Saturday, February 16, 2013

terhutang budi





Dalam beberapa hari ini, pandangan di sekeliling banyak mengajar saya. Walau mungkin tidak juga menyedarkan diri saya ini dengan sesungguhnya,  tetapi pandangan yang terakam dalam fikiran saya itu banyak yang  menyentuh hati.

Hidup dan mati hanya dipisahkan oleh masa sesaat.

Baru sebentar rasanya melihat seseorang itu hidup dan bernafas, berkongsi udara yang sama, dalam sekejapan mungkin, ibarat sesaat dalam kamus hidup kita, nyawanya Allah ambil semula terlebih dahulu. Ikhtiar manusia sangat terbatas, walau mengguna bermacam alat dan teknologi yang mungkin, nyawa manusia ibarat angin. Tidak seperti batang tubuh yang boleh dipegang, ditambat atau didakap kemas, nyawa manusia itu dibawah kuasa Allah yang menentukan.

Sebenarnya, Allah beri peluang pada saya dan ahli keluarga yang rapat untuk hadir dan 'berkampung' beberapa hari ini di Hospital Besar Kuantan, menemani ibu mertua saya yang masih lagi sakit saat ini. Doakan , moga Allah meringankan beban kesakitan yang mengisi setiap ruang darah yang mengalir dalam tubuh ibu mertua saya itu.



Para petugas di Hospital tersebut sangat membantu. Pastinya , mereka yang terpilih untuk berkhidmat membantu orang yang sakit, Allah kurniakan pahala yang berganda.

Kita sebenarnya terhutang budi pada ramai orang tanpa kita sedar. 

Itu, kata-kata seorang penceramah yang pernah saya dengar .  Dan sangat saya bersetuju dengan kata-katanya itu.

Hidup ini sebenarnya saling memerlukan.

Sama ada kita kenal atau tidak, bila mana tindakan atau perlakuan seseorang itu  telah memudahkan hidup kita, dalam apa cara sekali pun, hatta membukakan pintu untuk kita masuk, kita telah terhutang budi padanya, dan pahala Allah sahajalah yang dapat membalasnya.

Doa saya, moga kita juga  Allah kurniakan pahala berganda atas tindakan-tindakan baik kita, sama ada tutur kata atau perlakuan kita setiap hari.

Salam ingatan.



~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, February 2, 2013

tips menyelesaikan masalah






Nanti kalau kita berjumpa, ingat untuk bersalaman ya..

Mesej saya itu, saya hantar dengan rasa teruja sungguh.

Okay, jawab sahabat saya.

Sudah bertahun berkenalan, rasanya bersalaman dengannya sebelum-sebelum ini hanya dalam keadaan-keadaan tertentu sahaja. Waktu itu, bersalaman dengannya mungkin untuk  meminta maaf sebelum bercuti untuk hari raya, atau mungkin juga bersalaman setelah lama tidak berjumpa berminggu-minggu kerana cuti sekolah. Itu pun, antara ingat dan tidak, dan entah yakah kami  bersalaman atau pun tidak.

Tapi, kali ini, berazam untuk berubah. Mahu, kalau boleh, setiap kali berjumpa dengannya atau dengan rakan-rakan di sekolah, tangan saya yang pertama dihulurkan untuk bersalaman.

Sunnah Rasul tu, kalau yang masih belum tahu. 

Rupanya sunnah yang semudah itu jika diamal, boleh juga membantu menyelesaikan masalah kita di dunia ini.


Bukankah masalah-masalah yang membelenggu kita itu sebenarnya ia juga adalah kurniaan Allah, mungkin berupa ujian atas kesilapan-kesilapan kita. Dan panduan siapakah yang selayaknya kita ikuti dan yakini untuk mengatasi masalah-masalah tersebut?

Ikhtiar diri dan upaya kita sangatlah terbatas, sebenarnya. Hanya sekadar berharap tulang empat kerat dan daya fikir sendiri sahaja untuk menyelesaikan masalah, boleh menyebabkan tekanan perasaan memuncak bila dilanda masalah yang kita sendiri tidak tahu kaedah penyelesaiannya.

Rupanya ada 10 cara mudah yang boleh kita amalkan dan dengan izinNya terungkailah masalah dan dipermudahkan urusan kita semasa masih hidup ini, iaitu:

  1. Berusahalah mengekalkan wudhuk
  2. Membaca al-Quran
  3. Berziarah sahabat dan saudara seIslam
  4. Bersalaman/ berjabat tangan dengan saudara seIslam setiap kali bila berjumpa
  5. Menghilangkan sebarang halangan yang ada dalam perjalanan
  6. Hadir dalam majlis ilmu
  7. Berzikir kepada Allah bila bersendirian
  8. Berselawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W
  9. Memperbanyakkan doa yang baik untuk orang lain tanpa diketahui oleh orang yang didoakan itu
  10. Berdakwah di atas jalanNya.

Paling saya suka dan bersemangat sungguh ingin membuatnya adalah tips yang ke 9. Sangat mudah kan.

Jomlah kita amalkan bersama-sama. Moga dengan amalan kita itu, hati kita semua tenang, jiwa kita menjadi besar serta masalah kita menjadi kecil dan enteng di mata kita.

sumber

~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, January 20, 2013

Doakan ...





