Wednesday, December 19, 2012

Cari suami di stesen minyak




Kita semua adalah pembawa kantung-kantung najis yang bergerak. Perkara yang tidak boleh disangkal oleh sesiapa sebenarnya. Usus besar kita yang panjangnya secara purata adalah 1.5 meter, menjadi destinasi terakhir dalam sistem penghadaman. Dan di sinilah bahan buangan dari badan dalam bentuk pepejal yang kita kenali sebagai najis disimpan sebelum di buang.


Orang kata kalau nak cergas sepanjang hari, pagi-pagi mestilah berusaha untuk membuang air besar.

Kenapa?  


Yalah, bahan najis tu kan toksik , dan jika lama disimpan dalam badan, tentulah tidak sihat untuk kita. Bayangkan kalau dalam rumah kita, kita simpan sampah sarap makanan semalam tak dibuang. Tentu udara dalam rumah itu sendiri tidak sihat, kan.


Dan pagi itu, agak lewat rasa hendak membuang air terbit. Puas juga berusaha di pagi-pagi buta, tetapi mungkin sebab rasa teruja  benar hendak keluar berjalan dengan rakan baik,  rutin biasa tidak menjadi. Ah, dalam hati sudah khuatir, takut kalau sedang memandu di highway, tuntutan tabii waktu pagi menyinggah.  Jenuh juga nanti hendak mencari tempat sesuai.


Dan seperti yang diagak, baru hendak memulakan perjalanan setelah mengambil rakan baik, rasa yang tidak mahu terbit pada waktu yang sepatutnya, mengasak-asak menuntut ingin dilunasi segera.


Waduh...


Tandas awam di stesen minyaklah menjadi medan kunjungan.


Alhamdulillah, hanya ada satu sahaja tandas yang boleh diguna . Tandas biseksual dan yang pentingnya tandas tersebut dijaga dengan baik.


Cumanya, pengunjung yang berkunjung sahajalah yang kurang baik, saya kira.


Tel  017 - 268 xxxx , Biaxxx, mencari suami.


Oh, ada dua kemungkinan, kata hati saya, tatkala membaca 'iklan percuma' ditulis dengan pen marker hitam  yang terpampang di dinding tandas. Pertamanya, mungkin suaminya hilang. Banyak juga kes orang yang tiba-tiba hilang tanpa dapat dikesan, kan. Mungkin, si penulis berharap jika suaminya terbaca, bersegeralah menelefon dia semula. Rindu, mungkin.  Kalau begitulah senarionya, terpaksalah si penulis, menulis di setiap tandas yang ada di seluruh Malaysia ni, kan.


Atau, mungkin juga, penulis adalah wanita bujang dan ingin menamatkan hidup membujangnya itu. Mencari bakal suami di dalam tandas. Oh, ini teknik terbaru, mungkin. 


Bakal suami yang bagaimanakah agaknya yang  boleh diperolehi dengan menulis iklan  percuma di dalam tandas? 


Musykil jugak saya....


~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, December 17, 2012

Mati





Beberapa hari ini fikiran saya dipenuhi dengan gambaran kematian sahaja. Angkara tak sudah-sudah membaca buku yang penuh kisah tentang penyiksaan dan kematian di medan perang, menyebabkan saya banyak berfikir.


Ah, bukan berfikir sebenarnya, lebih kepada bertanya dan berbicara dengan diri sendiri.




Saya teringat kata-kata Ustazah Maznah yang turut bersama dalam misi ke Gaza baru-baru ini. Turut serta dalam misi itu ialah beberapa orang artis terkenal seperti saudara Afdlin Shauki.  Lebih kurang kata Ustazah Maznah, kita mesti berazam untuk syahid dan berusaha untuk syahid. Walau pun nanti, pengakhiran hidup di dunia kita hanya di atas katil, tetapi dek sebab keazaman dan doa kita untuk syahid, dengan izin Allah ganjaran syahid juga kita akan perolehi.

Dan saya bertanya pada diri saya, apakah sungguh dengan sebenarnya saya ingin syahid? Atau ia sekadar kata-kata terbaris di bibir, penyedap mulut, tidak berakar dan mencengkam isi hati?

