"Sasaran Kerja Tahunan perlu dihantar esok, borang e-prestasi bahagian 80% perlu diisi dan dihantar juga, kertas peperiksaan Ting. 4 akhir tahun juga perlu dilunasi, kertas peperiksaan PMR juga perlu disemak beratus keping, mana satu nak buat dulu Kak Normah. Anak-anak pula main kejar-kejar dalam rumah..."
Yang mana satu perlu dilihat dahulu?
Persoalan yang tidak diminta jawapan sebenarnya. Ia lebih kepada luahan hati dan perasaan.
Tengoklah anak dahulu.
Jawapan saya.
Jika di rumah, tengoklah anak dahulu sementara anak itu masih kecil lagi. Sementara mereka masih jaga dan belum lagi diulit mimpi.
Nanti bila mereka sudah lena dan anda masih lagi punya tenaga dan semangat, maka bersengkang matalah. Tetapi jika itu pun masih kurang upaya, berehatlah. Itulah yang terbaik, saya kira.
Setelah lebih 20 tahun dalam bidang perguruan, saya merasakan perjalanan dalam bidang ini menjadi semakin sangat mencabar dan menguji. Ia bukan sahaja lagi melibatkan cabaran kerenah anak murid, kerana bagi saya anak-anak murid adalah merupakan pelanggan utama dan cabaran tersebut memang sedia dimaklumi.
Tetapi, kerenah birokrasi yang kononnya mahu menuju ke arah "paperless" menambahkan bebanan bentuk baru.
e-operasi, e-prihatin, e-prestasi, saps, spbs, e-splg, sarana ..... itu antara perkara-perkara yang telah di'online'kan serta perlu diberi perhatian oleh guru-guru semua. Ah ... online kan mudah. Klik sahaja!
Mudah , kalau tapaknya adalah facebook.. Kalau!
Tapi sistem yang baru dibangunkan oleh unit yang pelbagai ini di KPM, saya kira atau yang berkait dengan sistem pendidikan di Malaysia ini sangat tidak stabil dan masih dalam peringkat rintisan lagi.
Menjadi payah dan menjadi sumber baru bagi faktor meningkatkan tekanan darah tinggi.
Apa pun, dalam pada kami membebel dan mengeluh ini, tetap kami penuhi segala kehendak. Pasti. Dengan izin Allah, yang payah akan jadi mudah juga satu hari nanti.
Itulah yang menjadi harapan.
e-Salam dari saya.
~cikgunormah@klcitizen~