Thursday, December 8, 2016

Macam Retis




Memang tak kenal lah. Sumpah!!

Lain sangat-sangat. Cantik giler. Ada iras-iras retis. 

Baru kali pertama menonton video perkahwinan sahabat baik saya,  membuatkan saya tergamam dan melopong. Saya ulang tonton lagi. Dan lagi.



Betullah seperti pujangga berbicara.
"Hanya jauhari sahaja yang mengenal manikam"
Memang kata-kata pujangga tersebut tak berkait pun dengan rasa terujanya saya menonton video tersebut. Haha. Cuma, tak tahu kata pujangga apa yang sepadan dengan kecomelan dan kecantikan sahabat baik saya itu semasa hari perkahwinannya 12 tahun yang lepas.

Video perkahwinan saya?

Oh, masa saya berkahwin 24 tahun lepas tak ada duit nak tempah jururakam video. Untunglah sahabat saya ni ..  :)

Hari ini bukan nak membebel tentang video perkahwinan. Tetapi ada yang lebih penting dari itu.

8 Disember , 38 tahun yang lepas, bayi seberat  (tak tahu berapa )kg selamat dilahirkan oleh Cikgu Cik Eshah di Kluang, Johor. Alhamdulillah, kerana Allah membenarkan kelahiran tersebut, dan kerana itulah saya berpeluang menjadi sahabat baiknya. 


Setelah beberapa tahun membesar, nampak tak kecomelannya?

Haha

Dan yang terkini ...


Masih cantik menawan. Cuma kuranglah kecomelannya kan .. :D

Tapi... 


Yang ini lah yang PALING comel !!

Selamat menyambut hari Ulang tahun kelahiran yang ke 38 sahabat !!

Dan sempena hari kelahirannya saya mendoakan :

Moga Allah memakbulkan semua doa yang baik-baik dari sahabat handai dan rakan taulan buat My BFF ni. Dan moga Allah memakbulkan doa kamu wahai sahabat, mengurniakan rahmat dah hidayahNya buat kamu sekeluarga. 

Moga Allah kurniakan juga kesihatan baik yang berterusan buat kamu , dikurniakan rezeki yang mencurah dan dijauhkan dari segala mara bahaya, mala petaka dan bencana di dunia ini dan di akhirat juga nanti.

Amiin. 





Luv U Dear ...

cikgunormah@klcitizen




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, May 16, 2016

Biasa-biasa




Sewaktu bersekolah dahulu dari tahun 70an hingga 80an, saya hanya merupakan murid biasa-biasa sahaja. Kelas pun kelas pertengahan.

Dalam bidang kurikulum tidak menonjol, tidak pernah berpeluang naik pentas menerima anugerah kecemerlangan. Apatah lagi dalam bidang kokurikulum. Lagilah jauh panggang dari api.

Jika ada di antara guru-guru yang masih mengajar saya itu masih sihat, nama saya pun mungkin sudah dilupai oleh mereka.

Kerana saya hanya pelajar biasa-biasa sahaja.

Dalam pada biasa-biasa itu, ada beberapa guru yang masih saya ingati. Raut wajah, gaya dan cara mengajar masih terbayang dalam fikiran.


Ada yang saya ingati kerana penampilan mereka yang menarik. Pakaian dan tata rias wajah yang cantik ala model.


Ada yang saya ingati kerana garangnya macam singa lapar. Derap sepatunya di laluan kelas sudah cukup untuk menghentikan degupan jantung. Kalau boleh setiap kali kelasnya hendak sahaja saya ponteng kelas, main masak-masak di rumah atau main cikgu-cikgu dengan adik-adik. Tapi apakan daya. Mak dan abah tak pernah akan toleransi dengan keinginan sebegitu rupa.

Ada juga yang  terlekat di kepala kerana teknik mengajar menyalin tanpa henti. Sehingga nota yang disalin ibarat buku yang boleh dicetak dan diedar percuma.

Yang terlebih ingat ialah guru-guru yang pengajarannya lekat di kepala. Gaya tutur mereka, gerak tangan dan lirik mata memang seboleh mungkin cuba memberi faham dan memberi jalan untuk menjayakan kami anak-anak muridnya.

