Friday, May 31, 2013

Saya ajar awak ke dulu?





sumber

Kenal saya tak, cikgu?

Hujan renyai-renyai waktu itu. Baru sudah makan malam di kedai mamak. Saya pandang wajahnya. Kecil molek dan bersih raut wajahnya. Di sebelahnya budak perempuan berusia lebih kurang 4 tahun, genit dan comel sungguh.

Serba salah.

Bila dihujani soalan seperti itu, saya jadi serba salah. Sejak lama sudah, entah bila mulanya, atau pun memang sejak mula lagi, mengingati nama-nama anak murid adalah menjadi satu kepayahan yang amat berat.

Saya ajar awak ke dulu?

Soalan paling tidak bijak rasanya yang terpacul keluar dari bibir saya. Dalam kepala saya menjawab, yalah, takkan dia tanya kenal dia ke tidak. Aduyai. Tidak layak rasanya soalan itu yang terkeluar.

Yalah cikgu. Haha. Saya kelas 5 Tassawur. Satu kelas dengan Amir, dengan blablabla...

Ah, nama-nama murid lagi. Nama-nama kawan dia disebutnya satu-satu. Cuba membantu saya mengingat semula rakan-rakan dalam kelasnya.

Malang sekali.

Sedikit pun tidak membantu saya untuk mengingat mereka, malah langsung tidak teringat nama si empunya badan di depan saya. Tapi, wajahnya...

Ya. Saya masih ingat wajah si dia ini. Terbayang tempat duduknya di dalam kelas 5 Tasawwur. Terbayang wajah-wajah rakan-rakannya.

Cikgu ajar Matematik kan?

Tak, saya ajar Sains.

Hehe. Rupanya ingatan dia pun tidak sehebat mana.

Kerja di mana sekarang?

Di Bank Simpanan Nasional , cikgu. Sains saya dapat kredit cikgu. Dapat kerja di bank.

Saya tersenyum. Bersyukur kerana Allah beri peluang kepada saya membantu dia dalam SPM dan dengan bantuan tersebut dia berjaya mendapatkan pekerjaan yang halal demi kelangsungan hidupnya.

Dalam hujan malam itu hati saya berbunga melihat seorang lagi bekas anak murid yang menjadi dan saya doakan kebahagiaan hidupnya sekeluarga bersama anak dan suaminya dunia akhirat.

Indah sungguh rasa dalam hati ini.

Dan indahnya perasaan seperti ini hanya dimengerti oleh mereka yang bergelar guru seperti saya sahaja.

Kan ..


~cikgunormah@klcitizen~






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, May 25, 2013

bercuti seberang tasik




Tuliskanlah doa yang nak dikirim tu.

Mendengar katanya, saya mula merangka ayat dalam kepala. Oh, segala benda kalau boleh hendak diminta. Segala yang baik-baik dalam benak ingin agar Allah makbulkan.

Tak payahlah. 

Eh, bukan saya merajuk. Tdak ada apa yang hendak dirajukkan waktu itu. Muka sahabat saya itu saya tenung. Nampak hairan. Yalah, berkali dari dulu saya mengingatkan dia agar jangan lupa tolong menyampaikan doa  saya nanti di tanah suci Mekah. Dan bila saat dia meminta saya menyatakan doa saya, itu pula jawapan yang saya berikan.

Saya taknak tulis. Tapi doakanlah untuk saya apa yang terlintas waktu itu dalam ingatan awak tentang saya. Itulah yang terbaiknya. Moga Allah makbulkan doa yang tidak diketahui  oleh sahabat yang didoakan itu.

Dia senyum tanda faham.

Dan saya mendoakan juga nanti untuknya agar Allah memudahkan ibadahnya di sana nanti dan selamat beliau sekeluarga pergi dan kembali ke tanah air .

Bukan dia sekeluarga sahaja yang akan ke sana. Saya tahu. Ramai di luar sana. Rakan-rakan di sekolah juga ramai yang berpeluang ke sana.

