Thursday, April 15, 2010

Minyak Tanah

"Secara fizikalnya hexane ni sama rupanya macam minyak tanah. Cecair tanpa warna, senang terbakar. Biasa tengok minyak tanah?" tanya saya dengan anggapan pelajar-pelajar yang semuanya Melayu Islam ini pasti tahu apa dia minyak tanah.


Tiga, empat orang pelajar menggeleng kepala. Ha...? Tak pernah tengok minyak tanah?


"Yang orang tuangkan dalam pelita bila nak raya tu. Orang pasang pelita terutamanya waktu 7 likur tu. Tak pernah tengok ke?" tanya saya lagi. Pelik gak.


Pelajar-pelajar yang sama masih menggelengkan kepala masing-masing.


"Tak pernah pasang pelita ke?"

"Tak. Pasang lampu lip-lap je, yang bentuk pelita tu"


* Kesian bebudak sekarang ni. Pengalaman yang indah bagi kita seperti memasang lampu pelita dengan minyak tanah tak mungkin dapat kita turunkan dengan hanya menonton di TV atau membaca di suratkhabar sahaja, sesekali kena beri peluang bebudak bandar ini merasanya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, April 13, 2010

Awak ada penyakit ni?


Kalau kita perhatikan, manusia memang suka mengenakan kawan-kawan. Lebih-lebih lagi dengan tujuan sebagai gurauan.


Dengar sajalah siaran radio kita, atau rancangan televisyen kita. Pasti ada satu atau dua rancangan yang cuba mengenakan orang lain.


Suami saya suka mendengar Hitz.fm, dan saya juga sesekala dapat mendengar siaran GOTCHA! nya, yang bertujuan mengenakan seseorang sebagai bahan jenaka serta gurauan. Saya kira ada juga siaran radio lain yang terkenal dengan panggilan Hangitnya.


Walau pun secara peribadi, saya merasakan jenaka sedemikian rupa adalah jenaka yang kurang baik, tetapi apa bila mendengarnya saya juga akan ketawa sendirian di dalam kereta. Dan saya pasti rancangan sedemikian memberikan rating yang baik bagi radio tersebut.


Di kelas pun, tabiat mengenakan kawan-kawan memang selalu berlaku. Terutama kelas-kelas hujung, yang pelajar-pelajarnya memang kaki lawak, suka buat lawak dan melawakkan orang lain.

Saya sedang mengajar Sains , tajuk Kelenjar (Glands).



"Kelenjar pituitari terletak di bahagian otak kita yang besar ni ya. " - sambil itu menunjuk gambar di skrin.


"Kelenjar ini berfungsi mengawal kelenjar-kelenjar yang lain, dan juga mengawal tumbesaran badan. Kalau hormon yang dirembeskan (dikeluarkan) oleh kelenjar ini kurang dari normal, manusia yang terhasil tu bantut, kalau hormonnya terlebih pula, nanti jadi seperti gergasi"

Tidak habis saya bercakap, dua tiga tangan pelajar terangkat hendak bertanya.

"Cikgu, kalau orang tu, ada tahi lalat besar kat tepi hidung tu sebab apa ya?" tanya si A. Kawan-kawan yang lain dah tergelak.


"Cikgu, kalau orang tu pulak, tak ada bulu kat badan dia, penyakit apa?" tanya si B. Gelak kat belakang bertambah kuat.


"Cikgu, kalau orang tu, mata dia sepet, penyakit apa pulak?" tanya si A semula.

Hati saya dah panas.

"Nanti jap, sebelum saya jawab, saya pulak nak tanya, Kalau orang tu jenis tak boleh nak tutup mulut dia, asyik bertanya soalan merepek ni, penyakit apa tu?"


* diorang ni ingat cikgu sains ni macam doktor kut ya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, April 11, 2010

Sistem yang menyeksakan.

tanyalah cikgu mana pun. saya pasti ramai yang sependapat dengan saya. Terutama bagi guru-guru yang mengajar pelajar-pelajar di sekolah harian dan berpeluang mengajar kelas-kelas yang hujung-hujung belaka.


Kesal dengan sistem pendidikan di negara ini. Namun begitu, apa yang hendak dikata, bukan kita pembuat dasar dan bukan kita yang menyusun kurikulum.


