net worth, but how many lives we have touched 

Teringat-ingat kisah yang dikongsi oleh rakan di kantin pagi tadi.

 Selalu waktu  malamlah.  Masa saya dengan suami berjoging kat taman awam tu.

Saya tahu taman awam itu di mana. Alah, kami berempat yang sedang makan nasi berlauk, pagi-pagi buta itu memang maklum taman yang dimaksudkan oleh rakan saya yang kecil molek ini. 

Ada orang lelaki tu, kemas orangnya, bukan orang gila atau orang tak tentu arah pun. Tapi ... dia memang tidur kat taman tu. Nampak gaya macam orang ada kerja. Ada motor. Kemas. Cuma rasanya macam jenis yang tak ada rumah.

Oh, kesiannya.

Gelandangan.

Merempat di tanah air sendiri. Atas banyak sebab, kehidupan gelandangan langsung menjauh dari norma kehidupan manusia seperti kita yang biasa-biasa ini, punya rumah tempat berteduh dan pelbagai kemudahan yang kita 'take for granted'.

Teringat satu artikel oleh saudara Mazidul Akmal dua tahun lepas ..
"Hendak tidur di masjid kena halau, dia orang takut kami mencuri duit sedekah di masjid. Kalau di gereja tidak ada masalah malah mereka sudi menyediakan tempat tinggal dan makanan tetapi saya tidak mahu pergi ke sana," jelas lelaki berbangsa Melayu berusia 44 tahun itu. ~ Selipar di kepala

sumber dari mazidulakmal


Sedihnya ...



~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, September 25, 2013

dapat pegang punggung perempuan




Kenapa tak bangun bagi salam pada saya ?

Dia hanya menundukkan kepalanya. Tidak mahu memandang wajah saya. Tanpa perlu melihat matanya pun saya tahu hatinya tidak tenteram. 

Kecil, hitam manis budak di depan saya ini. Ada kesan-kesan calar di wajahnya. Maklumlah budak yang lasak seperti dia.

Saya tak de mood.

Ringkas dia menjawab.

Saya ada beberapa pilihan waktu itu. Membebel dan menuntut dia memberi salam juga pada saya. Tapi saya tahu, salam yang sebegitu rupa hanya berupa kata-kata yang terbit di hujung lidah sahaja. Bukan doa yang keluar dari hatinya untuk saya.

Saya juga boleh membiarkan sahaja perlakuan tersebut. Walau pun saya tahu dengan membiarkan sahaja , perangai seperti itu boleh menjadi contoh buat rakan-rakannya. 

Membuat keputusan bukanlah perkara mudah. Semua orang pun tahu. Tindakan yang kita ambil hari ini memberi kesan pada hari-hari yang seterusnya. Saya tau.

Rakan-rakannya yang lain hanya memandang ke arah kami berdua. Menanti reaksi dari saya.

Oh, kalau tak ada mood duduklah.

Terasa bodoh pulak saat ayat itu habis keluar dari mulut saya. Tapi saya bertekad tidak mahu amarah menguasai emosi dan tindakan saya. 

Saya biarkan dahulu.

Agak-agaknya negro yang punya tiga permintaan sebelum dia mati tu, selepas dihidupkan dalam cerita khayalan tersebut, dia jadi apa?

Saya hanya bercerita dalam kelas tersebut. Tiada sesi pembelajaran. Pelajar-pelajar Ting 1PAV ini dikategori sebagai pelajar yang sederhana lemah. Ada beberapa orang pelajar tersebut yang tergolong dalam kategori pelajar bermasalah disiplin. Termasuklah pelajar yang tidak mahu memberi salam tadi pada saya.

Cerita negro tersebut adalah cerita 'recycle' yang sering saya guna bila menjadi guru gantian. Negro tersebut meminta tiga perkara dari seekor jin. Cerita khayalan bukan kenyataan. Permintaannya bila dihidupkan semula ialah ingin menjadi putih, sekelilingnya penuh air sebab dia waktu meminta itu sedang nazak akibat kehausan di padang pasir dan permintaannya yang akhir ialah dapat memegang punggung wanita tanpa dimarahi.

Semua yang di dalam kelas tersebut cuba menerka. 

Jadi pasir tepi pantai !

Bukan...

Jadi kolam!

Bukan...

Saya lihat pelajar yang tadi itu turut sama memberi jawapan. Walau pada mulanya dia seolah berlagak tidak mahu mendengar.

Cakap lah cikgu. Dia jadi apa ....

Oh... Dia jadi mangkuk tandas di tandas perempuan !!! Putih, banyak air keliling dia dan dapat pegang punggung perempuan tanpa rasa bersalah.

Sebaik sahaja mendengar jawapan, pelajar yang tadi itu, ketawa terbahak-bahak. Begitu juga rakannya yang lain.

Eh, dah ada mood dah?

Sengaja saya bertanya. Dan saya lihat senyum lebar terukir di wajahnya yang bercalar. 



Dan saat saya mahu keluar dari kelas tersebut tadi, dia yang paling awal bangun mengucap terima kasih cikgu.

Kadang-kadang, kan, membuat orang lain tersenyum itu sebenarnya dapat memberi seronok dalam diri sendiri.

:)

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, September 18, 2013

lembut bukan lembik




Merisaukan.

Menakutkan.