Tetamu-tetamu Allah yang terpilih atas izinNYa.

InsyaAllah nanti saya juga akan menyusul. Bila? Entahlah... wallahualam.



minit ke 00:47  "And the hadith says that charity (You know) the charity would actually   extinguish the calamity that is coming in your direction. So, before embarking into a journey you give a little bit of charity. When something important is about to happen you give a charity, before an  examination happens you give a charity. To whom? To those that accept it. The poor. So when you look at the poor person, speak to him with respect. Consider him a gift of Allah, sent  to you ..."

Jom... sebelum kita berangkat untuk kemana-mana nanti, walau bercuti di seberang tasik sahaja pun, kita bentuk dahulu personaliti seorang Muslim, seperti yang dipesan oleh  Mufti Zimbabwe itu.

Salam ingatan.

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, May 18, 2013

bahang





Bahang Hari Guru masih terasa lagi saat saya menulis dalam entri ini. Berbagai perkara bersimpang siur dalam kepala semenjak hari Sabtu lepas. 

1Aspirasi 1Agenda

Dengan tema sebegitu memang sebagai seorang guru saya inginkan perubahan positif berimpak besar dalam dunia pendidikan. 




Dalam dunia pendidikan global kini, gelombang Finland Phenomena sedang melanda. 

Tahukah anda? 

Rasanya ramai yang sudah tahu, tetapi ramai juga masih belum tahu. Kalau yang masih belum tahu, elok-eloklah bersegera untuk ambil tahu.

Pendidikan di Finland diakui sebagai yang terbaik di dunia abad ini . Negara-negara seperti Amerika dan Britain saat ini juga sedang cuba melihat semula sistem pendidikan mereka dan menghantar pembuat-pembuat dasar dalam sistem mereka ke Finland untuk mempelajari dan melihat bagaimana Finland berjaya meletakkan negara mereka pada aras tersebut.

Kenapa? Kenapakah pendidikan dan isu guru sentiasa menjadi perbincangan utama nasional ?

Kerana pemnbentukan negara itu sendiri adalah bersandarkan insan yang menerajuinya dan insan-insan ini dalam satu tahap kehidupannya akan menerima asuhan dan idea-idea yang ditanamkan oleh guru-gurunya secara sedar atau tidak.

Kerana itu guru yang hebat adalah guru yang menyemai nilai, seperti Rasulullah s.a.w.  Terbukti bahawa sistem pendidikan yang diterapkan oleh Rasulullah itu sendiri berjaya menghasilkan insan-insan hebat yang dapat membina empayar hebat.

Jika anda seorang guru seperti saya, kita patut bertanya semula diri kita apakah nilai yang ingin kita terapkan pada anak didik kita?

Apakah nilai yang boleh kita sisipkan dalam peribadi mereka supaya mereka nanti boleh berdaya saing, menjadi pemimpin yang memimpin, berakhlak mulia dan tidak berperangai seperti penyanyi Korea misalnya dan menjadi pemikir bukan pengikut budaya yang entah apa-apa.

Saat ini adalah saat yang sangat kritikal. Pendidikan di negara kita dikategori dalam ranking  20 ke bawah dalam dunia. Anak-anak kita yang memperolehi 9A+ berderet masih belum layak untuk menjalani temuduga di Harvard. Bukankah itu sangat meyedihkan? Walau pun itu hanya khabar-khabar angin, tetapi ini memberi cerminan yang besar kepada imej guru khasnya dan sistem pendidikan di negara kita amnya.

Dan kita masih memberi alasan dan ruang bagi membenarkan budaya berhibur tahap rendah berlegar dan berleluasa di dalam persekitaran sekolah kita.

Saya secara peribadi mengimpikan sekolah yang meraikan budaya berhibur secara intelektual seperti persembahan musik dan teater tahap tinggi. Kita didik anak-anak kita supaya meninggikan semula darjat hiburan bangsa-bangsa kita yang pelbagai, bukan meraikan segala sampah di dunia luar sana terutama semasa acara sambutan hari guru.