Pernahkah kita punya keinginan terhadap sesuatu perkara itu begitu dalam, sehingga  terasa seperti denyutan jantung itu sendiri terhenti bila kita mengingatkan keinginan tersebut?  Bukankah pada waktu itu, keinginan itu beraja dalam langkah dan fikiran kita. Ia menjadi pusat dalam segala gerak dan sedaya mungkin kita berusaha juga untuk mendapatkannya.

Dan adakah keinginan untuk syahid itu seperti itu dalam dada saya?

sabra dan shatila


armenian genocide

Kurdish Massacre

Kisah kematian yang saya baca, pembunuhan beramai-ramai dalam setiap peperangan oleh pihak lawan  -  tak kira siapa   -  hatta  oleh mereka yang memegang sepanduk bertulis kalimat Tiada Tuhan Selain Allah pun - kematian tersebut tetap tragis, memilukan dan sangat menyentuh hati paling dalam. Mereka yang membaca pembunuhan beramai-ramai di kem Sabraa dan Shatila oleh pihak Israel, kematian bangsa Armenia oleh kerajaan Ottoman Turki, pembunuhan orang Kurdish oleh pemerintah era Saddam Hussein dan banyak lagi, pasti membuat kita tertanya, kematian yang sebegini , kematian insan tertindas serta teraniaya kerana kebanyakannya adalah rakyat awam ,  syahidkah mereka?

Pertanyaan yang sesia. Tak perlu dijawab.

Bicara dalam kepala tak semestinya dilayan.

Cukuplah meluah di sini sahaja.

~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, December 16, 2012

miskin





Miskin.

Saya mendengar video dari Syeikh Hamza Yusof tentang kemiskinan. Poverty and Prosperity.





Di akhir video nya sangat memberi kesan. Salah satu perkara beliau cintai  dalam Islam katanya, ialah jalur sejarah dalam Islam penuh dengan kisah kemiskinan yang berdarjat (poverty with dignity). Baginda Rasul sendiri di waktu hayatnya bukanlah insan kaya raya, walau pun segala harta dalam dunia ini boleh berada di hujung kakinya.

Begitu juga dengan ramai golongan sahabat waktu itu, yang ada di antara mereka punya baju dua pasang sahaja dalam simpanan. Tetapi kemiskinan mereka adalah kemiskinan berdarjat, tidak meminta-minta dan mengeluh susah.  Oh ... bila menulis ini saya teringat baju-baju saya yang bergantungan dalam almari . Adui dui dui ..

Mukmin yang miskin yang sempat beliau temui di Mauritania sewaktu tinggal di sana mendalami Islam,  kata Syeikh Hamza, adalah insan-insan yang paling pemurah yang ditemui dalam hidupnya. 

Beliau menceritakan kisah benar yang dialaminya sendiri semasa mengalami sedikit kesusahan di Isbir, Mauritania. Waktu itu musim hujan, dan trak Syeikh Hamzah dan rakan-rakannya tersangkut dalam lumpur. Seorang Badwi, membantu mereka, memberi tempat rehat di khemahnya waktu malam, menyembelih kambing lalu memasak untuk mereka. Sambil melayan tetamunya, Badwi tu, memegang tiang utama dalam khemahnya, menahan, untuk mengelakkan khemah runtuh waktu hujan turun.

Apa yang mengharukan kata Syeikh Hamzah, bila mereka bangun pagi untuk solat Subuh, mereka lihat Badwi itu masih lagi memegang, menahan, tiang utama khemah, sepanjang malam. Rupanya si Badwi tu berjaga , khuatir kalau-kalau tiang khemahnya jatuh, dan tetamunya basah nanti.

Inilah kata Syeikh Hamzah yang membezakan miskin seorang Mukmin dan miskin bukan Mukmin.

Ya, saya juga bersetuju. Miskin seorang Mukmin, yang hatinya terisi iman tidak menjadikan beliau manusia paling rendah dan hina, seperti yang biasa kita lihat sekarang. Miskin seorang Mukmin, boleh saja menjadikan beliau itu tinggi nilai akhlak dan budinya di mata kita.

Miskin harta dan miskin jiwa adalah penyakit paling bahaya. Kekufuran dan kerosakan memang boleh terbit dan membiak dari sebab miskin harta dan miskin jiwa.