Dua perkataan yang saya kira paling banyak menghinggap di hati semua orang akhir-akhir ini. Ada saja perkara yang akan merisukan dan menakutkan kita.

Dunia akhir zaman. Begitulah. Semua kita pun tahu. Fitnah berleluasa. Bala dan musibah merata.

Dia boleh pergi je sambil menjawab. Kurang ajar betul. Biadap sungguh.

Saya mendengar dari kejauhan.

Nampak amarah di wajahnya. Geram yang cuba dibendung kerana kebiadaban insan lain bergelar anak murid. 

Bukan insiden yang pertama. Dan bukan  juga dia insan pertama yang mengalami situasi tersebut.

Lewat bulan ini sahaja beberapa guru mengalami insiden sedemikian rupa di sekolah. Anak-anak murid seolah merajalela menjawab dan melampias marah serta melambakkan rasa tidak puas hati di hadapan guru. Menendang meja, memaki dan mencela guru, seolah tidak pernah diajar bahawa perbuatan tersebut tidak wajar sungguh dibuat meski ke atas rakan sebaya.

Mana silapnya?

Saya tidak mahu menuding jari. Saya seorang guru dan dalam masa yang sama, adalah seorang ibu juga. Anak saya sendiri tidak tentu perangainya di belakang saya.

Tetapi, setiap masalah pasti berpunca.

Yang pasti, anak bermasalah, hanya ibu dan ayah sahaja yang tahu puncanya di mana. Merekalah yang membesarkan anak tersebut dari sekecil-kecil dalam rahim hingga ke sekolah. Sebagai orang luar, guru-guru hanya bisa menerka dan membuat andaian. 

young&old 


Berpuluh tahun mengajar, pengalaman sendiri menunjukkan sahsiah generasi muda makin merosot. Ibu bapa makin hilang kuasa membentuk akhlak anak sendiri. Kita menyalahkan persekitaran tetapi sebenarnya kita juga adalah sebahagian dari persekitaran tersebut.

Merisaukan sungguh.

Saya berpendapat jika hendak merubah, mestilah kita sebagai ibu bapa yang perlu berubah dahulu. Pertama-tamanya ialah mengubah cara kita berbahasa dan melihat insan lain. 

Berlemah lembutlah terutamanya dengan anak-anak muda dan hormatilah insan yang lebih berusia. Bukan begitukah yang dibuat oleh Baginda Rasul sejak dari mula. 

Saya berdoa saya pun begitu juga. 

Berlemah lembut. Bukan berlemah lembik.

Salam ingatan.

~cikgunormah@klcitizen~







Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, September 14, 2013

tak habis-habis menumpang






Ada orang nampak hebat kerana pakaian yang melekat di tubuhnya. 

Mungkin kerana fesyen terkini, up to date , membalut tubuhnya. Jelas penampilannya berjaya mencuri pandangan insan-insan di sekeliling. Memang hebat. 

Ada orang lain pula nampak hebat kerana kenderaan yang dipandunya.

Menjalar, berkilauan, terlebih lagi kalau kereta import berjenama mahal yang punya kelas tersendiri. Bercermin mata hitam dan gelap juga cermin keretanya, memang pasti nampak hebat. Tidak kiralah si wanita atau lelaki. Biar pun lelaki yang punya perut yang boroi. Boroinya kala itu pun nampak hebat juga, kan.

Ada pula yang nampak hebat kerana gadget yang sedang diguna pakai.

Mungkin henfonnya jenama terbaru yang panas di pasaran. Atau kamera yang disandang ke hulu ke hilir mengalahkan besarnya kuali di rumah saya. Atau mungkin juga laptop di ribanya nipis sungguh, senipis kulit bawang . Kagum orang lain yang melihat. Pasti hebat kan. 

Hebat di mata . 

Hebat yang terhasil atas menumpang. 

Menumpang atas makhluk-makhluk yang tidak bernyawa.

Pelik kan.

Kita nampak hebat kerana pakaian, alat make up, kereta, henfon atau mungkin juga kerana emas berlian yang tersarung. Mungkin juga kerana cermin mata, tudung yang melilit di kepala atau mungkin juga serban dan jubah yang kita sarungkan pada tubuh badan.

Tapi mungkin juga hebatnya kita kerana daya fikir dan petah nya kita berbicara.

Itu tidak menumpang jugakah?

Idea dan petah kita pasti bersumber dari  inspirasi di sekeliling. Ia tidak terbina dengan sendiri. Kita perlukan pengalaman bagi membina idea. Pengalaman yang mungkin kita ceduk dari pembacaan atau tindak balas yang berlaku hasil dari hubungan kita dengan persekitaran.

Hidup kita sebenarnya menumpang.

Menumpang atas makhluk lain yang bernyawa atau tidak.

Jelas, kita sebenarnya tidak sehebat mana tanpa makhluk-makluk  tersebut di mata manusia.

Dan masih lagikah rasa sombong dan megah diri atas hebatnya kita itu perlu dibiar bertapak dalam diri?




Bertawadhu'lah.

Itu pesanan seorang ustaz semalam dalam ruangan motivasi pagi di radio IKIM. Dan baru sekarang saya tersedar . Memang benar sungguh kata ustaz tersebut.

Kita semua hanya menumpang atas makhluk yang lemah .

Tersangatlah lemahnya kita.

Salam  Hari Malaysia.


~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...