Mendidik itu adalah amanah bagi setiap kita yang bergelar guru.

Dan dalam satu aspek yang ditekankan dalam sistem pendidikan Finland ialah guru-guru yang beramanah.

Selamat Hari Guru ... masih belum terlambat rasanya.


~cikgunormah@klcitizen~











Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, May 9, 2013

berpolitik cara matang






Setelah habis menonton gambar-gambar jari di sekitar garis masa muka buku, sekarang adalah saat-saat membaca puluhan perkongsian tentang analisa dan post mortem PRU 13.

Rupanya ramai sungguh ahli politik tak bertauliah dan lulusan sains politik tak berijazah di luar sana, seperti mana juga ramai sungguh ustaz dan ustazah serta lawyer  dan lawyeress (perkataan yang ini rasanya tak wujud).

Terpulang.

Nak baca, bacalah.

Tak nak baca, jangan baca.

Terpulang juga. Nak komen atau tidak. Nak like atau pun tidak. 

Tapi yang saya pasti, dalam perbezaan pendapat, penerangan yang ditulis serta dihujahkan, pilihan yang menjadi kesukaan atau pun kebencian, setiap seorang tersebut punya niat yang baik , mahu memberi faham kenapa dan mengapa. Mahu menunjuk arah jalan yang dirasanya betul dan jelas.

Cuma terkadang ..

Keinginan agar orang lain itu mengikut kita dan bersetuju dengan pendirian kita itu terlampau melampau. Sehinggakan perkataan yang diluah dan ditulis itu menjadi kasar dan senang saja menghiris perasaan orang yang membacanya.

Kawan menjadi lawan dalam sekelip mata dek kerana berbeza pendapat dan pendirian.

Ramai kita meminta orang lain terlebih dahulu untuk menerima kritikan, nasihat dan pendapat yang kasar, dari tulisan dan mulut kita,  dengan redha, tanpa meletakkan diri kita sebagai yang menerima tempias kata-kata kita sendiri. Cubalah kita melihat ayat kita semula dan meletakkan diri kita sebagai kawan kita itu. 

Kita rasa kita yang betul. Tapi jangan lupa, kawan kita juga merasakan dianya betul.

Dan berbalah tetap tidak akan ke mana.

Saya masih merasakan dunia politik di Malaysia masih belum matang walau pun usianya sudah melebihi 50 tahun. Oh, tidak, saya bukan mahu menjadi salah seorang penganalisis politik tidak bertauliah. Tetapi hanya mahu menulis pandangan satu sen saya sahaja.

Saya merasakan  dunia politik yang saya kenali di Malaysia waktu ini seperti ketandusan pemimpin yang hebat. Mungkin saya salah. Tetapi ini kan pandangan saya dari kaca mata saya yang makin tebal.

Saya kira bagi persediaan masa-masa akan datang, anak-anak kita di sekolah perlu didedahkan dengan cara berpolitik yang matang dari peringkat sekolah menengah atas lagi. Sebagai contoh, pemilihan Pengawas dan Ketua Pengawas di sekolah perlu digalakkan diadakan pilihan raya kecil sekolah, kempen dan debat dimestikan dan perlu di bawah pengawasan guru sebagai aktiviti kokurikulum. 

Pasti menarik. Dan bakat kepimpinan anak-anak muda ini boleh dicungkil dari peringkat awal lagi.

Mungkin di sekolah anda perkara ini sudah pun terlaksana dan telah membudaya dalam sekolah. Tetapi saya pasti banyak sekolah di luar sana yang masih tidak pernah melaksanakannya.

Dan pendapat saya , yang mana anda boleh sahaja tidak bersetuju ialah, sudah tiba masanya kita mendidik anak-anak kita di sekolah untuk menjadi ahli politik dan berpolitik secara sihat.



Salam pasca PRU 13.

~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...