Monday, June 27, 2011

janji manis

Alhamdulillah hujan lebat waktu saya sedang menaip entri ini. Saya sangat gemar suasana hujan waktu pagi.

Tapi, pasti, ramai yang susah hati kalau hujan turun, atas banyak sebab.Terutama bagi yang sedang memandu hendak menyelesaikan urusan masing-masing di permulaan minggu ini.

Hari ini saya bercuti. Satu sekolah bercuti, kecuali staf sokongan di pejabat dan makmal. Sebabnya sambutan sukan tahunan ke 13 di sekolah pada hari Sabtu baru ini, maka layaklah kami mengambil cuti peristiwa.

Janji.


Pada saya, bila hendak berjanji mestilah realistik. Melihat kemampuan dan keupayaan diri.

Fail peka awak ni tak cukup lagi 3 laporan. Dah dekat dua bulan menunggu awak menghantar. Saya perlu masukkan markah secepat mungkin. Bila awak boleh hantar pada saya?

Suara saya tidak selembut yang dibayangkan. Amarah dalam hati dah membengkak. Nasib baik anak orang, kalau anak pokok sudah lama dicantas daun-daun hingga bogel.

Saya tahu dia tahu getar amarah dalam suara saya. Matanya menunjuk rasa bersalah amat. Kasihan. Belas pula rasa di hati. Wahai anak, kalau lah belajar itu tak perlu kepayahan, sudah tentu ilmu itu tidak manis.

Saya menunggu jawapannya.


Esok .. cikgu. Saya bagi esok tiga-tiga.

Esok? Tiga-tiga? Biar betul...

Betul.



Yakin sungguh. Janji.

Dan setelah 2 minggu berlalu, setiap kali terserempak, matanya cuba melarikan diri dari pandangan saya.

Strategi seterusnya akan menyusul...

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, June 25, 2011

Semakin yakin hati ini dengan cintanya

Kita adalah apa yang kita fikirkan

Suara Dr Muhaya meneman saya dalam kereta pagi tadi. Bagusnya menjadi manusia berilmu seperti beliau dan sangat bersemangat serta positif dalam fikiran mahu pun tindakannya, menyebabkan semangatnya turut mengisi dada saya.

Tiba-tiba terus tidak sabar hendak menghadiri program Bicara Hati anjuran Persatuan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah dan Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, walau rakan-rakan lain sedang bergembira serta bersukaria di padang sekolah.




Ini bukan program Bicara Hati, ke?


Saya baca lagi borang pendaftaran. Tadika A, Tadika B.... Aikk? Kenapa pulak program tadika ?


Bukan, ini kursus untuk guru-guru tadika. Ada puan bawa surat panggilan mesyuarat?

Alah, tertinggal pula di rumah.



Ah...sudah. Hendak bertanya siapalah pula di Pejabat Jalan Duta ini. Sebab hari ini hari Sabtu, pastinya pejabat kosong dan hanya dipenuhi meja dan kerusi sahaja.


Puan , cubalah ke lobi. Mana tahu ada yang boleh membantu. Tapi hari ini rasanya tak ada orang di pejabat.


Alahai. Terbayang-bayang surat panggilan mesyuarat tersebut, tetapi memang salah saya tidak meneliti kandungan surat, cuma mencatat tarikh dan program dalam kepala dan mengambil mudah perkara bahawa pasti ia akan diadakan di Auditorium JPNWP.


Saya pun duduk di lobi. Buntu.


Hendak telefon pejabat di sekolah pun, pasti tiada siapa di sana.  Hendak bertanya siapa? Orang pun sedang sibuk di padang sekolah, mana ada masa hendak melayan saya mencari surat dalam fail di pejabat.


Ah. Tawakkal je la. Kalau ada yang boleh membantu insyaAllah , Allah tunjukkan. Walau saya tahu kebarangkalian untuk saya balik semula ke rumah dan tidak hadir program tersebut lebih besar dari menunggu orang lain.


Terkial-kial juga memikir siapa yang dapat membantu. Pak guard yang ada pun orang Bangla. Manalah diorang tahu. Dalam memikir, sibuk juga saya memarahi diri sendiri. Ish... Kenapalah bebal sangat.


Datang untuk program Bicara Hati ke?


Mencuba nasib apabila terlihat dua orang wanita muda berjalan ke arah saya sambil memegang sehelai kertas putih, seperti surat panggilan mesyuarat. Ya Allah, mudahkanlah. Hati saya menjerit-jerit doa yang tak putus saya ulang.


Ah...ah, ya, akak pun ke?


Macam tidak percaya pula sambil mengangguk dan menghadiah senyum paling lebar.


Akak ada kereta ke?