Kasihan. Bukan tidak kasihan. Sepanjang tempoh pengajaran, pelajar-pelajar ini dipaksa untuk belajar perkara-perkara di luar kemampuan mereka. Bukan semua pelajar berupaya untuk duduk senyap dalam kelas menelaah pelajaran, menjawab soalan, menyalin nota, berbincang secara ilmiah, menggunakan buah fikir menyelesaikan masalah-masalah yang bakal dikeluarkan dalam peperiksaan.


Pelajar-pelajar kelas hujung ini jugalah yang kerap menimbulkan masalah. kerana apa? Kerana pelajaran membosankan.


Buatlah aktiviti yang menceriakan... cadang penasihat-penasihat di luar sana. Kita minta mereka menyanyi ke, berlakon ke, buat kajian ke. Mencadang memang mudah. Kalau dalam peperiksaan SPM nanti ada bahagian nyanyian dan lakonan, eloklah juga. tapi kertas soalan SPM menyuruh pelajar membuat analisa, membandingkan, membuat kesimpulan, membuat rumusan, membuat ramalan dan serbanika soalan aras tinggi.


Sedangkan majoriti pelajar di kelas hujung, hendak membuat perbandingan secara mudah pun menjadi satu kepayahan buat mereka.


Dan mereka masih terkurung dalam sistem yang menyeksakan ini. Setiap hari kalau 5 orang guru berlainan yang masuk ke kelas mereka, maka setiap kali itulah mereka dipaksa untuk memberi perhatian, menghafal untuk peperiksaan, menulis dan menyalin, untung-untung apa yang disalin nanti akan keluar semasa menjawab kertas SPM nanti. Kerana itu adalah ukuran sama ada awak belajar atau tidak sekarang ini, iaitu, boleh lulus SPM atau tidak.


Saya kira, kalau di peringkat sekolah rendah dan menengah rendah, memang wajar kita memastikan pelajar-pelajar ini belajar sedemikian rupa, tetapi di peringkat menengah atas, pelajar-pelajar ini memerlukan kemahiran tertentu untuk meneruskan kehidupan.


Pelajar-pelajar lemah dalam akademik ini sebenarnya bukan lemah dalam segala segi. Mereka punya kemahiran lain yang tidak diasah semasa di sekolah. Masa mereka terbuang dua tahun di sekolah mempelajari tajuk-tajuk dan pelajaran yang tidak banyak membantu mereka untuk bersaing di luar nanti. Kerana mereka memang tidak dapat bersaing dalam persaingan akademik dengan rakan-rakan yang sememangnya boleh 'belajar'.


Setiap tahun saya tidak pernah terlepas mengajar kelas-kelas hujung di sekolah harian, dan setiap kali itu rasa kasihan pada anak-anak ini dan kesal dengan sistem pendidikan yang sedia ada. Belajar agar dapat lulus sahaja, bukan pun cemerlang dalam mana-mana subjek. Di manakah keuntungannya? Bukan pada saya, dan bukan juga bagi mereka.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, April 9, 2010

berhati2 di luar sana, ramai spy yang memerhati

dunia tanpa sempadan..ia hanya wujud, saya kira, di alam siber sahaja. kita boleh ke mana sahaja tanpa membawa paspot atau melepasi kaunter immigresen.


dengan bantuan pakcik google, kita boleh merayau ke mana sahaja, malah boleh berkenalan dengan sesiapa sahaja. serta boleh menyapa sesiapa sahaja.


tapi, saya kira dalam masa yang sama, cerita tentang kita boleh juga diketahui oleh semua orang. walau pun kita tidak mahu cerita itu disebar luaskan.


kerana.. boleh jadi orang yang kita herdik di jalan raya tadi adalah seorang blogger yang merakam segalanya dan menceritakan segalanya dalam blog beliau.


mungkin juga, makcik yang kita biarkan terhegeh-hegeh melintas jalan tanpa bantuan adalah seorang blogger yang kesal dengan sikap orang muda sekarang ini. mana tahu kan?



jadi, berhati-hatilah di luar sana. bukan sahaja berhati2 dengan penyeluk saku atau peragut atau perompak, tetapi juga dengan blogger lain yang tidak kita kenali identitinya serta niatnya.


*malaikat di kiri kanan, kekadang tidak je kita pedulikan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...