Friday, March 22, 2013

hipokrit





Do things (good things) that people don't know about. Give a little bit of shadaqah without telling your wife .. Imam Omar Suleiman

Sebulan dua ini hati saya rasa panas hingga ke hujung.

Tidak tenteram itu beraja dan bersultan di hati. Menyimpan rasa itu memang menyakitkan dan memakan diri.

Melihat wajah hipokrasi di depan mata tanpa bisa berbuat apa-apa menjadikan geram itu berkumpul. Membengkak dan bernanah. 

Selemah-lemah iman. Itulah situasi yang sebenar-benarnya. Melihat dan terusan memandang. Dan bibit benci tertanam dan menyubur.

Siapakah si hipokrit? Si dia yang tidak bercakap benar, tidak menepati janjinya dan tidak amanah atas perkara yang diamanahkan padanya.

Mendengar ceramah Imam Omar menampar secara halus hati saya.

Manusia yang merasakan orang lain lebih hipokrit itu lebih bahaya , katanya. Merasakan dianya lebih baik dan terlindung dari sifat hipokrit lebih mudah menjerumuskan dia menjadi manusia hipokrit.

Nauzubillah.

Pesan Imam Omar, antara cara mendidik diri untuk jauh dari sifat hipokrasi itu ialah : solatlah sebanyak mana sewaktu bersendirian secara sama banyaknya bila kita bersolat di masjid, bersedekah secara sembunyi,  jagalah lidah , menepati janji dan berbuat baik tanpa diketahui oleh insan lain.

Dan doa saya di lewat petang ini, semoga Allah memudahkan semua urusan kebaikan ahli keluarga saya,  sahabat-sahabat saya terutama buat Cik Noorul sekeluarga, juga semua kaum muslimin serta muslimat , di dunia hingga akhirat nanti. Semoga semua insan yang teraniaya Allah pelihara mereka di dunia ini dan kurniakan kebahagian yang kekal di akhirat nanti. 

Amin.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, March 17, 2013

resah






Saya sentiasa percaya setiap perkara dalam hidup kita berlaku atas kehendak Yang Maha Kuasa membenarkan ia terjadi. Dan setiap kejadian itu sengaja Allah jadikan sebab musababnya ia berlaku. Walau pun bukanlah penyebab atas kejadian itu yang membenarkan sesuatu perkara itu berlangsung. 

Kita adalah makhluk yang akan puas jika kita tahu mengapa dan bagaimana. Selagi perkara itu tidak dapat dipenuhi, fikiran kita akan sentiasa tertanya-tanya. 

Resah, itu sudah pasti.

Tetapi, jika persoalan itu terjawab, maka hati lebih tenteram. Dan redha itu akan menyusul.

Cantik sungguh penyusunan dan aturan Allah.

Sudah 3 minggu ibu mertua saya kembali ke rahmatullah. Kembali menemui Allah dalam suasana yang damai dan tenang.  Semoga rohnya Allah rahmati dan ditempatkan beliau bersama roh orang-orang yang soleh.

Dan semalam tatkala menghantar pembantu rumah aruah ibu mertua berlepas kembali ke tanahairnya, sempat saya menyaksikan insiden yang tidak patut wujud dalam diari seorang wanita yang bergelar ibu.

Kemarahan adalah perkara biasa bagi seorang manusia.

Tetapi tidak patut bagi seorang ibu itu, dalam keadaan marahnya menyepak-nyepak anaknya yang saya kira masih berusia 3 - 4 tahun. Seperti lagak ahli gusti menyepak lawannya yang terbaring di atas lantai. Dan abang kepada anak tersebut yang saya kira berusia dalam 7 - 8 tahun memeluk erat adiknya, cuba mengelakkan adiknya itu dari terusan disepak oleh emak mereka.

Melihat peristiwa itu saya pun jadi marah sama. Kebetulan waktu itu saya bersama biras saya.

Dik! Lain kali jangan awak sepak-sepak anak awak ..

Mukanya berubah. Malu mungkin. Sambil menggendong anaknya yang barusan saja disepak, dia berlalu pergi.

Entahlah macamana ....  dia mengomel. Omelan yang saya tidak faham.

Episod itu berulangkali bermain dalam fikiran saya. Seperti pita video yang rosak dan tersekat.

sumber


Mengapa? Dan bagaimana hati seorang ibu itu tega memperlakukan anaknya sedemikian rupa. Persoalan yang tidak lagi saya temui jawapan.

Dan itulah yang meresahkan saya..


Salam petang Ahad rakan-rakan semua.

~cikgunormah@klcitizen~








Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, February 16, 2013

terhutang budi





Dalam beberapa hari ini, pandangan di sekeliling banyak mengajar saya. Walau mungkin tidak juga menyedarkan diri saya ini dengan sesungguhnya,  tetapi pandangan yang terakam dalam fikiran saya itu banyak yang  menyentuh hati.