Syukur kerana Allah memberi peluang kepada saya untuk mengenal semua guru-guru tersebut.

Dan sekarang bila bergelar guru, melihat anak-anak yang biasa-biasa ini, terlintas dalam fikiran adakah saya ini akan diingati oleh mereka. Ingatan yang bagaimanakah pula yang tersemat dalam fikiran mereka?

Saya pasti semua yang berjiwa guru sebenarnya tidaklah mengharap sebarang balasan di atas amanah yang dijalankan. Semakin lama dalam dunia ini, saya pasti ramai antara kami,  lebih cuba untuk teliti dan memuhasabah diri.

Saya juga pasti semakin tua seseorang guru itu dalam bidang ini, semakin kental jiwa seorang guru itu untuk memastikan anak bangsa Malaysia ini lebih baik dari kami dan dari kita yang sudah dewasa . Semakin berantakan kemelut di luar makin kuat kami sebagai guru mencuba untuk memberi sedar bahawa survival bangsa Malaysia yang berdaulat terletak di batu jemala mereka nanti.

Andai berantakan yang berada di luar itu sekarang dijulang dan dijelmakan dalam tindakan mereka nanti maka padahlah bangsa Malaysia ini.

Pun begitu, bukanlah bermakna guru-guru ini maksum dan benar belaka. Kami hanya manusia biasa yang cuba mahu menjadikan bangsa ini bangsa luar biasa. Dalam keterujaan dan keinginan itu, memang tersalah serta tersilap dengan sedar atau di luar sedar, menjadi rempah ratus dan asam garam perjalanan kami.

Dan secara peribadi, maaf saya pinta buat semua yang pernah menjadi guru saya, pernah dan sedang menjadi murid saya serta rakan-rakan guru dan rakan sekerja. Maaf di atas segala kekurangan dan tidak peka saya dengan rasa tidak senang anda terhadap saya.

SELAMAT HARI GURU

Salam ingatan

~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, May 12, 2016

Abad 21





Musim peperiksaan kan sekarang.

Menariknya jadi cikgu waktu ini ialah tak perlu berpeluh ketiak meneriakkan suara dalam kelas. Kelas sunyi sepi dan hati pun jadi tenang.

Yang menyakitkan waktu ini ialah melihat anak murid bergelimpangan tidur seolah rumah pengasuhan gaya lagaknya. Cikgu-cikgu jadi pengasuh menjaga anak-anak ini dibuai mimpi. Puas dikejut, celik matanya sekejap sahaja. Bila berpaling semula melihat ke belakang, dah tersadai semula.




Tambah menyesakkan bila usaha-usaha perbincangan dan peniruan dibuat oleh anak-anak ini. Dengan taktik , teknik dan strategi lapuk yang cikgu pun tahu.


Terfikir juga dalam fikiran saya setelah membaca dan tertawa dalam mesej whatsapp kami tadi. Sepatutnya peperiksaan abad ke21 sudah patut diubahsuai. Mungkin perlu peperiksaan ala-ala perbincangan dan pemesyuaratan. Biar ada unsur komunikasi dan kreativiti serta kolaborasi sesama mereka. Kihkihkih ....

Hai lah anak!

Bagi saya, peperiksaan dalaman berperanan dua hala. Memanglah tujuan utamanya ialah melihat sejauh mana kemampuan anak-anak ini dalam bidang akademik, tetapi secara halus dan pentingnya ialah ia juga memberi maklum balas kepada si guru tentang pengajarannya. Berkesan atau tidak. Jika dah jawapannya sama antara si X dan si Y, data ini pasti tidak berguna buat si guru menambah baik pengajarannya.

Dan meniru atau cuba meniru atau memberi tiru adalah kesalahan.

Kenapa?



Sesiapa sahaja yang bergelar guru, berjiwa guru pasti akan kecewa dengan sikap anak-anak yang cuba meniru. Walau sebesar mana pun anda, belajar di mana pun anda, meniru dalam peperiksaan atau assignment adalah satu-satunya tindakan yang tidak menghormati guru dan diri anda.

