Tuesday, June 11, 2013

pening lalat






Ada beberapa azam baru setiap kali memulakan persekolahan selepas cuti panjang. Antaranya ialah, berazam untuk lebih segera menghabiskan sukatan pelajaran yang masih bertimbun. 

Biar panas atau hujan ribut, kalau boleh ingin saja saya redah keduanya,  bagi memastikan sukatan pelajaran itu segera tamat. Walau pun saya tahu ramai guru-guru di luar sana yang telah pun habis melengkapkan sukatan pelajaran masing-masing dan saat ini sedang berhempas pulas pula membuat ulang kaji secara intensif, namun begitu 'rezeki' saya tidak semeriah itu bila menyentuh tentang menghabiskan sukatan pelajaran.

Azam yang lain pula, kalau boleh, tidak mahu marah-marah dengan budak-budak dalam kelas. Kalau budak-budak di luar kelas tu, taklah berazam sangat untuk tidak marah. 

Kenapa?

Bila marah-marah dalam kelas sewaktu sedang berlari marathon menghabiskan sukatan, pasti tekanan darah meningkat naik serta merta dan 'mood' untuk berlari marathon akan segera lenyap. Dan pasti azam yang pertama itu tidak akan kesampaian.

Nizam, salinlah jawapan ni.

Membuat sesi pembetulan soalan peperiksaan Kertas 2 Kimia Ting 5 dalam kelas waktu itu. Setelah habis menulis dengan bersemangat sehingga penuh papan putih dengan contengan tulisan saya ala-ala doktor perubatan, Nizam yang saya panggil itu masih tersadai berehat di kerusinya. 

Kecewa sedikit. Geram pun ada.

Tapi, saya tarik nafas panjang-panjang. Baru beberapa jam sahaja sesi persekolahan untuk penggal kedua bermula. Azam saya masih panas dalam dada.

Saya tak ada pen lah , cikgu.

 Alahai.

Jawapan yang pasti meruntun hati guru-guru yang berjiwa besar. Guru-guru yang dalam hatinya penuh kasih dan sayang. Guru-guru yang dalam dadanya penuh tenang. Bukan guru yang dadanya masih panas dengan azam baru seperti saya.

Ini bukan kes anak terbiar atau anak yatim piatu berbaju koyak atau buruk sepatunya. 

Bukan.

Nizam anak orang berduit. Bukan anak orang sebarang.

Bukan masalah tidak ada pen yang menjadi persoalan besar sebenarnya. Ada masalah lebih besar buat anak muda di depan saya ini.

Ah... saya memujuk hati.

Aduyai.

Salinlah Nizam.

Pujuk saya lagi.

Saya tak ada pen lah , cikgu.

Wajahnya selamba.

Cikgu ...!

Rakan di sebelah Nizam memanggil saya. Saya alih perhatian pada rakan Nizam. Mahu mendengar masalahnya pula.

Dia memang tak bawak pen ke sekolah. Dia cuma bawak pen-is je...

Tiba-tiba kelas jadi riuh rendah. Si Nizam hanya tersenyum lebar. 

Suka.

Aiyo. Sampai bilakah azam ini akan bertahan panasnya dalam dada?


Salam kasih buat yang masih pening lalat.


sumber




~cikgunormah@klcitizen~












Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, June 3, 2013

memang rindu sungguh





Alhamdulillah. Dapat solat dalam Hijr Ismail dengan tenang.

Saya baca berulang kali mesej yang tertera. Melihat gambarnya berulang kali. Rindu sungguh. Sungguh-sungguh.

Rindu dengan suasana di sana. Bumi barakah yang dikurniakan kehebatan oleh Allah. 

Yang menjadi tetamuNya sesungguhnya adalah insan yang dipilih. Bukan semua yang berkehendak dan berhajat serta berupaya harta dan masa, dapat berpeluang menjejak kaki di sana. 

noorul :)



Segalanya jadi mudah di sana. 

Masalah yang bersarang dan berkumpul dalam dada jadi kecil dan tidak bermakna tatkala berjalan perlahan mengelilingi kaabah. Dalam hati dan fikiran hanya dipenuhi hasrat mengabdi diri sepenuhnya kepada Allah. Tatkala mengatur langkah berlari anak menjalankan ibadah saie juga segala yang duniawi itu seolah ditinggal bersama tapak-tapak kaki tidak bermakna.

Bagi kita yang memang payah untuk ke sana, yang cuba-cuba mengumpul belanja dan sepanjang masa menghimpun doa agar Allah mempermudahkan segalanya, peluang yang sebegitu indah akan dikenang sepanjang hidup. Melekat dalam fikiran tidak akan dapat dikikis dari ingatan.

Dan sesekali bila melihat wajah yang disayang di sana, hati pun jadi rindu amat. 

Segala yang di sana kembali segar dalam ingatan. 