Hidup dan mati hanya dipisahkan oleh masa sesaat.

Baru sebentar rasanya melihat seseorang itu hidup dan bernafas, berkongsi udara yang sama, dalam sekejapan mungkin, ibarat sesaat dalam kamus hidup kita, nyawanya Allah ambil semula terlebih dahulu. Ikhtiar manusia sangat terbatas, walau mengguna bermacam alat dan teknologi yang mungkin, nyawa manusia ibarat angin. Tidak seperti batang tubuh yang boleh dipegang, ditambat atau didakap kemas, nyawa manusia itu dibawah kuasa Allah yang menentukan.

Sebenarnya, Allah beri peluang pada saya dan ahli keluarga yang rapat untuk hadir dan 'berkampung' beberapa hari ini di Hospital Besar Kuantan, menemani ibu mertua saya yang masih lagi sakit saat ini. Doakan , moga Allah meringankan beban kesakitan yang mengisi setiap ruang darah yang mengalir dalam tubuh ibu mertua saya itu.



Para petugas di Hospital tersebut sangat membantu. Pastinya , mereka yang terpilih untuk berkhidmat membantu orang yang sakit, Allah kurniakan pahala yang berganda.

Kita sebenarnya terhutang budi pada ramai orang tanpa kita sedar. 

Itu, kata-kata seorang penceramah yang pernah saya dengar .  Dan sangat saya bersetuju dengan kata-katanya itu.

Hidup ini sebenarnya saling memerlukan.

Sama ada kita kenal atau tidak, bila mana tindakan atau perlakuan seseorang itu  telah memudahkan hidup kita, dalam apa cara sekali pun, hatta membukakan pintu untuk kita masuk, kita telah terhutang budi padanya, dan pahala Allah sahajalah yang dapat membalasnya.

Doa saya, moga kita juga  Allah kurniakan pahala berganda atas tindakan-tindakan baik kita, sama ada tutur kata atau perlakuan kita setiap hari.

Salam ingatan.



~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, February 2, 2013

tips menyelesaikan masalah






Nanti kalau kita berjumpa, ingat untuk bersalaman ya..

Mesej saya itu, saya hantar dengan rasa teruja sungguh.

Okay, jawab sahabat saya.

Sudah bertahun berkenalan, rasanya bersalaman dengannya sebelum-sebelum ini hanya dalam keadaan-keadaan tertentu sahaja. Waktu itu, bersalaman dengannya mungkin untuk  meminta maaf sebelum bercuti untuk hari raya, atau mungkin juga bersalaman setelah lama tidak berjumpa berminggu-minggu kerana cuti sekolah. Itu pun, antara ingat dan tidak, dan entah yakah kami  bersalaman atau pun tidak.

Tapi, kali ini, berazam untuk berubah. Mahu, kalau boleh, setiap kali berjumpa dengannya atau dengan rakan-rakan di sekolah, tangan saya yang pertama dihulurkan untuk bersalaman.

Sunnah Rasul tu, kalau yang masih belum tahu. 

Rupanya sunnah yang semudah itu jika diamal, boleh juga membantu menyelesaikan masalah kita di dunia ini.


Bukankah masalah-masalah yang membelenggu kita itu sebenarnya ia juga adalah kurniaan Allah, mungkin berupa ujian atas kesilapan-kesilapan kita. Dan panduan siapakah yang selayaknya kita ikuti dan yakini untuk mengatasi masalah-masalah tersebut?

Ikhtiar diri dan upaya kita sangatlah terbatas, sebenarnya. Hanya sekadar berharap tulang empat kerat dan daya fikir sendiri sahaja untuk menyelesaikan masalah, boleh menyebabkan tekanan perasaan memuncak bila dilanda masalah yang kita sendiri tidak tahu kaedah penyelesaiannya.

Rupanya ada 10 cara mudah yang boleh kita amalkan dan dengan izinNya terungkailah masalah dan dipermudahkan urusan kita semasa masih hidup ini, iaitu:

  1. Berusahalah mengekalkan wudhuk
  2. Membaca al-Quran
  3. Berziarah sahabat dan saudara seIslam
  4. Bersalaman/ berjabat tangan dengan saudara seIslam setiap kali bila berjumpa
  5. Menghilangkan sebarang halangan yang ada dalam perjalanan
  6. Hadir dalam majlis ilmu
  7. Berzikir kepada Allah bila bersendirian
  8. Berselawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W
  9. Memperbanyakkan doa yang baik untuk orang lain tanpa diketahui oleh orang yang didoakan itu
  10. Berdakwah di atas jalanNya.

Paling saya suka dan bersemangat sungguh ingin membuatnya adalah tips yang ke 9. Sangat mudah kan.

Jomlah kita amalkan bersama-sama. Moga dengan amalan kita itu, hati kita semua tenang, jiwa kita menjadi besar serta masalah kita menjadi kecil dan enteng di mata kita.

sumber

~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...