Saturday, April 30, 2011

apa sebenarnya motif awak?

Betulke ni, Mah.

Saya lihat di sekeliling. 

Masing-masing dengan pakaian paling cantik yang ada dalam simpanan agaknya. Yang wanita kebanyakannya memperagakan tudung trend terkini, siap manik-manik bergemerlapan, kerongsang terbesar yang ada, wangian sepanjang jalan dan hand bag termahal dalam almari di rumah.

Make up di muka masing- masing masih segar, walau bahang panas tengahari sudah terasa tetapi waktu itu jam masih awal, makanan baru sahaja boleh dijamah. 

Bergaya masing-masing, eh... termasuklah saya. Jangan tak tahu.... walau kasut pun sudah haus tapaknya dipakai hari-hari, dan tas tangan yang ada hanyalah tas murahan, muka pun hanya ditepuk-tepuk dengan bedak talkum baby johnson berwarna ungu yang masih tak habis setelah dua tahun dalam simpanan. Tetap bergaya.... di hati. :)

Dalam kepala terbayang topi-topi wanita-wanita anggun dalam majlis Perkahwinan Diraja Britain yang baru sahaja berlalu. Ganti topi di sini, tudunglah kan. Memanglah tudung tu kewajipan. Saya tahu. Topi itu hanyalah pilihan dan aksesori. Saya tahu juga. 




Tapi, tudung sekarang juga sudah berjaya diaksesorikan ia.

Saya memanjangkan leher cuba mencari wajah-wajah yang dikenali.

Yalah, nanti tidak pasal-pasal makan nasi minyak tanpa sebarang undangan, boleh jatuh berdosa tukan.

Tak nampak pula sesiapa yang dikenali. Terusan lagi langkah kami ke hadapan.

Meriah. Biasalah majlis perkahwinan. Bukannya majlis kematian. Yang sedang makan pun bukannya khusyuk mengadap makanan, sambil makan mata meliar melihat orang sekeliling, sama ada melihat aksesori orang lain atau pun mencari wajah-wajah yang dikenali yang sudah lama tidak bertemu.

Ah.. Lega, bila akhirnya ternampak tuan rumah yang juga jiran kami. Kenduri kahwin anak perempuan sulungnya dijalankan di Dewan War-Die-Burn, KL. Kem askar yang selalu disebut wadiben camp, rupanya perkataan yang sebenar ialah perang - mati- terbakar, .. menggerunkan juga , bila perang akan mati terbakar. 

Apa motif entri hari ini ya? entah... tak ada motif rasanya... :)

* selamat pengantin baru buat Dr Hannah Izzati dan Mokhtar, dua-dua bekas anak murid yang lama juga bercinta sesama dan akhirnya berjaya diijabkabul hari ini...

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, April 29, 2011

monyet pun bersedih di hari Jumaat

Suara monyet bersahut-sahut kedengaran. Agaknya suasana redup waktu ini menyejukkan, apatah lagi lepas hujan turun, memang udara yang sejuk ini menyebab hati lebih mudah terguris dan terasa.

Sang monyet pun agaknya mengeluh resah dan gelisah. Mendayu-dayu suaranya, bersambut berbalas.

Sekolah saya memang berhampiran dengan hutan nipis di atas bukit. Memang ada monyet-monyet yang menjadikan hutan tersebut tempat kediaman untuk membesarkan zuriat.

Tapi itu dulu.

Kalau tak silap, sudah lama kawasan hutan itu dibersihkan dari monyet-monyet, kerana aduan dari penduduk setempat yang sering diganggu dengan kehadiran monyet-monyet tersebut.

Makin lama makin kuat suara monyet tersebut. Bila diamati ada juga iras-iras suara si ungka yang kemarukkan kawan.

Tidak menghiraukan suara monyet tersebut, saya terusan menulis di papan putih. Hanya ada 4 orang pelajar sahaja yang masih setia menyalin.

Suara monyet makin kuat.

Uuuk...uuuk...uuukkk

Hendak mengajuk pun saya tak pandai. Sebaik berpaling ke belakang, ahli kelas bertambah dengan pelajar yang lain. Dan suara monyet tersebut makin kuat dan keluar dari mulut si tahi lalat dan si panas baran .

Oh.. Ini rupanya monyet-monyet yang bersahutan di sepanjang koridor sekolah.