Kalau kaya harta dan miskin jiwa pula?

Ah, sama saja . Inilah golongan penindas, penipu dan pemutar belit. 

Tapi .... taknaklah jadi miskin, kalau boleh, kan. Miskin apa pun,minta-minta janganlah. Miskin hutang? Oh kalau miskin hutang,  takpe. :)

Oh , hujung tahun ni ramai yang tak miskin rasanya  :)

Selamat bekerja esok bagi yang tidak bercuti!!



~cikgunormah@klcitizen~






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, December 15, 2012

Cinta sejati





True love is neither physical nor romantic. True love is an acceptance of all that is, has been, will be, and will not be.


Nanti saya dah nyanyuk, awak datang lawat saya ya ....

Mesej tersebut saya baca berulangkali.

Rentetan membaca kisah seorang suami yang setia melawat isterinya yang nyanyuk di pusat jagaan orang tua, setiap hari, menjadikan hati sedikit melankolik. Nasib kita di kemudian hari, tidak ada seorang pun yang tahu. Memang tiada siapa yang tahu.

Itulah yang indahnya dalam keadaan tidak tahu itu. Kerana kalau sudah tahu pasti apa yang akan terjadi, mungkin , mungkin putus asa dan kecewa tak sudah akan melakari perjalanan hidup. Dunia yang penuh tidak tahu, akan sentiasa terselit harapan di celahnya. Dan harapan sentiasa akan menghidupkan jiwa.

Cinta sejati memang menjadi dambaan semua. Cinta sejati melepasi sebarang rintangan dan halangan, tidak kenal jemu atau bosan.

Orang kata cinta sejati hanya pada Tuhan Rab segala alam. Memang mudah menulis dan menukil. Tetapi merealisasikannya tidak semudah menutur atau menaip kata-kata tersebut. Saya bukan yang selayaknya menulis dan menggambarkan bagaimana cinta sejati pada Pencipta kita.

Kerana saya hanya manusia biasa, masih punya pandang mata dan pandang hati yang terikat dengan dunia yang fana ini. Masih lagi takut kalau insan tersayang tiada di sisi, masih lagi mengharap agar kasih yang tersemat tidak disesiakan oleh insan  tersebut. Kasih dan cinta dalam hati ini tidak sebulat dan sebesar cinta para sahabat kepada Pencipta yang sama.

Oh, mereka, para sahabat Baginda adalah generasi alQuran, yang segala tujuan hidup ini dan kecintaan yang mengisi setiap inci hati dan jiwa mereka adalah pengabdian yang mutlak buat Allah Rabbul Jalil. Memang tidak tertanding dengan kecintaan mereka. Ibarat sang semut dengan si gajah.

Cinta yang seperti itu, menuntut pengorbanan yang sangat besar . Cinta seperti itu jika sudah mengambil ruang di hati kita, rasanya tiada tempat lagi untuk menagih cinta-cinta yang seperti kita.

Cinta seperti itulah , kalau boleh ingin disematkan dalam hati ini.

Walaupun begitu, dalam meniti hidup ini, dengan izinNya, saya masih mengharap dan berdoa agar cinta kasih yang saya berikan pada insan-insan yang terpilih menjadi penyebab untuk kami berkumpul nanti di akhirat. Hidup bersama dalam nikmat dan rahmat Allah .

Seorang Arab Badwi datang bertemu Rasulullah saw lantas bertanya, “bila berlaku Kiamat?” Rasulullah saw bertanya semula, “apa yang telah kau sediakan untuk menghadapinya?” Orang Arab Badwi itu menjawab, “aku menyediakannya dengan hati yang sangat cinta kepada engkau ya Rasulullah.” Rasulullah menjawab, “seseorang akan bersama dengan orang yang dicintainya di akhirat.” 
Rasulullah saw telah mengajar kita supaya berdoa dengan doa ini: “ya Allah berikanlah cintaMu kepada ku, jadikanlah orang yang mencintaiMu mencintaiku, dan jadikanlah aku mencintai segala sesuatu yang membawa kepada kecintaanmu.”  ~ Negara Cinta : Usataz Pahrol

Salam kasih buat kekasih hati.

~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...