Nantilah, insyaAllah. Sampai juga nanti menunai kewajipan yang wajib pula. Kita doa sama-sama.


Salam ingatan.


~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, May 31, 2013

Saya ajar awak ke dulu?





sumber

Kenal saya tak, cikgu?

Hujan renyai-renyai waktu itu. Baru sudah makan malam di kedai mamak. Saya pandang wajahnya. Kecil molek dan bersih raut wajahnya. Di sebelahnya budak perempuan berusia lebih kurang 4 tahun, genit dan comel sungguh.

Serba salah.

Bila dihujani soalan seperti itu, saya jadi serba salah. Sejak lama sudah, entah bila mulanya, atau pun memang sejak mula lagi, mengingati nama-nama anak murid adalah menjadi satu kepayahan yang amat berat.

Saya ajar awak ke dulu?

Soalan paling tidak bijak rasanya yang terpacul keluar dari bibir saya. Dalam kepala saya menjawab, yalah, takkan dia tanya kenal dia ke tidak. Aduyai. Tidak layak rasanya soalan itu yang terkeluar.

Yalah cikgu. Haha. Saya kelas 5 Tassawur. Satu kelas dengan Amir, dengan blablabla...

Ah, nama-nama murid lagi. Nama-nama kawan dia disebutnya satu-satu. Cuba membantu saya mengingat semula rakan-rakan dalam kelasnya.

Malang sekali.

Sedikit pun tidak membantu saya untuk mengingat mereka, malah langsung tidak teringat nama si empunya badan di depan saya. Tapi, wajahnya...

Ya. Saya masih ingat wajah si dia ini. Terbayang tempat duduknya di dalam kelas 5 Tasawwur. Terbayang wajah-wajah rakan-rakannya.

Cikgu ajar Matematik kan?

Tak, saya ajar Sains.

Hehe. Rupanya ingatan dia pun tidak sehebat mana.

Kerja di mana sekarang?

Di Bank Simpanan Nasional , cikgu. Sains saya dapat kredit cikgu. Dapat kerja di bank.

Saya tersenyum. Bersyukur kerana Allah beri peluang kepada saya membantu dia dalam SPM dan dengan bantuan tersebut dia berjaya mendapatkan pekerjaan yang halal demi kelangsungan hidupnya.

Dalam hujan malam itu hati saya berbunga melihat seorang lagi bekas anak murid yang menjadi dan saya doakan kebahagiaan hidupnya sekeluarga bersama anak dan suaminya dunia akhirat.

Indah sungguh rasa dalam hati ini.

Dan indahnya perasaan seperti ini hanya dimengerti oleh mereka yang bergelar guru seperti saya sahaja.

Kan ..


~cikgunormah@klcitizen~






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, May 25, 2013

bercuti seberang tasik




Tuliskanlah doa yang nak dikirim tu.

Mendengar katanya, saya mula merangka ayat dalam kepala. Oh, segala benda kalau boleh hendak diminta. Segala yang baik-baik dalam benak ingin agar Allah makbulkan.

Tak payahlah. 

Eh, bukan saya merajuk. Tdak ada apa yang hendak dirajukkan waktu itu. Muka sahabat saya itu saya tenung. Nampak hairan. Yalah, berkali dari dulu saya mengingatkan dia agar jangan lupa tolong menyampaikan doa  saya nanti di tanah suci Mekah. Dan bila saat dia meminta saya menyatakan doa saya, itu pula jawapan yang saya berikan.

Saya taknak tulis. Tapi doakanlah untuk saya apa yang terlintas waktu itu dalam ingatan awak tentang saya. Itulah yang terbaiknya. Moga Allah makbulkan doa yang tidak diketahui  oleh sahabat yang didoakan itu.

Dia senyum tanda faham.

Dan saya mendoakan juga nanti untuknya agar Allah memudahkan ibadahnya di sana nanti dan selamat beliau sekeluarga pergi dan kembali ke tanah air .

Bukan dia sekeluarga sahaja yang akan ke sana. Saya tahu. Ramai di luar sana. Rakan-rakan di sekolah juga ramai yang berpeluang ke sana.

Tetamu-tetamu Allah yang terpilih atas izinNYa.

InsyaAllah nanti saya juga akan menyusul. Bila? Entahlah... wallahualam.



minit ke 00:47  "And the hadith says that charity (You know) the charity would actually   extinguish the calamity that is coming in your direction. So, before embarking into a journey you give a little bit of charity. When something important is about to happen you give a charity, before an  examination happens you give a charity. To whom? To those that accept it. The poor. So when you look at the poor person, speak to him with respect. Consider him a gift of Allah, sent  to you ..."

Jom... sebelum kita berangkat untuk kemana-mana nanti, walau bercuti di seberang tasik sahaja pun, kita bentuk dahulu personaliti seorang Muslim, seperti yang dipesan oleh  Mufti Zimbabwe itu.

Salam ingatan.

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...