*agaknya tenanglah si Darwin dalam kuburnya kalau dapat mendengar suara monyet di koridor sekolah saya tadi ni. Emmmm... Tak kuasa nak membebel harini.

Salam Jumaat.

cikgunormah@klcitizen
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, April 28, 2011

kepit mengepit

Pengalaman mengayakan sesiapa sahaja. Bila sudah lama membuat sesuatu pekerjaan yang sama, pengalaman yang ada akan memudahkan pekerjaan tersebut dilakukan dan ia akan jadi lebih sistematik serta tersusun.

Waktu belajar dulu sentiasa kagum dengan guru-guru tua yang punya mata di 'belakang kepala', dan bisa menerka apa yang dibuat pelajar di belakang kelas. Ajaib sungguh kuasa membaca minda dan situasi yang dipunya guru waktu itu.

Cikgu, nak ke tandas.

Asyik hendak ke tandas saja budak perasan kacak ini waktu-waktu begini, bila pelajar sesi petang sudah mula berada di kawasan sekolah.

Cikgu, betul cikgu, tak tahan sangat ni.

Ah, macamlah baru semalam saya ini bertugas sebagai cikgu. Saya cuma melihat si perasan kacak ini terkepit-kepit menahan rasa. Menilai situasi tidak pernah diajar semasa saya mengambil kursus perguruan 19 tahun dulu. Benarkah atau menipukah si budak perasan kacak ini?

Nanti saya terkencing pulak kat sini , cikgu.

Wah, main ugutan pulak dia ni ya. Hati saya bagai digeletek, tetapi mana mungkin cikgu tua seperti saya kalah pada ugutan 'terkencing' sebegini, kan. Habislah nanti kredibiliti dan kejagoan seorang guru. Kalau termakan ugutan itu nanti, bagaimana kata-kata "Memartabatkan profesion perguruan" itu akan dibawa.

Ah! Awak ni, nak menipu pun tak pandai. Gi duduk tempat awak. Sibuk nak jumpa adik angkat yang tak cukup umur tu lagi.

Si perasan kacak buat muka terkejut. Sengih.

Ala....

Kepit mengepit pun dah hilang bersama hilang harapan hendak ke tandas.

*hati sentiasa muda di kalangan anak-anak muda yang tidak cukup umur ini lagi

cikgunormah@klcitizen
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, April 27, 2011

tak mengaku tua

Kalau tidak mampu memuji
Jangan mengeji
Kalau tidak mampu menyumbang
Jangan menumbang
Kalau tidak mampu berubah
Jangan menyanggah ~ pkpgkhb

Mencari seloka orang tua terjumpa yang ini. Bahasa, jika pandai menyusun ia jadi cantik dan menarik. Indah dipandang sedap didengar.

Kalau dahulu, semasa di sekolah menengah rendah, zaman masih degil, sibuk dengan hal sendiri dan rakan-rakan, hati sering bengkak kerana asyik ditegur orang tua. Silap sedikit pada pandang mata dan halwa telinga mereka, mata orang tua akan dijeling tajam. Dan seperti ada panahan laser tersembunyi, serta merta membetulkan duduk atau langkah.

Waktu di sekolah, berjalan dalam barisan, semuanya perempuan yang masing-masing punya cerita dan gosip hendak dikongsi bersama rakan, ibarat bunyi tebuan berdengung mencari sarang. Jika lalu bersebelahan pejabat Pengetua, pasti beliau akan menjenguk keluar.

Quiet, girls! 

Sister Maureen, kalau tak silap nama Pengetua dulu. Dan kami akan menunduk kepala mengelak dari memandang wajah dan tenungan matanya yang tajam. Semurai mana pun kami, tetap akan terkunci mulut dan kelu lidah jika ternampak kelibat beliau.

Zaman berubah, tetapi nilai yang baik tetap dilihat sama. 

sumber

Perempuan timur perlu menjaga tertib, tidak menjerit terpekik mengilai tidak tentu arah. Ishh... sakit mata dan telinga yang memerhati dan mendengar. Anak siapalah yang bakal menjadi menantu yang ibarat hantu. Yalah... hanya hantu yang mengilai bila ketawa suka tanda gembira, kan. 

Terasa sangat usia ni dah tua, sebab hanya orang-orang tua sahaja yang memandang perkara ini menyakitkan mata. Alahai!

*jiwa masih terasa muda, tapi uban dah penuh di kepala :)

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...