Ada.... Cuma akak tak ada alamat tempat program je.


Ya...? Ni suratnya, cuma kami ni tak ada kenderaan nak ke sana. Tadi naik teksi, driver teksi tu bawa kami ke sini pulak walau dah beritahu dia tempat yang kami nak tuju. Kita kena ke Bahagian Teknologi Pendidikan berhampiran dengan Pusat Sains , kak.


Betullah. Kuasa Allah tidak siapa yang dapat duga. Menemukan  tiga insan yang punya tujuan yang sama tetapi berbeza keperluan.


Semakin yakin hati ini dengan cintaNya.


Terima kasih Allah, memudahkan segalanya.


~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, June 24, 2011

untunglah ada orang yang sayang...

Banyak sekolah yang sibuk hari ini. Sebab esok sukan tahunan. Sekolah saya pun, warganya sibuk benar, terutama guru-guru yang diamanahkan untuk mengepalai rumah sukan masing-masing.

Yang seronoknya, budak-budak lah. Ramai juga yang sibuk membantu guru, hendak menyiapkan khemah lah, baju untuk perbarisan lah, berlatih kawad kaki dan sebagainya. Ada juga ramai yang kaki sibuk dan ramai juga yang buat-buat sibuk, tidak masuk ke kelas.


Cikgu sorang je, ke?

Kelas baru sahaja habis. Dari pada 25 orang yang sepatutnya masuk, hanya 11 orang sahaja yang tidak punya alasan untuk menyibuk pada hari ini, terpaksa juga menggagahkan diri masuk ke kelas Chemistry  saya.

Oh... budak hensem ni.

Taklah, saya bertiga. 

Muka dia hairan. Kerana yang dilihatnya saya berseorangan di dalam makmal. Kalau dah tahu saya seorang, kenapa lagi perlu ditanya? :)

Eh, awak bawak bekal ke sekolah?

Ada bekas isi makanan berjenama Tupperware di tangannya. Jarang... sangat susah hendak melihat budak lelaki membawa bekal makanan ke sekolah. Bekas air minuman pun susah hendak dikendong ke hulu hilir, ini kan pula membawa bekal. Lebih susah lagi kalau pelajar Tingkatan 5 yang tergolong dalam kategori hensem .

Hairan juga saya. 

Kalau ada yang membawa bekal pun biasanya nasi lemak bungkus dalam plastik merah. Ini, siap  berbekas Tupperware warna biru lagi. Rajinlah pulak budak ini membawa bekal. Pasti berjmat cermat orangnya.

Taklah cikgu... ni kawan bagi.

Aii... baiknya kawan awak. Ni mesti kawan perempuan ni..

Dia hanya tersenyum . Wah.... untunglah ada yang sayang ya.

*kalau punya anak perempuan di rumah asyik membawa bekal ke sekolah, mungkin juga kerana berkongsi kasih dengan rakan di sekolah... kan :)

*tak ada pulak anak murid nak bagi saya nasi goreng dalam bekas tupperware ... :(

Salam Jumaat.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, June 22, 2011

Kena rasuk....

Dia tiba-tiba menjerit , cikgu. Mula-mula orang ingat dia pengsan, dia bangun terus pegang kepala kawan sebelah, kemudian pegang leher kawan dia tu, macam nak cekik.


Awak tengok ke?


Tak... Kawan saya cerita.


Mmmm


Tapi dia tu budak baru cikgu. Sebelum ni pun, dia pernah kena rasuk juga kat sekolah lama dia.


Awak kenal ke dia?


Ya, saya kenal.
.

Sahut pelajar yang lain.


Benda yang rasuk dia tu besar cikgu. Warna hitam.


Ya?


Memang besar, tinggi pulak tu.


Awak pernah nampak ke?


Ya , saya pernah nampak. Baru ni saya nampak lagi,
sahut budak kecil yang menyampuk tadi.


Pelajar yang lain memasang telinga.


Peristiwa yang berlaku semasa perhimpunan pelajar petang tadi, masih hangat. Dan saya yang tidak tahu apa-apa kerana berada di makmal mengajar pelajar pagi cuba mengorek berita dari pelajar tingkatan satu yang saya ajar ini.


Baru ni saya nampak lagi cikgu.... Memang besar, warna hitam.


Tersembur-sembur air liur nya menunjukkan kesungguhannya.


Kat mana? Kat sekolah ke?


Tak... Kat rumah saya.



Tak sangka pulak budak kecik ini pernah menengok lembaga yang boleh merasuk manusia.



Kat rumah?


Ya..., ..... Kat Astro Ria. Cerita mistik.....!



*ish.... Memang kecik je budak ni dalam pandangan mata saya.



~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...