Belajarlah untuk punya integriti dalam diri. Berusaha dengan daya dan upaya sendiri. Tahu bila masanya untuk mencontohi dan bila masanya bertindak dengan idea dan akal sendiri. Biarlah satu dunia meniru , tetapi anda tahu hasil kerja anda adalah autentik , hak anda dan kepunyaan anda yang penuh. Sifat terpuji yang pasti sukar dibina.

Dan sewaktu mengisi masa lapang mengawasi pelajar-pelajar yang tekun tidur dan ada yang tekun menjawab, saya membawa penyapu dan penyodok mengelilingi kelas. Sambil menolak sampah-sampah di keliling meja seorang pelajar ini ke dalam penyodok, saya membebel.

Sampah bawah meja sendiri pun tak peduli ya?

Dia memandang saya, tersengih malu-malu kucing.

Tu bukan sampah saya, cikgu.

Jawapan yang salah tu wahai anak. Jawapan yang menjemput bebelan panjang daripada saya.

Oh! Abis tu , ni sampah sayalah ya? Sebab awak tak buat, maka awak biar je, walau duduk bawah meja awak ya? 

Dan bebelan saya bertambah panjang pagi itu.

Aduhai anak. Aduhai bangsaku.

Abad 21 sungguh .....


~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, May 8, 2016

sebentar sahaja





Dekat-dekat nak puasa ni memang akan keraplah kita dengar kisah kematian, kan, cikgu.

Saya mengangguk perlahan. Ada benar juga kata-kata kakak di sebelah saya.

Sambil menunggu jenazah di luar ruang surau tersebut, saya mendiamkan diri sahaja, memberi ruang padanya berkata-kata. Sesekali dia mengesat peluh di muka. Panas, memang. Alat pendingin hawa di dalam ruang solat surau tersebut tidak dapat memberi rasa sejuk buat kami di bahagian luar ini.

Minggu lepas di surau ini juga, ada yang meninggal. Harini, anak jiran saya ni pula. Padahal cikgu, bukannya tak ada orang-orang lain yang dah lama sakit kat flet tu, tapi masih panjang lagi usia. Budak yang sihat walafiat yang kita tak sangka ini pulak yang pergi dulu.

 Saya membalas dengan anggukan lagi.

Benar.

Kematian itu tak tentu. Siapa yang akan dipanggil dahulu tidak siapa yang tahu. Di mana, bagaimana dan waktu bila kematian menjemput kita juga , tidak siapa yang dapat menerka.

Kematian yang tidak terduga itu sebenarnya sangat memberi kesan.

Mengingatkan pada saya, betapa inilah saatnya, tika masih bisa bernafas, melihat dan memerhati, untuk sentiasa memohon maaf di atas kesilapan diri. Menyedarkan saya betapa daifnya diri di sebalik keegoan dan bongkak yang bersarang.

Harith, kalau mama minta Harith berikan skala untuk mama , 1 kalau mama emak yang teruk, 10 kalau mama emak yang sangat bagus, Harith nak bagi berapa kat mama?

Menunggu dengan debar, sambil memandang wajah anak melalui cermin pandang belakang. Jalanraya petang itu tenang, mungkin ramai yang sedang bersantai di rumah pada Hari Ibu ini.

I'll give you 9 momma.

Wah.. kembang sebentar hati yang bertaman ini. Sembilan! Kenapa bukan 10? Ah, sekurang-kurangnya  bukanlah skala 1 atau 2 saya ini di mata beliau.

Sebentar sahaja sebenarnya, menggalas tanggung jawab sebagai anak, ibu, isteri, jiran atau sahabat. Kerana esok lusa entah-entah giliran saya pula yang menyahut panggilan. Doakan ya semoga kita semua pergi dalam husnul khatimah, hari yang berkat, tempat yang baik dan diampunkan segala dosa.

Saya mendoakan semoga Allah mengampuni dosa-dosa aruah Nuzul Alya, bekas pelajar saya. Moga Allah mengurniakan kekuatan dan ketenangan hati buat ibunya Pn Shima dan adik-adik beliau.

Doa saya juga buat insan-insan yang diuji dengan kesakitan yang berpanjangan, semoga Allah memberi kesembuhan segera buat mereka, terutama buat sahabat yang sangat saya sayangi, Noorul.

Salam Kasih.

cikgunormah@klcitizen




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...