Monday, March 30, 2020

Ketumpatan dan PKP





"The object of teaching a child is to enable him to get along without his teacher" - Elbert Hubbard 

              
Hari ini, sedang berbaringan sambil menonton Youtube, mencari-cari video yang boleh dijadikan sumber inspirasi bagi saya, notifikasi Whatsapp dari group  yang tidak boleh tidak, mesti dilayani, tertera di handphone. Bersegera saya duduk, hilang pula mengantuk yang tadi bermain acah-acah dengan mata saya.


Oh, arahan memohon dipastikan semua guru menjalankan PdPc sewaktu PKP (Perintah Kawal Pergerakan) telah diterima secara rasmi. Saya baring semula mengambil ruang yang sama seperti tadi. Tiada yang perlu dirisau sangat kerana sebahagian besar guru telah sedia maklum. Merata di jalur masa Facebook, Twitter, Telegram  dan Group Whatsapp , pelbagai status menjadi bukti perkara ini telah dan sedang pun berjalan.


Ah, baru sahaja tadi pun, saya telah menampal arahan dalam Group Kelas Sains saya. Beserta contoh dan nota suara juga telah diberi mengiring arahan tugasan yang diberi.


Kembali saya mengadap skrin Handphone dan sesekali menjeling ke arah laptop saya yang ternganga menunggu tuannya datang memberi perhatian. Itu, tugasan yang tertangguh membina item soalan, yang sepatutnya sudah dilunasi minggu lepas lagi, masih belum bernoktah. 


Adui... bahana COVID19 ini seperti menjalarkan sifat menangguh itu.


"Cikgu, boleh tak saya mohon beri tugasan yang lebih mudah? Memandangkan keperluan yang cikgu minta itu tiada dalam stok di rumah. Kerana kekangan keluar untuk membeli"


Saya duduk semula.


Mesej peribadi dari anak murid saya terima. Saya baca berulang kali, khuatir kalau-kalau saya salah faham.


Teringat semula kepada arahan tugasan dalam Group Whatsapp saya. Saya minta anak-anak tersebut menghasilkan makanan atau minuman ringkas yang menggunakan Prinsip Ketumpatan dan persembahkan dalam bentuk video. 

Ibu Sirap

Sebagai contohnya 'ibu sirap ' dituang dahulu dalam gelas dan tanpa dikacau, tuangkan air masak. Akan kelihatan nanti 'ibu sirap' yang lebih tumpat itu kedudukannya pada lapisan bawah air masak. Videokan situasi tersebut sambil diiringi nota suara mengapa ia terjadi begitu.


Oh...


"Santan kelapa ada di rumah?" balas saya. Fikir saya, mustahil jugalah tiada santan kelapa di rumah anak ini. 😐


Hanya biarkan sahaja santan tersebut, lama kelamaan nanti terapunglah kepala santan yang kurang tumpat dari air di bawahnya.


"Untuk pengetahuan cikgu, kampung saya di KB, salah satu zon merah, tak boleh nak keluar."


Allah!


Dalam keterujaan memastikan PdPc saya masih berjalan, terlupa pula dengan anak-anak murid yang bercuti balik ke kampung dan terkandas di kampung sehinggalah PKP ini berakhir. 


Seorang guru yang baik bukanlah sikapnya seperti saya. Mengandaikan situasi anak murid serupa dengan situasi saya di rumah, punya talian internet yang baik, baring duduk dengan nyaman dan merasakan masa itu sentiasa sahaja lapang menunggu mood baik untuk hadir. 


Proaktif  menilai situasi, memahami keadaan dan menjangka masalah yang bakal anak-anak ini hadapi di sepanjang PKP ini, itu yang saya perlu amalkan di saat ini. Sebenarnya, yang menjadi guru kehidupan bagi saya, ialah anak-anak ini. Menyuntik empati dan simpati yang lebih lagi dalam diri.


*Ketuk kepala sekali*



Saya mendoakan semua anak-anak murid saya dikurniakan Allah kesihatan yang baik, terhindar dari musibah yang melanda dunia saat ini. Doa saya juga buat anak-anak yang entah bagaimana situasi di rumah masing-masing, yang sesetengahnya punya penjaga yang bersatus pendera atau punya penjaga yang saban waktu memikir bagaimana memastikan makanan terhidang buat kalian. Doa saya agar anda semua Allah kurniakan keselamatan dunia akhirat.


Allah, Allah, Allah Yang Maha Besar.



Moga Allah makbulkan permohonan ini.


Salam kasih.

~cikgunormah@klcitizen~










Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...