Nafasnya turun naik kencang, walau dia sedang duduk atas kerusi tolak. 

Penatlah , Normah.

Selesai berurusan di tandas, menunaikan hajat besar, yang kali ini kerap mendesaknya, membuatkan dia cepat lelah . 

Alhamdullilah, seperti tutur  sahabat baik saya yang turut sama di sebelah,  "Allah payahkan dia bahagian yang itu, dipermudahkan pula baginya bahagian yang lain." Anak perempuannya yang berhampiran menghulurkan bekas air kepadanya. Anak yang itulah beberapa hari ini menemaninya di wad, sementelah tidak berbuat apa di rumah menunggu keputusan SPM keluar.

Kesan kemoterapi kali ini agak teruk, mungkin sebab usia akak pun, kan.

Tapi, ayatnya  bukan bernada keluh kesah atas sakit yang ditanggungnya itu. Tidak terkesan sedikit pun dalam nada suara yang keluar.

Wajahnya? 

Terlukis redha dan pasrah yang bersih, membuatkan pandangan mata saya jadi kagum dan malu. Malu dengan diri , yang kadangkala sakit kepala yang sedikit pun, keluhan tak sudah meniti basah bibir sendiri.

Memanglah, sakit itu  Allah limpahkan dengan rahmatNya,  bertujuan meninggikan darjat hamba-hambaNya yang beriman. Dan saya lihat, itulah yang terjadi kepada dirinya. 

Bukan semua orang adalah insan terpilih, Noorul.

Dan kata-kata itu berdengung-dengung, memantul tak sudah sejak dari mula ia dituturkan hingga sekarang. Ditujukan kata-kata itu buat sahabat saya yang turut sama berziarah.

Tetapi dalam masa yang sama, kata-kata itu  membibitkan rasa cemburu dalam dada saya.

Pelikkan.

Cemburu kerana saya tidak terpilih untuk Allah kurniakan ujian sakit ? Bukankah Firaun itu adalah  insan yang tidak pernah Allah kurniakan kesakitan dalam hidupnya. Dia bukan manusia yang terpilih. Tidak mahulah saya dikategorikan dalam manusia yang tidak terpilih itu. Nauzubillah.

Bukankah dalam helaian setiap sejarah pejuang agama, dalam kehidupan setiap insan-insan yang terpilih itu, kesakitan adalah teman akrab mereka? Kesakitan yang datang dalam pelbagai wajah.

Memang bukanlah doa saya untuk diberikan Allah ujian kesakitan dan kepayahan. Tidak.

Sebenarnya saya sangat cemburu dengan kekuatan dan ketabahan hati yang dimiliki oleh teman saya itu. Dengan redha dan baik sangkanya terhadap Allah di atas ujian getir yang sedang dilaluinya. Hatinya yang sekeping itu dihiasi dengan nilai positif dan tawadhuknya sebagai seorang hamba yang sedia diuji bila-bila masa. Dan penyerahannya yang bulat dan sifat percayanya bahawa Allah akan sentiasa menjaga dia dan keluarganya.

Terasa saya begitu kerdil di sebelahnya. 

Manusia yang berjiwa besar, pasti tidak akan kalah dalam sebarang ujian yang dihadapinya.


sumber



Doa saya untuk kak Rosiah , moga Allah kurniakan kesembuhan dan bahagia hidupnya dunia akhirat. Doakanlah untuknya juga, sesiapa yang membaca entri ini. Dan moga Allah makbulkan semua doa tersebut. Amin.

~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, January 13, 2013

pasti ia terbaik untuk kita





Fikiran saya beku, tak ada idea nak menulis

Jawapan saya bila diaju persoalan tentang entri baru. 

Perkara biasa bagi ramai tuan punya blog. Kesibukan kerja dalam dunia realiti yang semakin menuntut perhatian , mengakibatkan dunia maya seolah terpinggir dari pandangan.

Mungkin juga kerana usia yang makin bertambah, keghairahan untuk terkejar-kejar buat itu dan ini semakin kurang. Terasa ingin lebih perlahan dalam langkah , ingin lebih memerhati dan melihat, seolah mahu menghirup pandangan di sekeliling agar ia berbekas dalam benak ingatan.

Saya bersyukur sungguh, Allah permudahkan urusan hal-hal anak-anak saya.

Yalah, bukankah saya dah kata, 90% dari kerisauan itu tidak akan terjadi. Awak tak percaya, kan ?

Oklah, yalah, saya percaya sikit, tapi hanya 60% sahaja.

Dan saya tersenyum.

Setuju dengan saya? 

Bahawa kebanyakan kerisauan yang melanda diri kita hanyalah berlegar dalam kepala. Menyesakkan hati dan membantutkan mimpi. 

Risau dengan segala yang tidak pasti dan segala yang tidak tentu.

Hari esok bukan di tangan kita, tetapi merancang serta menyusun adalah dalam upaya kita. Dan selebihnya Allah yang menentukan. Dan pasti ia adalah yang  terbaik untuk kita.



sumber


Salam kasih untuk sahabat yang asyik sungguh menyapu dan mengemas rumah.

~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...