Masa sedang PKP inilah ramai yang mengambil kesempatan mengemas apa yang patut. Dari mengemas bilik, kemas rumah, kemas laptop, kemas handbag.. macam-macam kemaslah kan.
Seorang sahabat seawal pagi, berkongsi gambar majalah sekolah SMK Taman Setiawangsa tahun 2004 dalam group whatsapp yang saya juga ahlinya. Agaknya mengemas rumah di kampung, maka terjumpa majalah tersebut.
Yang bestnya majalah sekolah ni, (walaupun ramai juga bebudak yang taknak bayar duit majalah sekolah) ialah adanya gambar-gambar lama buat kenangan. Dan gambar-gambar itu bukan kita sahaja yang menyimpannya, ia juga disimpan oleh beratus lagi orang lain yang memiliki majalah tersebut.
Ini antara kenangan manis sewaktu menjadi guru kelas. Walaupun memanglah semasa tahun 2004 ini, pening juga mengadap budak-budak dalam gambar tu, tapi bila diingat semula, kenangan yang tidak boleh diulang lagi itulah menjadi perkara yang manis untuk disimpan.
Kelas 5 Usaha, kelas paling belakang sewaktu itu pada tahun tersebut. Zaman-zaman tersebut, streaming pelajar adalah perkara biasa.
Mengajar matapelajaran Sains, (antara mata pelajaran yang saya fikir paling senang dalam dunia) agak mencabar juga untuk saya dan untuk mereka. Kasihan juga buat anak-anak ini, sebab saya bukanlah antara guru yang kreatif bab-bab mengajar ni. Cumanya saya fikir, antara cara meningkatkan esteem diri mereka waktu itu ialah cuba mendapatkan anugerah kelas terbersih.
Kebiasaannya, kelas hujung, segalanya akan terbiar. Papan kenyataan seolah antara hidup dan mati, tetapi mati itu lebih dekat bagi menggambarkan papan kenyataan di kelas hujung. Bab itulah yang saya tidak mahu menjadi trademark nanti buat kelas 5 Usaha.
Awal usaha, dibantu oleh anak-anak dara yang rajin dalam kelas tersebut, dan ketua tingkatannya yang amat baik, berjaya juga menceriakan kelas dengan ala kadar. Kain menutup papan kenyataan saya beli di Carrefour dan bertungkus lumus dengan budak-budak ini cuba mencantikkan kelas yang memang tak berapa cantik.
Moto saya: Biarlah tak cantik sangat, yang penting sedap mata memandang.
Sengaja saya banyakkan mengajar dalam kelas, bukan di makmal Sains, kerana hendak pastikan yang kelas tersebut bersih dan kemas sentiasa. Walaupun, ada kala bukan sebab tu sangat, tetapi sebab sukar juga mengawal disiplin mereka semasa dalam makmal.
Membebel itu perkara biasa. Agaknya, mendidih juga hati dan perasaan anak-anak ini setiap kali saya masuk ke kelas, menegur kenapa senget itu dan ini, kenapa nota di papan kenyataan tersebut melayang-layang ditiup angin tidak distapler kemas.
Usaha yang awalnya nampak sia-sia, rupanya mendapat sambutan dari murid-murid lelaki dalam kelas ini apabila minggu berikutnya kelas 5U dinobatkan menang kelas terbersih .
Selepas dari itu, naik kemaruk pulak budak-budak lelaki ini, sehinggakan ibarat kata mantan ketua tingkatan " ...dah macam taska pun ada dalam kelas masa tu". Carpet dari kelas berjiran diangkut bawa masuk ke dalam kelas dan pasu bunga dari bawah diletakkan dalam kelas untuk menceriakan lagi kelas.
Haha
Pening juga nak menjawab dengan Cikgu Kelas jiran dan Penolong Kanan HEM waktu itu, minta dipulangkan semula carpet dan pasu bunga ke tempat asal.
Ah.. kenangan manis jadinya sekarang.
Doa saya semoga semua anak-anak ini berjaya dalam hidup masing-masing, diberi kesihatan yang baik-baik sekeluarga. Moga anak-anak kalian akan jadi anak-anak soleh dan solehah, berjaya hidup dunia akhirat.
Cikgu minta maaf atas segala kekurangan. Mungkin kerap juga cikgu lambat masuk ke kelas atas alasan apa pun, atau tidak memberi perhatian yang sewajarnya buat kamu semua. Mungkin ada kata-kata cikgu yang menusuk kalbu, dan mungkin sehingga sekarang ada antara kamu yang ingat dan masih menyimpan rasa terkilan atau marah. Tak baik simpan marah tu...😂
Minta maaf dari kamu dan semua juga murid-murid yang Cikgu pernah ajar.
Salam Nisfu Syaaban semua.
Dengan ingatan kasih.
~cikgunormah@klcitizen~